Sejarah Masjid Al-Jumu’ah - Utusan Malaysia

Sejarah Masjid Al-Jumu’ah

Masjid Al-Jumu’ah diambil namanya sempena peristiwa Nabi Muhammad SAW solat Jumaat kali pertama pada 12 Rabiulawal Tahun Pertama Hijrah di perkampungan Quba, Madinah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semasa peristiwa hijrah, setelah Nabi SAW berada beberapa hari di perkampungan Quba, baginda meneruskan perjalanan ke lokasi Masjid Nabawi pada tengah hari Jumaat bersamaan 12 Rabiulawal Tahun Pertama Hijrah.

Semasa Nabi SAW melalui perkampungan Bani Salim bin ‘Awf, telah masuk waktu solat Jumaat. Lalu baginda singgah di sebuah masjid di kampung tersebut. Akhirnya masjid itu dikenali dengan nama Masjid al-Jumu’ah sempena solat Jumaat yang didirikan oleh Rasulullah SAW di situ.

Masjid al- al-Jumu’ah di Wadi Ronuna ini sebenarmya menjadi masjid yang didirikan solat Jumaat yang diimamkan oleh Saidina As‘ad bin Zuroroh sebelum ketibaan Nabi SAW di perkampungan Quba.

Maka apabila Nabi SAW berkhutbah dan solat Jumaat di masjid pada 12 Rabiulawal Tahun Pertama Hijrah, ia adalah solat Jumaat pertama dalam hidup baginda. Seusai solat, baginda meneruskan perjalanan ke tapak Masjid Nabawi.

Lokasi-lokasi Sejarah Sekitar Masjid Al-Jumu’ah

Beberapa lokasi penting mempunyai kaitan dengan Nabi SAW yang berada berhampiran dengan Masjid al-Jumu’ah:

1. Lokasi rumah Saidatina Ummu Harom binti Milhan.

Sebagaimana diketahui umum, Nabi SAW pada setiap Sabtu ke Masjid Quba. Dalam perjalanan pergi-balik dari Masjid Nabawi ke Masjid Quba, baginda kadang-kala akan singgah di rumah Ummu Harom yang terletak berhampiran dengan Masjid al-Jumu‘ah.

Pada satu hari Nabi SAW singgah di rumah Ummu Harom iaitu ibu saudara Saidina Anas bin Malik daripada sebelah ibu lalu Ummu Harom menjamu Rasulullah SAW. Setelah itu baginda tidur sebelum zohor (qailulah) kemudian baginda terjaga dari tidur sambil ketawa.

Setelah ditanya oleh Ummu Harom, Nabi SAW menceritakan bahawa diperlihatkan di dalam mimpi akan sekumpulan umatnya yang berperang pada jalan Allah yang telah belayar di atas lautan seperti raja-raja di atas singgahsana.

Lalu Ummu Harom memohon Nabi SAW berdoa agar Allah menjadikan beliau termasuk dalam golongan perajurit tersebut. Rasulullah SAW pun mendoakan beliau.

Setelah itu baginda tidur semula kemudian terjaga dari tidur dalam keadaan ketawa. Setelah ditanya, baginda menyatakan telah diperlihatkan satu kumpulan perajurit daripada umat baginda yang juga telah belajar di atas lautan yang mereka itu seumpama raja-raja di atas singgahsana.

Maka Ummu Harom pun memohon sekali lagi Nabi SAW berdoa agar Allah menjadikan beliau termasuk dalam golongan para perajurit tersebut. Namun Rasulullah SAW bersabda: “Anda adalah daripada kumpulan yang pertama”.

Akhirnya mimpi itu menjadi kenyataan apabila Ummu Harom dikahwini oleh Saidina Ubadah bin al-Somit lalu Ubadah pada era Saidina Muawiyah bin Abu Sufyan menjadi gabenor semasa pemerintahan Saidina Uthman bin Affan telah membawa isteri beliau belayar di lautan menuju kepulauan Cyprus untuk berjihad.

Setelah tiba di daratan, Ummu Harom menunggang seekor baghal yang telah disediakan untuk beliau. Namun tanpa disangka-sangka baghal tersebut menjatuhkan Ummu Harom dari atas belakangnya menyebabkan tengkuk beliau patah dan membawa kepada kewafatan beliau. Peristiwa kesyahidan beliau ini berlaku pada tahun 28 Hijrah.

Kini, rumah Ummu Harom menyaksikan perkhabaran ghaib yang disebut sendiri oleh Nabi SAW sudah tiada.

Namun kedudukannya pada hari ini adalah bercantum dengan bangunan Masjid al-Jumu’ah iaitu sebelah kiri bahagian belakang masjid itu.

Menurut Prof. Dr. ‘Antar Sulhi pula, rumah Ummu Harom pada hari ini berada di sudut sekolah yang berada bersebelahan dengan Masjid al-Jumu’ah.

2. Masjid Saidina Itban bin Malik. Saidina Itban adalah salah seorang perajurit perang Badr al-Kubra, Uhud dan al-Khandak daripada kalangan orang Ansar.

Beliau akhirnya tidak mampu lagi untuk melihat. Beliau pernah mengadu kepada Rasulullah SAW kesukaran datang menjadi imam solat fardu secara berjemaah di masjid perkampungan Banu Salim bin ‘Awf (Masjid al-Jumu‘ah) apabila hujan memenuhi Wadi Ronuna dan pada waktu malam kerana masalah penglihatannya.

Wadi Ronuna berada di antara Masjid al-Jumu’ah dengan rumah beliau. Itban memohon kepada Nabi SAW agar baginda melaksanakan solat di dalam rumah beliau lalu tempat sujud Rasulullah SAW ingin dijadikan oleh Itban sebagai tempat solat beliau. Rasulullah SAW telah bersetuju.

Maka baginda mendatangi rumah Itban ketika matahari sudah mula terik lalu baginda menjadi imam solat sunat Duha di rumah ‘Itban bersama-sama Saidina Abu Bakr al-Siddiq. Pada hari ini, rumah Itban yang akhirnya dikenali sebagai Masjid Saidina ‘Itban bin Malik sudah dirobohkan.

3. Thaniyat Al-Wada’ Selatan adalah satu lokasi yang akan menjadi lokasi perpisahan antara orang al-Madinah dengan seseorang yang bermusafir dari al-Madinah ke arah selatan seperti Mekah, Jeddah, Taif dan sebagainya.

Thaniyat al-Wada’ Selatan juga sinonim dengan nasyid Tola‘al Badru Alayna Min Thaniyatil Wada’ yang dinyanyikan dengan penuh kegembiraan tatkala penduduk Quba menyambut kedatangan Nabi SAW dalam peristiwa hijrah.

Berlaku perbezaan pandangan para sejarawan dalam menentukan lokasi tepat Thaniyat al-Wada’ Selatan. Pandangan yang pertama, ia sangat hampir dengan Masjid Banu Unayf iaitu sekitar 120 meter sahaja.

Ada juga yang menyatakan Thaniyat al-Wada’ Selatan sebenarnya terletak di Kubu Quba al-Uthmaniyyah yang jarak di antara kubu ini dengan Masjid Banu Unayf adalah 1.5 km. Namun kubu ini sangat hampir dengan Masjid al-Jumu’ah iaitu sekitar 550 meter sahaja.

Pandangan Thaniyat al-Wada‘ Selatan adalah lokasi yang berhampiran dengan Masjid Banu Unayf kerana mereka berpendapat semasa Nabi SAW hampir sampai di perkampungan Quba dalam peristiwa hijrah, baginda melalui Thaniyat al-Wada’ Selatan ini dengan disambut oleh para sahabat.

Adapun pandangan menyatakan Thaniyat al-Wada’ Selatan adalah lokasi yang berhampiran dengan Masjid al-Jumu’ah iaitu secara tepatnya di lokasi Kubu Quba al-‘Uthmaniyyah.

Bagi mereka nasyid yang terkenal ini telah dinyanyikan oleh para sahabat semasa Rasulullah SAW melalui lokasi kubu tersebut setelah baginda selesai solat Jumaat di Masjid al-Jumu’ah dalam perjalanan ke Masjid al-Nabawi.

Ada juga pandangan bahawa nasyid yang terkenal itu sebenarnya bukan dinyanyikan oleh para sahabat semasa peristiwa hijrah sebaliknya didendangkan semasa Rasulullah SAW dan para sahabat pulang daripada peperangan Tabuk.

Maka berdasarkan pandangan yang ketiga ini; Thaniyat al-Wada’ yang dimaksudkan dalam nasyid tersebut bukanlah Thaniyat al-Wada’ Selatan sebaliknya adalah Thaniyat al-Wada’ Utara yang kini terletak di pertemuan dua jalan di al-Madinah iaitu Jalan Sayyid al-Shuhada dan Jalan Sultonah.

——

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya