Sebut sahaja tempoyak, pasti ramai terliur kerana hidangan tradisional Melayu ini adalah sejenis bahan fermentasi yang diperbuat daripada isi buah durian dan enak jika dibuat sambal.
Untuk tahan lebih lama, tempoyak juga sesuai dijadikan pes. Pes tempoyak lazimnya dicampur dengan pelbagai lagi bahan seperti cili dan beberapa jenis daun yang kuat rasa dan bau untuk menambah keenakannya.
Pengusaha jualan pais tempoyak, Norlina Alawi yang mengusahakan perniagaan itu, sejak dua tahun lalu, menjelaskan, pes ini umpama ‘ibu masakan’ yang pada bila-bila masa boleh digunakan dalam masakan terutama gulai.
“Pes selalunya digunakan untuk menyalut ikan keli dan ikan talapia. Ada juga memilih ayam atau daging yang kemudian dipanggang atau disalai. Tak kurang juga yang memasukkan pes dalam gulai udang atau ketam sebab rasanya memang lebih sedap.
“Saya pilih daun kesum, daun kunyit dan bunga kantan yang dhiris untuk dicampurkan dengan pes. Semasa memanggangnya lapik dengan daun pisang dan ketika itu akan mengapung aroma gabungan daripada daun pisang, pes dan juga ikan, pasti mengundang selera,” katanya.
Norlina berkata, pada peringkat awal dulu memang agak sukar menyakinkan orang ramai mengenai keenakan pes pais tempoyak sejuk beku yang ditawarkan.
Bagaimana pun selepas merasai sendiri hasil air tangannya, pelanggan akan berulang membeli, bahkan memperkenalkan kepada rakan-rakan mereka pula.
“Ramai yang suka sambal tempoyak sebab penyediaan lebih mudah dan ringkas namun pes juga digemari kerana hidangan ini lebih variasi dan enak dinikmati bersama hidangan berkeluarga dengan sajian nasi putih yang masih panas,” ujarnya.
TAMBAH SUMBER PENDAPATAN
Norlina Alawi yang juga ibu kepada puluhan anak-anak yatim dari Persatuan Kebajikan Anak Kepada Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (Pernim) berkata, pes tempoyak bukanlah perniagaan pertama yang dilakukan kerana sebelum ini pelbagai usaha dilakukan untuk menambah sumber pendapatan keluarga besarnya itu.
“Macam-macam saya lakukan untuk mencari sumber kewangan Pernim, salah satu daripadanya ialah pes ini. Bukan saja mudah disediakan dan paling penting saya mahir membuatnya. Macam pes pais tempoyak ini saya kumpulkan isi durian semasa musimnya kerana harga borong lebih murah. Jadikan pes pais tempoyak dengan menyediakan bahan-bahan tambahan yang mudah didapati di pasar.
“Saya masak sendiri di rumah dengan dibantu anak-anak bila cuti hujung minggu. Sengaja saya buat apabila anak-anak ada supaya mereka dapat belajar sesuatu kerana bukan senang mencari wang. Sambil itu saya akan galakkan mereka belajar bersungguh-sungguh supaya dapat pekerjaan dan jawatan yang baik,” katanya.
Norlina membabitkan diri dalam dunia perniagaan sejak 22 tahun lalu bermula dengan menyediakan perkhidmatan katering dan membawa masuk jubah dari Dubai dan menjualnya melalui perniagaan dalam talian.
“Melalui perniagaan jugalah saya ajak anak-anak Pernim terlibat sebagai alternatif untuk menambah pendapatan keluarga sebab itu saya tidak pernah berhenti untuk mengajar mereka,” katanya.
Hingga kini tujuh orang anak Pernim bergelar graduan manakalah 10 orang masih belajar di pusat pengajian tinggi manakala selebihnya masih bersekolah.
Pes pais tempoyak dan pes rendang Lina boleh didapati di Shopee dengan nama Keluarga Besar Norlina Alawi atau Jubahnorlina.
Ikan Talapia Panggang Pes Pais Tempoyak
Bahan-bahannya:
1.Satu paket pes pais tempoyak (400gram)
2.Seekor ikan (500 gram) ikan talapia
3.Selembar daun pisang
4.Pembalut makanan kerajang aluminium.
Cara membuatnya:
1.Siang dan bersihkan ikan.
2.Lumur atau salutkan ikan dengan pes tempoyak
2. Potong kerajang aluminium dan pastikan melebihi saiz ikan.
3. Letakkan daun pisang di atasnya.
4. Letakkan ikan di atas daun pisang dan balutkan dengan kerajang aluminium.
5. Panggang atau kukus.
Cara membuat pes pais tempoyak:
1. Campuran tempoyak manis dan masam
2. Hiris daun kunyit
3. Hiris bunga kantan
4. Buang batang daun kesum dan ambil daunnya sahaja
5. Cili api
6. Masukkan serbuk kunyit
7. Perasakan dengan gula dan garam
8. Gaulkan semua bahan dan masak secukupnya di atas api yang sederhana.