Penawar sakit dalam sengatan lebah - Utusan Malaysia

Penawar sakit dalam sengatan lebah

KAEDAH rawatan adalah dengan membiarkan lebah menyengat pada bahagian anggota badan yang sakit. Tunggu beberapa minit bagi membolehkan bisa serangga itu menyerap ke saluran darah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apitherapy kaedah perubatan menggunakan sengatan lebah. Rawatan alternatif ini diyakini berupaya menyembuhkan penyakit tertentu malah menjadi pilihan lain kepada pesakit mendapatkan rawatan, selain daripada hospital.

Rawatan alternatif ini kian mendapat sambutan kerana sengatan lebah memiliki penawar tertentu yang boleh mengelakkan bakteria dalam salur darah merebak ke organ badan.
Ia sekali gus dapat menyelamatkan anggota tubuh tertentu daripada dipotong.

Menurut pengamal apitherapy, Rosli Khalid, kajian dilakukan mendapati sengat lebah mampu menjadi penawar kepada pelbagai penyakit kronik, malah ia juga dilihat sebagai satu ikhtiar selepas rawatan moden.

“Enzim terkandung dalam sengatan lebah, antaranya protein, peptide dan asid amino. Ia boleh menjadi penawar bukan sahaja dalam kalangan penyakit kronok tetapi banyak lagi penyakit lain.

“Kalau dianalisa, suntikan lebah itu mengandungi 88 peratus air dan selebihnya, enzim, protein, peptide, amino asid dan sebagainya, yang mana semua itu adalah penawar kepada penyakit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ujarnya ada banyak kajian mengenai kebaikan apitherapy yang telah dibuat di peringkat antarabangsa.

Antara lain ia mendapati semakin ramai pesakit memilih kaedah rawatan alterntif berkenaan berbanding kaedah yang digunakan di hospital, bagaimanapun jumlahnya masih terlalu kecil. 

Di negara ini, dipercayai kurang daripada sepuluh pusat rawatan menggunakan sengatan lebah, berikutan tidak ramai yang pakar dalam mengendalikan rawatan menggunakan sengatan lebah.

Malah produk hasil lebah seperti madu, royal jelly, bee pollen, propolis, bee wax dan pupa lebah untuk memulihkan penyakit juga agak sukar dijumpai.

15 TAHUN PENGALAMAN

Rosli berpengalaman lebih 15 tahun dalam apitherapy, menggunakan lebah jenis Apis Mellifera berbanding jenis lain dalam perubatan.

Katanya serangga jenis berkenaan lebih sesuai untuk merawat.

Mengikut kajian seluruh dunia dalam kaedah apitherapy, jenis lebah ini bersesuaian dalam merawat penyakit yang ada pada tubuh badan manusia.

“Di Malaysia ada lebah dipanggil Apis Cerana, dia kecil sedikit. Bezanya, lebah Apis Mellifera lebih besar saiznya dan sesuai untuk digunakan dalam kaedah rawatan.

Spesis ini digunakan dalam penghasilan produk lebah khususnya madu yang banyak khasiat seperti Bee Pollen.

“Spesies ini sangat produktif. Kalau spesies Apis Cerana, madunya sedap, tetapi tidak banyak hasilnya.

“Kalau lebah tualang pula, dosnya lebih tinggi dan ia akan menyebabkan rasa sakit kepada pesakit berbanding lebah jenis Apis mellifera, sebab itu kajian di seluruh dunia menggunakan Apis mellifera dalam kaedah Apitherapy,” jelasnya yang menyatakan rawatan alternatif ini lebih tertumpu kepada sistem imunisasi badan.

KAEDAH RAWATAN

Mengenai rawatan, lebah akan menyengat di bahagian anggota badan yang sakit, kemudian dibiarkan selama beberapa minit sebelum bisa serangga menyerap ke saluran darah.

Kata Rosli, sengatan akan dibuat di tempat yang hampir dengan sakit yang dialami, kemudian, lebah tersebut akan mati dalam masa 20 ke 30 minit.

Ini berikutan seekor lebah hanya akan digunakan oleh seorang pesakit sahaja.

“Lebah yang akan digunakan pesakit pula bergantung kepada penyakit seseorang. 

“Seawal lima minit pesakit dah boleh merasai perubahan dirasakan. Namun ia bergantung juga kepada jenis penyakit yang dialaminya,” katanya.

Mengulas mengenai pengalaman katanya, sebelum ini ada pesakit yang datang kepadanya, mampu solat normal, selepas lebih 15 tahun bersolat duduk.

“Selepas disengat lebah, akhirnya pesakit itu boleh solat secara normal dan tidak lagi menggunakan kerusi,” katanya.

Keberkesanan rawatan boleh lihat secara langsung. 

Contohnya bagi individu bermasalah sinus, lebah akan diletakkan sebanyak dua ekor di kiri dan kanan hidung untuk disengat. Pesakit akan rasai perbezaan selepas beberapa minit kemudian. Ini kerana apabila bisa lebah mula masuk ke dalam badan, ia akan merangsang tindak balas penyembuhan secara semula jadi,” ujarnya. 

Lulusan arkitek di University Of Tennessee, Knoxville, AS ini, mula terbabit dalam dunia perubatan menggunakan seranggan berbisa itu selepas ibunya meninggal akibat kanser limfoma.

“Selepas ibu, saya meneruskan kajian dan rawatan menggunakan lebah. Sehingga hari ini ia terbukti memberi kesan yang sangat memberangsangkan meskipun masih ramai yang tidak mengetahui kaedah ini secara mendalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya