Muka jadi biru, tercungap akibat serangan asma

Muka jadi biru, tercungap akibat serangan asma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Serangan pada malam itu memang teruk dan rasa seolah-olah hampir mati!” kata penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir.

Mengimbau detik cemas diserang asma beberapa tahun lalu, Dina berkata, nafasnya tercungap-cungap dengan muka bertukar kebiruan.

Katanya, kejadian itu berlaku selepas bertengkar dengan bapanya pulang dari bertugas di konti radio.

“Punca pertengkaran itu disebabkan hal kecil sahaja tetapi mungkin kerana keletihan dan tidak cukup tidur, saya jadi beremosi.

“Saya menangis teresak-esak hingga tercungap-cungap menarik nafas. Pada masa itu, adik lelaki bertindak pantas mengangkat saya yang seberat lebih 100 kilogram ini ke kereta untuk dibawa ke hospital,” katanya dalam program Breathe Better sempena Sambutan Hari Asma Sedunia di 1Mont Kiara di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kempen anjuran Asthma Malaysia dan AstraZeneca itu bertujuan mendidik masyarakat mengenai pengurusan asma serta kepentingan mendapatkan rawatan yang betul bagi mengawal penyakit itu.

Yang hadir sama, Pakar Respiratori dan Pengasas Bersama Asthma Malaysia, Dr. Helmy Haja Mydin di samping Pengarah Perubatan Negara dan Peneraju Kawasan Metabolisme Kardiovaskular, Perubatan Terapeutik Kawasan Asia, AstraZeneca, Dr. Ashwini Saha.

Menurut Dina, penyakit asma dialami sejak berusia dua tahun namun, simptom itu hilang sendiri, sebelum kembali semula ketika umurnya mencecah 26 tahun.

Katanya, akibat serangan paling teruk itu tahap oksigennya merosot kepada 80 hingga terpaksa diberikan suntikan dan bantuan pernafasan.

“Ketika kanak-kanak, tidak banyak yang saya ingat tetapi semasa di sekolah rendah, saya selalu diminta berhati-hati sebab ada asma. Saya pernah masuk hospital ketika berumur dua dan empat tahun.

“Masa kecil kita tidak tahu macam mana mahu mengawal asma dan mengenal pasti punca yang mencetuskannya. Serangan asma boleh berlaku jika saya menangis atau terlalu lasak seperti berlari,” katanya.

Dina berkata, suhu sejuk turut mempengaruhi serangan asma, tambahan pula bekerja dalam tempoh masa lama di studio.

Katanya, asma juga boleh berlaku jika berenang di sebelah malam atau ketika bersenam, namun, tiada masalah dari segi makanan.

Ujar Dina, serangan biasanya bermula dengan kesukaran bernafas secara tiba-tiba diselangi batuk.

“Saya mudah diserang kalau stres atau terlalu penat, tetapi sekarang semua terkawal dan tidak lagi mengalami gejala seperti batuk-batuk.

“Sejak kes dimasukkan ke hospital pada malam itu, saya sudah boleh mengawal asma dengan menggunakan ubat pelega (pam biru) dan pencegah (merah putih) selain mengelakkan stres. Saya perlu mendapatkan semula kehidupan normal seperti sebelum ini,” katanya.

Dina berkata, pelbagai saranan dan petua diberikan bagi mengubati penyakit itu termasuk makan hati unta di samping elak pengambilan buah mangga.

Tetapi, katanya, semua saranan itu tidak berkesan padanya dan kekal mengikut nasihat doktor dengan mengambil ubat sedut serta pencegah setiap hari sebelum tidur.


GEJALA PETANDA ASMA TIDAK TERKAWAL
Sementara itu, Dr. Helmy Haja Mydin berkata, banyak mitos mengenai penyakit asma yang mengelirukan pesakit termasuk pesakit mudah semput dan batuk-batuk serta perlu ubat pelega sepanjang masa.

“Di televisyen, sering digambarkan pelakon menghidap asma membawa pam biru bagi memberi kelegaan. Hakikatnya, seramai 95 peratus penghidap penyakit ini tidak sepatutnya mengalami sebarang simptom.

“Jika pesakit sering sesak nafas dan batuk-batuk, ini bermakna asma mereka tidak terkawal. Kalau asma dikawal dengan baik, mereka tidak akan mengalami sebarang gejala,” katanya.

Tambah Helmy, adalah penting untuk pesakit tahu mengenai rawatan kerana penawar asma bukan sekadar ubat pelega tetapi ubat untuk menghindarkan mereka daripada mengalami serangan.

Sehubungan itu, katanya, kesedaran masyarakat mengenai cara untuk menguruskan asma perlu terus ditingkatkan kerana diagnosis awal dapat mengelak serangan yang boleh melumpuhkan dan meletihkan.

“Langkah awal dan kawalan dengan ubat yang sesuai bukan sahaja dapat menghalang penyakit menjadi lebih teruk, malah mampu meningkatkan kualiti hidup seseorang,” katanya.

Menurut Helmy, asma terbahagi kepada kategori ringan, sederhana dan teruk tetapi ramai yang tidak tahu mengenai perbezaannya.

Katanya, bagi kategori teruk, pesakit memerlukan perhatian khas kerana mudah terdedah kepada serangan berulang.

“Terdapat beberapa faktor penyumbang serangan yang teruk seperti tahap kiraan darah putih yang tinggi. Pesakit bukan sahaja mengalami gangguan tidur setiap hari tetapi aktiviti harian mereka turut terbatas.

“Mereka juga mungkin terlalu bergantung kepada ubat-ubatan yang memberikan kelegaan segera seperti penyedut dan steroid oral setiap hari untuk jangka panjang. Kebergantungan ini tidak digalakkan,” katanya.


50 PERATUS PESAKIT GAGAL KAWAL ASMA
DR. Ashwini berkata, seramai 1.6 hingga dua juta penduduk di negara ini dianggarkan menghidap asma.

Katanya, kebarangkalian pesakit asma di Malaysia meningkat daripada 6.4 peratus kepada 9.4 peratus dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 hingga 7 tahun manakala 9 peratus kepada 13 peratus dalam kalangan kanak-kanak berumur 13 sehingga 14 tahun.

“Separuh daripada jumlah itu, didapati tidak dapat mengawal asma mereka dengan lebih baik dan mengalami gejala. Ini bermakna mereka menggunakan pam tetapi tidak boleh beraktiviti lasak atau di luar rumah.

“Justeru, penting untuk pesakit mendapatkan rawatan yang betul. Selama ini mereka hanya merawat gejala semata-mata, tetapi bukan mengawal asma,” katanya.

Ashwini berkata, penganjuran kempen kesedaran awam diharap dapat memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai asma termasuk maklumat mendalam mengenainya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya