Rasulullah SAW amat menekankan pentingnya sesuatu urusan diberi kepada yang layak memikulnya. Ini kerana pentadbiran adalah satu amanah yang berat dan bukannya satu kemuliaan yang menjadi jalan mengaut keuntungan.
Imam al-Bukhari ada meriwayatkan hadis yang sangat penting untuk dihalusi khususnya kepada mereka yang sudah menerima sesuatu amanah agar amanah tersebut menjadi jambatannya ke syurga dan bukannya penyebab untuk dia merana di akhirat sana.
Daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Ketika Nabi SAW sedang berbicara dengan satu kaum di dalam satu majlis, baginda telah didatangi oleh seorang lelaki dari pedalaman lalu beliau telah berkata (kepada baginda): “Bilakah hari kiamat”? Lalu Rasulullah SAW pun meneruskan ucapan baginda (tanpa menjawab soalan tersebut).
Maka sebahagian daripada hadirin berkata: “Baginda telah mendengar apa yang telah dikatakan oleh lelaki itu lalu baginda telah tidak menyukai apa yang telah dikatakan oleh lelaki itu”. Sebahagian hadirin pula berkata: “(Bukan begitu), bahkan (sebaliknya) baginda (sebenarnya) tidak mendengar (pertanyaan tersebut”. Rasulullah SAW terus menyampaikan ucapan baginda kepada orang ramai) sehinggalah apabila baginda telah menyelesaikan ucapan baginda, baginda telah bersabda: “Di manakah lelaki yang bertanya tentang hari kiamat (tadi)”? Lelaki tersebut telah berkata: “Saya wahai Rasulullah”.
Baginda telah bersabda: “Maka apabila amanah telah diabaikan, maka nantikanlah kedatangan hari kiamat”. Lelaki tersebut telah berkata: “Bagaimanakah pengabaian terhadap amanah”? Baginda bersabda: “Apabila sesuatu perkara telah dipertanggungjawabkan kepada yang bukan ahlinya, maka nantikanlah hari kiamat”.
Kesopanan guru dengan murid
Hadis ini menjelaskan sikap yang perlu ada bagi guru dan murid. Seorang guru perlu bersikap lembut dan kasih kepada anak muridnya.
Nabi SAW ketika ucapan baginda dicelah dengan soalan seorang lelaki, baginda sama sekali tidak mengherdik lelaki berkenaan sebaliknya bersikap lembut kepadanya.
Ini dibuktikan apabila selesai menyampaikan ucapan kepada para sahabat, baginda SAW kembali menjawab soalan lelaki berkenaan tanpa mencemuhnya. Sikap Nabi SAW ini perlu dicontohi oleh para guru terhadap anak-anak didikannya.
Kisah ini juga menunjukkan seorang murid perlu beradab dengan gurunya. Adab yang sepatutnya diraikan oleh seorang murid adalah tidak terus memotong ucapan gurunya supaya idea yang ingin disampaikan oleh guru tidak akan hilang disebabkan gangguan persoalan yang ditanya bukan pada masa dan ketikanya.
Hadis ini juga menjadi pedoman bagi para guru agar tidak terus menjawab persoalan yang diajukan jika guru tersebut sedang menyampaikan ucapan kepada sidang pendengar. Ini supaya susunan ilmu yang sedang disampaikan tidak akan hilang dan tidak tersasar daripada minda guru tersebut.
Jangan malu bertanya
Seseorang penuntut ilmu tidak patut malu bertanya dan meminta penjelasan gurunya jika ilmu yang disampaikan tidak difahami dengan jelas.
Sikap membiarkan diri terus dalam kebingungan akan menyebabkan seseorang mungkin akan tersilap dalam memahami sesuatu ilmu.
Tindakan mendapatkan penerangan dan penjelasan daripada para ulama terhadap kesamaran dalam sesuatu permasalahan akan menghasilkan pertambahan ilmu yang akan menguntungkan orang yang bertanya dan juga hadirin yang lain. Al-Imam Mujahid bin Jabr al-Makhzumiyy pernah berkata: “(Dua orang yang) tidak akan mempelajari ilmu: orang yang malu dan orang yang takbur”.
Kekuasaan Satu Bebanan
Seseorang yang ingin menjadi pemimpin dan penguasa perlu sedar bahawa kekuasaan yang dimilikinya adalah satu amanah yang wajib dijaga yang bakal disoal Allah SWT kelak.
Kekuasaan bukanlah satu peluang untuk mengaut keuntungan dan merompak harta rakyat.
Kepincangan dalam negara pasti akan berlaku jika orang yang tidak layak berlumba-lumba menjadi pemimpin menyebabkan berlaku rompakan harta negara dan rasuah.
Dalam Islam, pemerintah dan orang yang bertanggungjawab terhadap manusia adalah orang yang diamanahkan mengurus manusia dengan syariat Islam.
Maka menjadi satu kewajipan bagi para pemerintah mentadbir bumi ini dengan peraturan yang ditetapkan oleh Allah yang menciptakan dunia dan bukannya dengan akal dangkal dan hawa nafsu seorang manusia.
Al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani pernah menukilkan ringkasan bagi ucapan seorang ulama yang bernama Ibnu Battol yang berbunyi: “Makna (sabda Rasulullah SAW yang berbunyi): “Disandarkan sesuatu urusan kepada bukan ahlinya” adalah sesungguhnya para pemerintah benar-benar telah diamanahkan oleh Allah untuk mengurus hamba-hamba-Nya.
Allah mewajibkan pula rakyat menasihati para pemimpin. Maka rakyat hendaklah melantik orang (yang memahami) agama.
Sekiranya rakyat mengikut orang yang bukan ahli agama, sesungguhnya mereka benar-benar telah mencuaikan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada mereka”.
Guru kami, Prof. Dr. Jamal bin Faruq al-Daqqoq al-Hasaniyy pernah menyatakan pada 25 April 2010 di Masjid al-Azhar, Kaherah bahawa antara sikap mengkhianati amanah Allah adalah apabila seseorang menggunakan tubuh dan nyawanya untuk melakukan perkara yang dibenci Allah SWT.
Beliau lantas membacakan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Janganlah kamu semua mengkhianati Allah dan rasul dan janganlah kamu semua mengkhianati amanah (yang dipertanggungjawabkan ke atas) kamu semua sedangkan kamu semua mengetahui”. (al-Anfal: 27)
Berdasarkan kenyataan tersebut jelaslah bahawa nyawa dan tubuh badan kita adalah amanah Allah yang wajib digunakan untuk mencari keredaan Allah.
Di Mana Kesungguhanmu Memahami Agamamu?
Hadis ini juga menunjukkan kesungguhan para sahabat dalam memahami selok-belok agama Islam.
Sekalipun sahabat Nabi SAW yang bertanya itu bukanlah sahabat besar yang tinggi ilmunya, beliau hanyalah seorang lelaki yang tinggal di pedalaman tetap mempunyai keazaman yang kuat di dalam mendalami ilmu Islam.
Sehinggakan soalan yang ditanya oleh beliau sebenarnya adalah antara soalan yang penting dalam agama Islam.
Sikap seperti inilah yang sepatutnya perlu ada di dalam jiwa umat Islam hari ini.
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir