Haji: Antara simpan dan berhutang - Utusan Malaysia

Haji: Antara simpan dan berhutang

Haji adalah satu kewajipan bagi setiap muslim yang akil baligh dan berkemampuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bila Syawal menjelma, kita sebenarnya sudahpun memasuki musim haji. Allah berfirman yang bermaksud: Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barang siapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam. (Ali-Imran: 97).

Haji adalah satu kewajipan bagi setiap muslim yang akil baligh dan berkemampuan.

Berkemampuan mengerjakannya termasuklah mempunyai kudrat keupayaan fizikal menunaikan rukun dan ibadat haji, ada kemampuan kewangan dan kenderaan yang boleh menyampaikan seseorang muslim ke Tanah Haram.

Walaupun kewajipan melaksanakan haji boleh ditangguhkan bagi mereka yang kurang berkemampuan, umat Islam harus berusaha menunaikan rukun Islam yang kelima ini.
Ia sama ada membuat simpanan atau mengupah orang lain mengerjakan haji (badal haji) bagi yang meninggal dunia.

Kebelakangan ini, terdapat usaha mempermudahkan umat Islam mengerjakan haji dan umrah melalui skim pembiayaan haji.

Persoalannya adakah berhutang mengerjakan haji dan umrah itu dibenarkan syarak?.

Adakah orang berhutang dikira sebagai tidak berkemampuan maka kewajipan haji boleh ditangguhkan? Perkara ini perlu dilihat dari pelbagai aspek.

Berhutang menunaikan haji mungkin dianggap pelik bagi setengah Muslim, kerana syarat wajib haji dan umrah adalah kemampuan. Jika tak mampu, belum sampai wajib haji.
Ini adalah pendapat yang diterima oleh kebanyakan masyarakat kita.

Walaubagaimanapun, semua muslim wajib berusaha untuk menunaikan haji kerana ia rukun Islam sama seperti kita wajib berusaha untuk keperluan hidup kita yang lain, makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan yang lain.

Selama mana dia boleh berusaha, maka dia wajib berusaha melainkan jika ada halangan di luar kawalan seperti peperangan, wabak dan bencana.

Dalam masa yang sama, kita harus memahami bahawa sistem haji pada zaman ini bergantung dengan sistem kuota.

Negara juga mempunyai sistem giliran yang telah diamalkan sejak dahulu bagi memastikan keadilan berdasarkan giliran terawal jemaah haji.

Untuk mendapat giliran haji adalah sesuatu perkara di luar kawalan jemaah dan mendapat giliran haji, suatu nikmat yang sangat ditunggu-tunggu bakal jemaah.

Sesetengah muslim mengambil remeh isu kemampuan menyediakan tabungan haji.

Haji dan umrah hanya difikirkan apabila seluruh keperluan duniawi dipenuhi.

Haji dan umrah dianggap percutian mewah yang menjadi pilihan dan bukan kewajipan, sedangkan ia kefahaman yang silap.

Ramai juga muslim yang menjadikan haji prioriti terakhir dalam hidup tapi mampu pula berbelanja dan berhutang untuk perkara bukan daruri seperti pembelian kereta ketiga, membesarkan rumah atau melancong, yang bukan ibadah.

UTAMAKAN HAJI

Haji yang lebih daruri tidak diutamakan. Baginya urusan haji hanyalah apabila mempunyai lebihan wang atau tunggu giliran, sedangkan belum daftar haji.

Kemampuan haji bukan bermaksud, pergi ikut suka, pergi bila ada masa sedangkan masa dan duit yang lain dihabiskan untuk perkara dunia yang bukan daruri.

Kita beruntung kerana mazhab Syafie tidak menjadikan haji itu sesuatu kewajipan yang perlu ditunaikan sesegera mungkin seperti mazhab lain.

Kita menerima pandangan ulama iaitu tidak wajib haji sekiranya keperluan wajib hidup lain tidak dipenuhi termasuklah tanggungan kita tetapi tidak bermakna haji boleh diketepikan langsung dalam prioriti hidup muslim.

Justeru, jika kita mampu untuk berhutang membeli rumah dan kereta kerana ia keperluan, maka berhutang untuk haji dan umrah juga harus hukumnya.

Hutang haji dibenarkan dengan syarat kita mampu membayarnya dan dalam masa sama pihak pengendali tidak mengambil kesempatan di atas fasiliti pembiayaan.

Pihak bank atau mana-mana agensi terbabit tidak boleh mengambil kesempatan di atas keharusan ini.

Sebaliknya menawarkan produk pembiayaan haji atas dasar memudahkan dan membantu mereka yang telah mendapat giliran haji. Sama seperti membantu pelanggan mendapatkan rumah, kereta atau dana pendidikan yang daruri.

Berhutang untuk menunaikan perkara wajib adalah lebih baik daripada berhutang untuk perkara bukan wajib dan keperluan.

Ada di antara kita boleh melabur di sana sini, berhutang sehingga santak tapi tidak mahu menabung untuk haji. Ini satu kesalahfahaman dalam meletakkan prioriti pengurusan kewangan peribadi.

Sebagaimana anda menyimpan untuk pendidikan anak dan tabungan persaraan, begitulah anda perlu berusaha untuk menabung bagi ibadah haji dan umrah.

Harus diingat semua perkara ada batasnya, berhutang mengikut kemampuan dan credit worthiness (kelayakan keberhutangan) seseorang. Begitulah juga berhutang untuk menunaikan haji.

Bersihkan diri, niat berhutang untuk menunaikan perkara yang wajib. Terutama pada zaman ini apabila menanti giliran haji adalah amat sukar dan ia menjadi penentu kemampuan seseorang.

Maka apabila giliran haji tiba dan anda belum cukup kemampuan, maka dibenarkan berhutang dengan syarat anda mampu menyelesaikannya tanpa membebankan sama seperti komitmen bulanan anda yang daruri. (rujuk Ali-Imran: 97)

Selama mana anda mampu berusaha, maka berusahalah jangan lepaskan peluang.

Samalah seperti orang yang sakit. Jika sakit anda itu boleh dirawat, dikawal ketika haji, maka pergi haji itu lebih utama.

Ada orang yang memandang rendah halangan ini, halangan sedikit menjadi alasan untuk menangguhkan haji.

Dalam menunaikan ibadah, ada halangan yang dipanggil manik. Halangan ini ada yang boleh dikawal dan ada yang tidak. Maka keharusan menangguhkan ibadah atas halangan bukan satu lesen terbuka untuk menangguhkan ibadah kerana halangan sedikit.

Jika mengerjakan haji itu memudaratkan diri, keluarga dari segi kesihatan dan kewangan, maka tidak mengapa jika ia ditangguhkan. Allah tahu keterbatasan kita.

Allah Maha Tahu siapa yang mahu menjadi tetamu-Nya dan siapa yang tidak. Ada mereka yang ikhlas mahu menunaikan haji dan umrah, namun disebabkan halangan maka tertangguh tapi Allah tetap mengiranya sebagai tetamu-Nya, insya-Allah.

—————-

Penulis adalah AJK Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan. Pandangan penulis tidak menggambarkan pandangan rasmi mana-mana institusi yang mana beliau terlibat di dalamnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya