senarai makanan, perkara syubhah

Berhati-hati dalam perkara syubhah

Mencari makanan halal adalah dituntut dalam Islam- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai umat Islam, kita dibenarkan melakukan apa sahaja aktiviti selama mana tidak melanggar syarak. Uniknya agama Islam, setiap perbuatan sama ada ibadah atau aktiviti keduniaan diklasifikasikan mengikut hukum tertentu; wajib, sunat, harus, haram dan makruh.

Kebanyakan perbuatan dunia adalah diharuskan dan tidak mempunyai hukum wajib, sunat, haram atau makruh.

Tetapi dengan niat yang betul, Allah akan mengganjari kita pahala jika melakukan perkara keduniaan dengan ikhlas dan menjadikan perbuatan itu sebagai ibadah.

Dalam Islam, apa yang halal itu jelas dan apa yang haram itu juga jelas. Perkara yang tidak jelas antara keduanya disebut sebagai syubhah. Syubhah ini adalah perkara yang perlu dijauhi agar menjaga diri kita daripada terjebak kepada perkara yang haram.

Nabi SAW jelas berpesan dalam hadis yang bermaksud: Sesungguhnya halal itu jelas dan haram itu jelas dan perkara yang berada antara halal dan haram itu adalah perkara syubhah yang tidak ramai manusia mengetahuinya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Syubhah ialah perkara yang tidak jelas hukum dan kedudukannya, sama ada kerana ketiadaan dalil spesifik atau perkara yang jarang terjadi atau berlaku dalam kalangan masyarakat hingga sukar untuk ditentukan keputusannya.

Syubhah juga biasanya adalah perkara yang baru terjadi pada sesuatu zaman dan tidak pernah terjadi atau dijumpai sebelum itu.

Syubhah ini boleh terjadi kepada isu makanan dan minuman. Antara syubhah dalam pemakanan adalah penghasilan daging kultur di dalam makmal, sama ada ia berstatus halal atau haram. Adakah daging kultur ini daging yang perlu disembelih?

Daging kultur melibatkan proses mengkultur daging di dalam makmal yang menggunakan kaedah kejuruteraan tisu. Hukum halal dan haram daging ini amat bergantung kepada proses penghasilan daging tersebut.

Selain itu, syubhah dalam produk kegunaan umat Islam juga amat banyak, seperti prosedur kecantikan di salon. Ini termasuklah rawatan kecantikan sulam bedak, satu teknik memutihkan kulit muka sama ada menggunakan teknik seperti tatu dengan memasukkan warna pada permukaan kulit atau menggunakan teknik microneedling.

Teknik kedua terhasil dengan penggunaan serum yang mempunyai ejen pemutih menggunakan stem sel.

Ramai umat Islam terutama wanita keliru dengan rawatan kecantikan seperti ini dan adakah ia diharamkan sama seperti penggunaan tatu atau pengharaman membentuk alis mata.

Umat Islam harus memahami bahawa Islam tidak menghalang sebarang usaha untuk membersihkan, mencantikkan dan memperelokkan diri, tubuh dan wajah.

Namun, segala proses, prosedur dan rawatan perlulah memenuhi beberapa syarat. Antara syarat, ialah rawatan tersebut tidak bersifat kekal.

Rawatan tersebut juga tidak menggunakan bahan yang haram seperti najis dan darah.

Selain itu, rawatan yang dilakukan bukan bertujuan untuk membuat maksiat seperti memasuki pertandingan ratu cantik dan diharuskan sekiranya untuk menambat hati suami.

Umat Islam juga harus peka banyak rawatan kecantikan tidak menggunakan bahan yang halal malah ada prosedur yang menggunakan darah kononnya untuk menambah kesegaran pada wajah. Penggunaan bahan kotor dan najis adalah haram dan dilarang dalam Islam.

Banyak cara, kaedah dan rawatan kecantikan lain yang lebih patuh syarak untuk dipilih oleh wanita hari ini.

Untuk mendapatkan kening yang cantik, cukup sahaja menggunakan celak yang sunat hukumnya berbanding mencukur dan membentukkan kening yang nyata dilarang dalam Islam.

Allahyarham Sheikh Yusuf Qaradawi, pemikir terkemuka abad ini dalam bukunya Halal dan Haram dalam Islam ada menyatakan bahawa Allah telah menjadikan banyak perkara yang halal di atas dunia ini untuk kegunaan umat Islam.

Yang halal dan bersih itu banyak tidak terkira, maka meninggalkan perkara yang haram dan syubhah itu tidaklah memberi kesan apa pun kepada umat manusia.

Selain makanan dan produk pengguna, syubhah juga banyak terjadi dalam kegiatan transaksi dan jual-beli kita seharian. Amat banyak jual-beli yang tidak jelas hukumnya yang boleh mendatangkan risiko kepada sebelah pihak, sama ada kepada pembeli atau penjual.

Membeli barang yang tidak diketahui jumlah dengan tepat, spesifikasi yang tidak jelas dan semata-mata bergantung kepada harga tawaran yang menarik juga haruslah dijauhi.

Sebarang jual-beli, pelaburan atau kontrak yang ditandatangani oleh mana-mana pihak haruslah jelas dan tidak mempunyai sebarang kesamaran. Kontrak dalam Islam terdiri atas asas keadilan dan reda-meredai.

Ini termasuklah dalam akad pembiayaan perlu jelas tempoh masa dan jumlah pembiayaan. Begitu juga sebarang kontrak mendapatkan produk perlu dijelaskan spesifikasi barang, masa dan jumlah harga yang perlu ditetapkan.

Pengharaman jual-beli dengan akad salam tanpa spesifikasi adalah disebut dalam hadis nabi yang bermaksud: Barang sesiapa yang berakad dengan kontrak salam (tempahan), perlulah menjelaskan timbangan, sukatan, dan dengan penentuan masa penghantaran barang. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengelakkan sebarang perkara syubhah dan tidak jelas sebenarnya boleh menjadikan jiwa seorang mukmin itu tenang dan lapang. Jiwa manusia ini fitrahnya bersih dan tidak akan boleh menerima perkara yang kotor dalam jiwanya.

Menjauhi perkara yang syubhah dapat membantu manusia beribadat dengan tenang, dan khusyuk. Malah menjauhi perkara syubhah juga adalah jalan beristiqamah untuk menghindari perkara yang haram.

Ini termasuklah menghindari cara hidup yang jauh dari cara hidup Islam. Keterbukaan dalam kehidupan tidak bermakna kita memandang rendah dasar dan prinsip Islam, sehingga melakukan perkara yang dilarang agama semata-mata untuk dilihat mampu bersosial dengan kaum dan bangsa yang bukan Islam.

Islam menuntut pergaulan baik dengan semua bangsa dan agama, namun perkara syubhah yang melibatkan akidah adalah batas yang perlu dijaga.

Namun sebaliknya, manusia yang tidak mengendahkan perkara yang syubhah, tidak kisah membeli makanan minuman sama ada halal atau tidak, tidak mengambil peduli hukum yang jelas difatwakan sebenarnya membuka jalan-jalan ke arah kemaksiatan. Islam itu tidak keras dan kejam, tetapi hukum hakam Islam haruslah dipatuhi dan dihormati.

Muslim yang mengambil remeh isu hukum tidak kisah perkara haram apatah lagi syubhah telah membuka jalan-jalan ke arah dosa yang berpanjangan. Allah akan menjaga hamba-Nya selama mana hamba-Nya menjaga agama dan hukum-Nya.

PENULIS ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia dan anggota Majlis Agama Islam Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya