KEWAJIPAN berbuat baik adalah satu tuntutan agama. Antara dosa besar ialah menderhakai ibu bapa atau disebut uquq walidayn. Allah telah menyebutkan dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan berbuat baiklah dengan ibu bapa. (al-An’am: 15)
Al-Quran turut menjelaskan kesusahan ibu dalam proses kehamilan, melahirkan dan menyusukan anak dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun. Ini adalah antara sebab mengapa anak-anak dituntut untuk berbuat baik kepada ibu bapa.
Perintah melakukan kebaikan kepada ibu bapa adalah sesuatu yang difahami oleh logik akal manusia atas beberapa kebaikan mereka membesarkan anak dengan kasih sayang, memberikan nafkah, mendidik dan mengasuh anak-anak sehinggalah menjadi manusia dewasa yang sempurna.
Ibu bapa menjadi pelindung anak-anak dalam apa jua keadaan. Maka memiliki ibu bapa adalah suatu nikmat yang tidak dapat dinafikan oleh setiap manusia yang wujud di atas muka bumi ini. Tidak ada manusia yang wujud di atas muka bumi ini tanpa ibu bapa melainkan Nabi Adam dan Saidatina Hawa.
Kendati pun demikian, terdapat beberapa konflik yang terjadi dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak yang menghalang perhubungan baik sesama mereka.
Konflik terjadi apabila ibu bapa tidak melaksanakan tanggungjawab sebenar terhadap anak-anak. Maka, apabila anak-anak menginjak umur dewasa, mereka berat hati untuk melaksanakan pula tanggungjawab kepada ibu bapa.
Tambah malang, ada ibu bapa yang sengaja mengabaikan anak dari segi nafkah dan pendidikan. Malah lebih teruk yang mendera anak secara fizikal dan seksual.
Sangat menyedihkan dewasa ini, banyak kes pengabaian anak-anak oleh ibu bapa, kegagalan membayar nafkah, mengabaikan anak malah penderaan yang menyebabkan kematian anak-anak bukan lagi satu berita yang pelik kebelakangan ini.
Malah, ada ibu bapa yang mendesak anak membuat pembiayaan dan pinjaman peribadi untuk kepentingan mereka yang menyusahkan anak-anak yang baharu menginjak umur dewasa.
Persoalannya, bagaimanakah seorang anak membalas jasa ibu bapa yang fasik dan gagal menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik?
Adakah seorang anak dihukum berdosa dan menjadi ibu bapa, bukan automatik kita menjadi maksum. Tetapi ibu bapa seharusnya menyempurnakan diri agar menjadi contoh yang baik buat anak-anak.
Pepatah Melayu ada menyebut, “ketam mengajar anaknya berjalan lurus”. Mendidik dan menuntut anak berbuat baik kepada kita bukanlah berlaku secara automatik, namun ibu bapa harus menunjukkan jalan dan membimbing anak-anak agar menjadi pedoman sepanjang hidup.
Selain itu, peranan ibu bapa bukan hanya sehari dua, malah berterusan sehingga ke akhir hayat. Apabila manusia memasuki fasa pembinaan keluarga, dan bercita-cita untuk mempunyai anak, maka perkara yang utama adalah memperbaiki akhlak.
Bagaimana mungkin seorang ibu atau bapa yang kaki maksiat, mengabaikan anak-anak sejak kecil mahu menuntut anak taat kepadanya atas alasan semua anak wajib taat kepada ibu bapa?
Harus diketahui, ketaatan kepada manusia waima siapa pun tidak mutlak seperti taat kepada Allah dan rasul. Taat anak kepada ibu bapa adalah dalam perkara kebaikan dan perkara yang tidak memudaratkan.
Jika ibu bapa mahu A, manakala anak-anak berkehendak B terutama anak yang sudah dewasa, maka bukan bermaksud anak itu derhaka.
Kita harus faham ibu bapa tidak boleh mewajibkan anak yang dewasa mengikuti pilhan kita dalam perkara yang ada pilihan. Ini termasuklah menentukan pasangan hidup, pekerjaan, tempat tinggal atau lainnya.
Jika anak ada pilihan A, sedangkan ibu bapa pilih B, maka perlulah anak memberitahu pilihannya dengan baik kepada ibu bapa. Bukan dibentak-bentak memberi tahu pilihan dengan cara yang kasar.
Inilah yang dikatakan berbuat baik kepada ibu bapa. Anak-anak tidak boleh berkasar kepada ibu bapa yang mempunyai pandangan berbeza, sebaliknya menghormati dan melayan mereka dengan baik.
Dalam masa sama, ibu bapa tidak boleh melabel atau mengugut anak yang tidak mengikut pilihannya sebagai derhaka. Tiada derhaka pada pilihan dunia yang bersifat pilihan bukan kewajipan.
Kita harus menyedari bahawa anak juga mempunyai hak sebagai manusia dewasa.
Berbeza dengan anak kecil yang ditentukan pilihan mereka oleh ibu bapa, anak dewasa adalah manusia yang bebas menentukan pilihan hidup mereka.
Apabila anak telah dewasa, tanggungjawab berbuat baik tetap berterusan sama ada ibu bapa mereka melaksanakan tanggungjawab dengan baik atau sebaliknya.
Sekiranya anak-anak mempunyai masalah dalam perhubungan dengan ibu bapa, sewajarnya mereka bersikap rasional dan mengambil pandangan pakar. Elakkan konflik dengan meletakkan batas yang sepatutnya.
Pihak luar seperti jiran-tetangga dan sahabat handai harus memahami serta menghormati keluarga orang lain. Tidak memberikan pandangan yang tidak sepatutnya kepada anak-anak yang berdepan dengan konflik menjaga ibu bapa terutama mereka yang sakit dan nyanyuk.
Kesilapan dalam memberi nasihat akan menambah tekanan kepada anak-anak akan memburukkan lagi keadaan. Malah akan menyebabkan anak-anak mengambil langkah drastik meninggalkan sahaja ibu bapa mereka tanpa penjagaan.
Islam adalah agama rahmat. Tidak ada manusia yang maksum baik anak-anak atau ibu bapa. Kita menerima kekurangan manusia apatah lagi ibu bapa kita dan dalam masa sama ibu bapa juga harus bersikap menyayangi anak mereka dan tidak membuat tuntutan yang membebankan.
Semua tindak tanduk manusia di atas muka bumi akan dihisab, sama ada perhubungan dengan Allah atau dengan manusia. Bersifat reda sebagai anak, dan bersikap sabar sebagai ibu bapa, adalah satu usaha baik menjaga hubungan kedua-dua belah pihak.
Namun, jika ibu bapa terlibat dalam jenayah, anak-anak haruslah bersikap tegas dengan melaporkan kesalahan ibu bapa kepada pihak berwajib agar jenayah dapat dibanteras.
Masyarakat yang hidup dalam kasih sayang dan harmoni adalah teras membina sebuah negara maju. Segalanya bermula di rumah.
PENULIS ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia dan anggota Majlis Agama Islam Selangor.- UTUSAN