Azolla pinnata berpotensi ganti makanan ayam

Azolla pinnata berpotensi ganti makanan ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh JAHIRA ALIAS dan HASSIMI ABU HASSAN

AZOLLA merupakan tumbuhan pakis akuatik dari keluarga Salviniaceae yang dikenali sebagai kiambang, lumut dan nyamuk pakis.

Azolla yang berwarna hijau mempunyai struktur rizom bercabang-cabang dengan keluasan diameter pada 0.5-7 sentimeter (cm) iaitu terdiri daripada daun-daun kecil (1 milimeter panjang) yang bertindih dan dahan tersusun rapat serta akar terapung di dalam air.

Akar itu mempunyai peranan menyerap nutrien secara langsung dalam permukaan air.

Kandungan protein yang tinggi dalam Azolla menjadikannya sebagai sumber protein alternatif untuk makanan haiwan ternakan seperti ayam, itik, burung puyuh, udang, kuda dan arnab di sampimg ternakan ikan air tawar seperti ikan keli, tilapia merah, kaloi dan patin.

Beberapa negara yang menggunakan Azolla sebagai makanan alternatif bagi haiwan ternakan ialah Malaysia, India dan Indonesia.

Antara spesies Azolla yang lazim digunakan untuk makanan haiwan adalah A. pinnata.

Ia digunakan sebagai makanan ternakan dalam pelbagai jenis iaitu basah, kering, serbuk dan pelet.

Penggunaan Azolla sebagai sumber protein dalam makanan ayam pedaging berjaya meningkatkan berat badan ternakan itu tanpa kesan negatif terhadap penghadaman nutrien.

Bukan itu sahaja, pengeluaran telur dan kualiti daging turut dapat ditingkatkan.

Selain itu, ikan talapia Nil juga menunjukkan kadar pertumbahan, kemandirian dan kadar penukaran makanan yang tinggi dengan pemberian Azolla yang ditapai sebagai sumber makanan.

Manakala, kandungan minyak ikan yang diekstrak daripada ikan patin yang diberikan Azolla didapati lebih berkualiti kerana mempunyai jumlah asid lebih rendah.

Di samping itu, Azolla juga digunakan sebagai baja hijau untuk tanaman sawah padi di Asia dan Afrika kerana kaya dengan kandungan fosforus dan nitrogen.

Langkah itu sekali gus dapat menjimatkan penggunaan baja urea sebanyak 50 kg/ha sehingga 100 kg/ha.

Kelebihan Azolla adalah ia cepat membiak dan senang ditanam petani tempatan kerana kos yang sangat rendah.

Selain itu, ia juga tidak bersaing dengan sumber makanan manusia, keperluan tanah yang rendah dan dapat menggantikan makanan ternakan komersial.


PEMBIAKAN
Pembiakan Azolla boleh dilakukan di dalam kolam berkeluasan 20 kaki lebar x 400 kaki panjang dengan kedalaman 6 kaki, selain di dalam tangki takungan air.

Kolam menggunakan air takungan dan air hujan tanpa penambahan baja manakala tangki takungan menggunakan air dengan sebatian baja organik iaitu tinja ayam.

Secara umumnya, Azolla yang dibiak dalam kolam akan dijual pada harga RM10 per kilogram manakala dalam tangki takungan pula dijual pada harga RM40 per kilogram.

Kos pembiakan Azolla adalah sangat minimum dan tetap bergantung kepada keluasan kawasan penternakan (kolam dan tangki) manakala kos tidak tetap pula melibatkan racun serangga.

Azolla yang terdedah kepada cahaya matahari akan bertukar kepada warna merah yang menunjukkan kandungan protein lebih tinggi berbanding Azolla bewarna hijau.

Penulis adalah pelajar Ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Kimia di samping Ketua Pusat Penyelidikan Teknologi Proses Mampan (CESPRO) dan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya