Ergonomik, tempat kerja, selesa, kesihatan

Amal ergonomik di pejabat cegah sakit tulang belakang, sendi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) berharap majikan akan lebih menitikberatkan keselamatan pekerja termasuk penyediaan perabot ergonomik yang lebih selamat untuk pekerja selepas penguatkuasaan Akta OSHA bermula Jun 2023.

Akta berkenaan mewajibkan penilaian risiko di tempat kerja dijalankan oleh setiap majikan atau konsultan dan langkah kawalan perlu diambil bagi mencegah insiden yang boleh mengancam kesihatan pekerja dalam jangka masa pendek dan panjang. Majikan yang gagal atau culas boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

Presiden MSOSH, Dr. Shawaludin Husin berkata dengan penguatkuasaan itu, masalah kesihatan akibat perabot yang tidak ergonomik dapat dicegah sekaligus meningkatkan kesihatan pekerja.

“Dengan undang-undang baharu ini kita berharap dapat mengurangkan atau menghentikan insiden sakit belakang, pergelangan tangan, bahu dan lengan yang semakin meningkat dalam kalangan pekerja.

Sakit belakang adalah tuntutan kedua tertinggi dibuat ke atas Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas masalah pendengaran yang terjejas atau pekak ketika bekerja.

“Selama ini, majikan tak nampak tanggungjawab mereka. Kalau pekerja sakit belakang, pekerja hanya ke klinik dan ambil surat cuti sakit atau menjalani pembedahan. Kalau kesan lebih teruk, mereka berhenti kerja. Bukan majikan yang tanggung kos bila pekerja sakit tetapi Perkeso. Cuba kalau majikan kena bertanguggjawab, kena bayar atau kena denda, baru mereka ambil kisah keselamatan pekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kesedaran mengenai ergonomik dalam kalangan pekerja masih rendah lantaran tidak diajar di peringkat sekolah mahupun di universiti.

Justeru bila berdepan masalah sakit belakang, lengan atau bahu, ia sering dikaitkan dengan faktor usia atau kesan kemalangan lama, obesiti dan sebagainya.

Tiada yang salahkan perabot. Kalau kesedaran ada boleh desak majikan untuk sediakan perabot ergonomik.

Dr. Shawaludin berkata, kurang daripada lima peratus majikan daripada syarikat besar mengamalkan ergonomik di tempat kerja.

Setakat ini, hanya syarikat Minyak dan Gas cenderung menitikberatkan soal kesihatan pekerja.

Tempat kerja perlu disesuaikan dengan pekerja terutama mereka yang guna kerusi sepanjang masa di tempat kerja atau menghadap skrin komputer sekurang-kurangnya empat jam hingga tujuh jam sehari.

“Perabot ergonomik sama macam kita pakai baju tidak ikut ukuran badan kita. Mestilah tidak selesa sangat. Kalau perabot, kerusi terbesar atau terkecil, duduk tak muat, tak cukup panjang terlalu tinggi atau rendah dan tiada sokongan tengkuk. Tengkuk, belikat dan bahu akan jadi lenguh dan lama-lama sakit. Bayangkan kena bekerja lima tahun, 10 tahun dan 15 tahun. Belakang tidak disandar dengan betul, tangan tergantung, tengkuk tidak direhatkan dengan betul, pergelangan tangan kena meja yang keras, duduk tepi tingkap ada silau.

“Ia boleh merosakkan badan beransur-ansur. Postur jadi tidak elok. Lama-lama kerosakan badan dalaman akan jadi lebih teruk. Otot, ligaman dan tendon boleh rosak. Itulah ada pekerja kena slip disk atau cakera tulang belakang berganjak, bahu jadi kaku, sendi sakit dan haus,” katanya.

Tambah beliau lagi, mengutamakan ergonomik di tempat kerja sebenarnya menguntungkan majikan daripada segi produktiviti dan keberkesanan bekerja. Pekerja tidak akan cepat penat kerana duduk di kerusi dan meja yang sesuai dan selesa. Malah dalam jangka masa panjang, pekerja jarang sakit.

Secara tidak langsung ini mengurangkan cuti sakit dalam kalangan pekerja malah pekerja akan bekerja dengan lebih baik dan cergas.

Majikan juga tidak perlu mengeluarkan kos tambahan untuk ubat-ubatan. Selain itu, mereka dapat mengelakkan daripada isu perundangan. Akhir sekali, ia menguntungkan majikan kerana dapat mengekalkan pekerja yang berkemahiran.

Kesesuaian meja, kerusi penting

Kerusi yang selesa akan meningkatkan keselesaan dan produktiviti pekerja.

Cara duduk yang tidak betul, pemilihan kerusi atau meja yang tidak sesuai atau tidak ergonomik boleh menyebabkan sakit-sakit badan. Lebih teruk, ia boleh menyebabkan tulang belakang membengkok.

Paling sedih, kakitangan yang akhirnya terpaksa menanggung kesakitan badan akibat gaya bekerja yang kurang sihat atau tidak ergonomik ini. Sesetengahnya terpaksa mengalami kecederaan kekal sehingga menyukarkan untuk kembali bekerja.

Pengarah Jualan dan Pemasaran, Impact Lifestyle Inc, Joseph Tan, berkata tidak kira sama ada seseorang itu makan gaji atau bekerja sendiri di rumah, mereka perlu bekerja secara ergonomik bagi memastikan kesihatan diri khususnya tulang belakang dan sendi lain terjamin.

“Ergonomik sebenarnya perkara mengikut logik akal. Kalau kerusi tidak selesa, kita akan rasa sakit badan.

Jadi, lebih baik kita jangan duduk lagi di kerusi itu. Cari kerusi yang lebih ergonomik di mana ia menyokong tulang belakang dan memindahkan tekanan ke kiri dan kanan badan.

“Sebagai contoh, kerusi yang penyandarnya anjal dan mengikut gerakan badan. Masa kita duduk, kadang-kadang kita kena capai pen, kertas atau cawan di sudut meja.
Kalau kerusi biasa, kita kena gerakkan badan ke kiri atau kanan nak ambil barang. Tapi kalau kerusi yang anjal ni, ia akan ikut gerakan badan kita,” katanya pada majlis pelancaran kedai perabot Ergoworks di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, duduk terlalu lama di kerusi juga boleh memberikan kesan ke atas tulang belakang dan tekanan kepada bahagian badan lain seperti tulang pinggul, bahu dan tangan semasa bekerja. Justeru beliau menasihatkan selepas duduk lama, perlu bangun dari kerusi.

Kebanyakan kerusi di pejabat hanya boleh mengubahsuai tempat meletak tangan. Tempat meletak tangan biasanya lebih rendah atau lebih tinggi.

Kalau tidak kena posisi yang betul, ia boleh menyebabkan rasa tidak selesa. Kena ingat apa saja yang buat anda duduk dengan postur yang pelik, adalah tidak betul.

“Anda perlu rasa selesa bila duduk di atas kerusi. Anda sesuaikan dengan kerusi yang ada. Masa duduk di meja, jangan letak kotak untuk dipijak di bawah meja untuk merehatkan kaki.

Terutama kalau kotak berkenaan kosong kerana bila dipijak boleh menyebabkan kemalangan. Semua orang kena ada tempat rehat kaki yang sempurna. Ia boleh diubahsuai ketinggiannya. Ia juga lebih stabil.

“Apabila duduk, bahagian pinggang anda tidak sepatutnya lebih rendah daripada lutut. Cara ini membuatkan anda cepat penat kerana tekanan ditanggung oleh tulang belakang. Jangan duduk bersila di atas kerusi kecuali kerusi itu cukup besar. Sebaliknya kalau kecil, ia tidak seimbang dan menyebabkan anda jatuh,” katanya.

Meja ergonomik ikut laras ketinggian

Meja yang boleh dilaraskan mengikut ketinggian lebih baik untuk kesihatan.

Meja yang boleh dilaraskan ikut ketinggian dicipta selepas Perang Dunia ke 2.

Ia bagi membantu bekas-bekas askar yang cedera dan hilang keupayaan untuk bekerja.

“Pada masa kini, ia masih digunakan kerana lebih baik untuk kesihatan. Meja ini boleh digunakan ketika anda duduk dan berdiri. Bila berdiri, boleh tinggikan meja ini. Setiap pekerja perlu membahagikan masa duduk dan berdiri ketika bekerja dengan nisbah 80 peratus duduk dan 20 peratus lagi berdiri dalam sehari.

“Boleh tambah masa duduk sehingga 50 peratus dan berdiri 50 peratus. Asalkan anda berasa selesa. Malah berdiri selama 15 minit pun sudah cukup baik berbanding hanya duduk di kerusi sepanjang hari. Kalau duduk di meja dengan cara salah, anda meletakkan tekanan tidak sepatutnya kepada bahagian belakang dan tengkuk,” katanya.

Katanya ketika bekerja dengan menggunakan skrin komputer, pastikan jarak mata anda dengan skrin adalah mengikut sedepa.

Ikut panjang tangan anda sendiri. Ketinggian monitor pula perlu di bawah dua sentimeter bagi mengelakkan tekanan pada bahagian belakang dan tengkuk anda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya