Biskut tart nanas antara yang menjadi rebutan pelanggan menjelang musim perayaan bahkan biskut ini antara hidangan wajib terhidang di atas meja. Hingga ada menyebut, kalau tidak dapat makan tart nanas umpama tidak lengkap sambutan hari raya.
Pelbagai bentuk tart nanas di pasaran.
Antaranya berbentuk seperti sebji buah nanas atau dikenali sebagai tart nanas nona, bentuk kiub atau empat persegi, bentuk daun, bentuk kerang dan bentuk buah-buahan yang mana inti kesemua bentuk tart tersebut ‘disorok’ di bahagian dalamnya.
Ada juga yang berbentuk bunga klasik, bentuk bunga moden, bentuk raga dan intinya pula terletak di bahagian luar.
Kini, ada satu lagi bentuk yang kian mendapata sambutan, dikenali sebagai tart nyonya atau tart bunga nyonya yang berbentuk seperti bunga matahari.
UNIK DAN BERSENI
Keunikan tart nyonya terletak pada bentuknya yang bulat pipih, diletakkan jem di tengah dan dihiasi jalur-jalur halus yang disusun bertingkah seperti renda.
Pembuat tart, Fatheen Asyila Azman Chan,28, berkata, idea menghias tart nyonya datangnya daripada ibunya, Sakilah Abdul Rahman yang juga merupakan seorang guru masakan.
Lulusan Diploma dalam bidang bakeri dan pastri ini berkata, beliau berbincang untuk mencari kelainan bentuk tart nanas terutamanya apabila menjelang musim perayaan.
“Kami mahu mencuba sesuatu yang baharu. Ibu berkongsi idea bagaimana cara dekorasinya supaya nampak menarik dan lain dari yang lain.
“Selepas mencuba hasilnya sangat membanggakan kerana sambutan daripada orang ramai menggalakkan,” katanya.
Menurut Fatheen Asyila, sambutan diterima amat menggalakkan, malah telah membuka kelas dalam talian mengajar mengenai cara-cara membuat tart nanas tersebut.
“Kata ibu, lebih baik ilmu membuat tart nanas nyonya dikongsi kepada yang berminat dan terpulang kepada mereka untuk dibuat makan sendiri atau mahu menjualnya kerana kami percaya kepada rezeki masing-masing.
“Walaupun membuka kelas, tapi tart nyonya kami terus laris dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemarnya,” katanya yang membuka bengkel membuat tart nanas di Skudai Johor Bahru, Johor.
Tambahnya lagi, pihaknya hanya mempromosikan tart nanas nyonya di media sosial termasuk facebook dan Instagram sahaja.
Pelanggan yang berminat akan terus menghubungi mereka atau melalui beberapa pengedar yang dilantik.
“Kami pernah membuat pelbagai bentuk tart nanas tetapi tart nanas nyonya paling mendapat sambutan mungkin kerana bentuknya yang unik dengan dekorasi atas jem yang menarik.
MEMAKAN MASA
Walaupun membuatnya memakan masa dan agak renyah tetapi ramai pelanggan yang sukakan sesuatu yang cantik dipandang.
“Sebelum ini kami pernah membuat tart yang intinya di dalam dan kami namakan tart beluncas kerana bentuknya memang berlekuk seperti beluncas. Bentuk ini digemari oleh pelanggan Cina.
“Selepas itu saya perkenalkan tart nyonya tanpa disangka lebih ramai yang ‘menyerang’ untuk menempahnya,” katanya yang menjelaskan setiap proses pembuatan melakukan tangan, tanpa bantuan mesin.
Mengulas mengenai cabaran memperkenalkan tart nyonya, usahawan muda ini berkata, pada peringkat awal ada yang mempersoalkan mengenai pembuatannya sama ada halal atau sebaliknya.
“Nama tart nyonya, dipertikai kerana ada desas-desus produk kami dihasilkan oleh pengusaha bukan muslim dan bahan-bahannya diragui.
“Kami hanya bersabar dan menjelaskan dengan berhati-hati kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk dan tidak mahu memanjangkan perkara yang tidak betul.
“Dalam menangani cabaran begini, pendorong yang paling kuat adalah ibu dan ahli keluarga.
“Kami terus fokus mengusahakan biskut-biskut terutama tart nanas nyonya dengan purata jualan yang paling banyak tentunya musim raya sehingga boleh mencecah hampir seribu balang,” katanya.
Selain biskut raya terutama tart nyonya, Fatheen Asyila turut menghasilkan aneka manisan seperti kek, pastri dan kuih muih Melayu serta menjalankan perniagaan kateriang secara kecil kecilan.