BAYANGKAN tinggal di khemah yang sempit untuk satu jangka masa lama, dalam keadaan terhimpit, tanpa sebarang kemudahan asas.
Ditambah pula dengan cuaca sejuk dan terpaksa mencatu makanan demi meneruskan kelangsungan hidup.
Paling menyedihkan semua mangsa terselamat juga perlu menyambut Ramadan dan Syawal dalam keadaan serba daif, tidak sebagaimana kita yang lengkap serta mewah.
Situasi ini sudah semestinya memberi rasa keinsafan termasuk petugas sukarelawan Pertubuhan Peduli Insan Malaysia (Peduli Insan) ketika menyertai misi bantuan kepada mangsa baru-baru ini.
Sukarelawan, Nuraishah Zaidi, 37, berasal dari Pulau Pinang berkata, misi kali ini berbeza biarpun sudah berpengalaman selama empat tahun dalam kerja kesukarelawan.
Beliau yang menyifatkan gempa bumi di Syria dan Turki sebagai sesuatu yang sangat teruk menjelaskan, sehingga kini beliau tidak dapat membayangkan keadaan mangsa berdepan kejadian gempa berkenaan dan melalui sepanjang proses pembangunan semula di kawasan berkenaan.
“Kami pergi ke tempat kejadian selepas berlaku gempa bumi dengan memberi fokus pada pelarian Syria selain untuk mangsa di Turkiye.
“Cuba bayangkan, dalam tempoh 11 tahun mereka diuji dengan ujian yang sangat berat. Jika sebelum ini tempat tinggal musnah dan kehilangan orang tersayang akibat konflik dan perang di negara mereka, kini sekali lagi penginapan mereka musnah akibat gempa bumi pula,” katanya kepada Utusan Malaysia sewaktu mengikuti misi bantuan kemanusiaan baru-baru ini Misi selama enam hari berakhir 26 Februari lalu, disertai lima orang sukarelawan Peduli Insan.
Dianggarkan 44,000 orang terkorban akibat dua gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye pada 6 Februari lalu dengan lebih 13 juta penduduk yang tinggal di kawasan itu terjejas akibat gempa bumi dahsyat itu.
Gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 magnitud berpusat di Kahramanmaras turut menggegarkan 10 wilayah lain termasuk Hatay, Gaziantep, Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Kilis, Malatya, Osmaniye, Elazığ dan Şanlıurfa.
Kata Nuraishah, dia sendiri tidak mampu untuk berdepan dengan ujian sebagaimana yang menimpa mangsa gempa bumi terutama bagi pelarian Syria.
“Kalau saya ada di tempat mereka, saya rasa tidak mampu hidup di dunia ini kerana kehilangan segala-galanya dengan cara yang amat tragis.
“Untuk membina kehidupan baharu bukannya mudah. Ia mengambil masa. Perit serta terseksa rasanya, tidak sebagaimana yang kita lihat dengan mata kasar. Kekuatan dan bantuan orang ramai sangat-sangat diperlukan,” jelasnya.
Azfar Abdullah,38, terpanggil membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara bagi membalas budi rakyat di Syria lantaran pernah belajar di negara berkenaan sebelum ini.
“Isu berkaitan rakyatnya, sangat dekat dengan diri saya. Sewaktu saya belajar di sini, mereka banyak membantu saya. Malah sewaktu bersolat di masjid, orangnya juga sering belanja saya makan.
“Sebab itu daripada sudut peribadi ia sangat dekat dengan jiwa. Saya seperti pulang ke kampung sendiri apabila bercakap mengenai Syria,” jelasnya.
Dia berkata, musibah bertimpa-timpa melanda rakyat tersebut wajar dijadikan pengajaran kepada sesiapa sahaja terutama rakyat Malaysia.
“Mereka bercerita kepada saya, tempoh 10 tahun hidup dengan perang dan mendengar letupan sudah biasa. Kalau berlaku (perang) mereka boleh lari berselindung.
“Tetapi bila berlaku gempa bumi, mereka kata tiada tempat nak lari. Mereka peluk anak-anak sambil mengucap dua kalimah syahadah dan hanya berserah kepada Allah SWT.
Mati atau selamat, mereka mahu bersama-sama,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Al-Hakim Matsuki,28, berkata, dia melihat sendiri bagaimana sukarnya kanak-kanak meneruskan kehidupan terutama dalam menyambut kedatangan bulan mulia ini.
“Saya pernah didatangi seorang kanak-kanak yang meminta makanan dan minuman. Sayu lihat wajah kanak-kanak itu. Dia mengalami patah tangan kanan akibat di hempap konkrit sewaktu gempa bumi yang berlaku.
“Saya turut sempat menemubual mangsa lain yang merupakan seorang bapa kepada tiga anak. Isterinya terkorban akibat kejadian gempa. Mangsa mengalami patah kaki kanan dan tidak dapat berjalan,” jelasnya.
Selain dapat melihat keadaan mangsa, Muhammad Al-Hakim berkata, dia juga dapat melihat sendiri bangunan yang musnah sehingga ada kawasan yang keseluruhannya hancur bagai terkena letupan bom.
Kumpul bantuan RM1 juta
Menempuhi fasa pemulihan antara tempoh yang sangat sukar bagi mangsa yang terselamat dalam kejadian gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Kerugian harta benda dan gangguan psikologi sudah semestinya perkara yang perlu diberi perhatian lantaran sudah semestinya mengambil masa panjang untuk dirawat.
Pengerusi Peduli Insan, Mohd. Luqmanulhakim Mohd. Redzuan berkata, lantaran itu, Peduli Insan akan memberi fokus terhadap bantuan kecemasan gempa bumi khusus untuk fasa tersebut dengan menyasarkan pertambahan jumlah kutipan daripada sasaran asal.
“Alhamdulilah kita sudah berjaya mengumpul sebanyak RM1 juta dan agihkan kepada beberapa fasa. Sebanyak RM250,000, diberikan untuk fasa kecemasan iaitu sebaik kejadian gempa berlaku. Dan selepas itu diikuti beberapa fasa termasuk semasa proses mencari dan menyelamat.
“Kita akan beri tumpuan di Syria iaitu sebanyak 90 peratus bantuan akan disalurkan ke sana khusus untuk mangsa gempa bumi. Bantuan makanan antara yang kita tekankan sebab apabila berlaku bencana, sukar untuk mendapatkan perhubungan dan akses,” ujarnya.
Dia juga berkata, kutipan menggalakkan dan sangat baik diterima daripada rakyat Malaysia dalam aspek kemanusiaan.
“Selepas ini kita akan teruskan untuk fasa pemulihan dengan mengubah sasaran daripada RM1 juta kepada RM2 juta.
“Ini kerana kita tahu melalui tempoh fasa ini bukan sesuatu yang mudah dan mengambil masa yang panjang,” katanya.