Ramadan, Syawal anugerah terindah Suzie Eryanty

Ramadan, Syawal anugerah terindah Suzie Eryanty

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEINDAHAN nama puteri kesayangan kepada penghias muka depan Seri minggu ini membuatkan hati terus terdetik beliau merupakan individu tepat untuk ditemu bual bagi siaran penghujung Ramadan.

Pasti ada cerita menarik berkaitan bulan ibadah di sebalik nama si cilik Lailatul Ramadhani Datuk Seri Ab. Rauf yang kini berusia dua tahun.

Tanpa berlengah, pertemuan terus diatur pada minggu lalu dan kerjasama diberikan Datin Seri Suzie Eryanty Mohd. Suleiman, 35, amat baik sekali.

Pendek kata, mudah berurusan dengan suri hati kepada Ketua Menteri Melaka Ke-13, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh ini dalam kesibukannya sebagai isteri, ibu dan usahawan fesyen.

Bagi Suzie Eryanty, Ramadan sentiasa dinantikan saban tahun kerana merupakan bulan penuh keberkatan dan rezeki selepas kelahiran Lailatul Ramadhani pada 2021.

Katanya, lumrah setiap wanita pasti mengimpikan untuk bergelar ibu dan pelbagai usaha telah dilakukan di awal perkahwinan untuk hamil, namun tidak kesampaian.

Bagaimanapun, jelitawan itu percaya perancangan Allah adalah yang terbaik dan tanpa disangka dianugerahkan permata sulung pada tahun ketiga melayari bahtera rumahtangga.

“Sampai satu tahap saya pasrah jika ditakdirkan masih lambat untuk dikurniakan bayi tetapi berkat Ramadan akhirnya saya diberikan anugerah terindah dalam hidup.

“Berita mengenai hamil diketahui pada hari kedua Syawal tahun 2021 dan disambut dengan tangisan kegembiraan oleh semua ahli keluarga yang berkumpul di kampung halaman di Tampin, Negeri Sembilan.

“Mungkin doa saya serta seluruh ahli keluarga setiap kali solat tarawih berjemaah sepanjang bulan Ramadan dalam tempoh pandemik Covid-19 itu dimakbulkan Allah S.W.T, dan menemui Lailatul Qadar yang dicari,” ujarnya membuka bicara.

Suzie Eryanty berkata, kegembiraan berganda apabila kakak dan kakak iparnya yang menunggu lebih 10 tahun untuk memiliki anak turut disahkan berbadan dua tidak lama kemudian.

Jelasnya, rezeki Ramadan tidak putus-putus diraih dengan terbaharu menerusi pelantikan suami tersayang untuk menerajui kepemimpinan kerajaan negeri Melaka.

Katanya, istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan itu berlangsung pada 31 Mac lalu bersamaan hari ke-9 umat Islam berpuasa.

Lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menambah, terlalu banyak rezeki dikurniakan Allah S.W.T untuknya sekeluarga, sekali gus bernazar untuk khatam al-Quran setiap kali bulan Ramadan sehingga ke akhir hayat.

LEBARAN LEBIH ISTIMEWA
Suzie Eryanty berkata, kehadiran lebaran kali ini lebih istimewa dengan tanggungjawab baharu digalas suaminya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara.

Bagaimanapun, katanya, kesibukan tugas suami tidak menghalang mereka meraikan hari kebesaran umat Islam itu secara bersama pada petang hari pertama Aidilfitri.

“Kami dua beranak akan beraya di rumah keluarga saya di Tampin dengan suami dijadualkan datang di sebelah petang selepas selesai urusan kerja.

“Mujurlah jarak di antara Masjid Tanah dengan Tampin tidak jauh dan kemudian barulah kami pulang ke Melaka bagi beraya bersama keluarga di sebelah suami di samping menghadiri majlis-majlis bersama kenamaan serta rakyat,” katanya.

Menurut Suzie Eryanty, lazimnya dia tidak menang tangan pada hari raya pertama dan kedua kerana dikunjungi rakan-rakan suami yang terdiri daripada kalangan ahli politik.

Sehubungan itu, katanya, bagi menjamu tetamu yang datang, lauk-pauk kebiasaannya dimasak berkawah-kawah umpama majlis kenduri.

Ujarnya, urusan masak-memasak dikendalikan kesemua enam adik-beradiknya bersama ibu bapa dengan menu wajib seperti rendang Negeri Sembilan, rendang daging, lontong, lemang dan ketupat.

Manakala pada hari kedua pula menu rasmi keluarganya ialah sup tulang yang dimakan bersama mihun dan nasi.


ANAK PILIH WARNA TEMA BAJU
Sebelum ini, warna tema pakaian Aidilfitri ditentukan oleh Suzie Eryanty sendiri, namun kali ini tugasan itu diambil alih permata hatinya.

Katanya, atas permintaan Lailatul Ramadhani, warna maroon dipilih untuk persalinan hari pertama manakala hijau dan pastel pula untuk hari kedua.

“Anak makin membesar dan ada citarasa sendiri jadi saya ikut sahaja pilihan dia. Biasanya baju raya kami sekeluarga dijahit oleh kakitangan di butik saya, Temujanji.

“Bagi saya Aidilfitri merupakan hari paling bermakna selepas hari lahir saya, suami dan anak, sebab itulah segala persiapan serta sambutannya dibuat secara meriah,” katanya.

Mengulas mengenai fesyen lebaran, Suzie Eryanty berkata, dia selesa tampil berbaju kurung jika berada di rumah melayan tetamu manakala berjubah apabila berkunjung ke rumah sanak saudara serta rakan taulan.

Katanya, suami pula tidak banyak karenah dan menyerahkan sepenuhnya kepadanya dalam menentukan pakaian raya mereka sekeluarga.

Dalam pada itu, mengimbau kenangan zaman kecil, katanya suasana di rumah riuh-rendah dengan aksi mereka enam beradik mencuba pakaian raya masing-masing selepas selesai membeli-belah seolah-olah seperti berada di acara pertunjukan fesyen.

Anak keempat itu berkata, mereka bukan sahaja dibelikan baju kurung dan Melayu baharu, malah ibu turut menyediakan baju tidur sempena raya.


TRADISI BUAT KUIH RAYA BERAMAI-RAMAI
Suzie Eryanty memberitahu aktiviti membuat kuih raya menjadi amalan keluarganya sejak dahulu lagi bagi mengeratkan ikatan kasih sayang di samping menyuburkan makanan tradisi kepada generasi muda.

Katanya, mereka enam beradik di samping anak-anak saudaranya akan berkumpul di kampung dan melakukan aktiviti itu secara bersama pada bulan Ramadan.

“Emak mempunyai 12 cucu dan kesemua mereka yang kecil-kecil itu diajar serta didedahkan dengan proses membuat kuih raya yang mudah-mudah.

“Dengan cara itu, mereka juga dapat merasai nostalgia raya zaman dulu kala yang pernah kami adik-beradik lalui,” katanya.

Suzie Eryanty tidak menafikan raya dahulu dan sekarang sedikit berbeza kerana datuk nenek yang sudah tiada manakala sanak-saudara pula sibuk dengan keluarga masing-masing.

Namun, ujarnya, kemeriahan itu tetap sama walaupun jumlah ahli keluarga semakin berkurangan.

“Kami adik-beradik sangat rapat antara satu sama lain dan hikmah Covid-19 lalu membolehkan kami sekeluarga berkumpul meraikan Ramadan dan Syawal tanpa ada seorang pun yang tertinggal.

“Oleh itu, setiap kali raya, sambutan dalam keluarga kami lazimnya dibuat secara besar-besaran sebagai tanda kegembiraan setelah sebulan berpuasa,” katanya.


SENTIASA SENYUM, KETAWA TIPS CANTIK
Sebagai pemilik butik, Suzie Eryanty mengakui gemar berhias dan bergaya jika ada janji temu atau menghadiri majlis.

Bagaimanapun beliau tidak gemar mengikut trend semasa, sebaliknya mengutamakan fesyen elegan dan malar segar.

“Nasihat saya jangan terpengaruh dengan trend masa kini tetapi ikut bentuk badan dan gaya sendiri, paling mustahak fesyen itu perlu elegan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah rahsia kecantikannya, menurut Suzie Eryanty, tipsnya sangat mudah iaitu sentiasa tersenyum dan ketawa.

Katanya, apa jua ujian yang menimpa, jangan berfikir keterlaluan dan terus berusaha serta berdoa agar dikurniakan rezeki yang lebih baik.

BIODATA
Nama : Datin Seri Suzie Eryanty Mohd. Suleiman
Umur : 35
Asal : Negeri Sembilan
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Senibina dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kerjaya : Usahawan dan pemilik butik Temujanji
Anak : Lailatul Ramadhani Ab. Rauf, 2

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya