Berpuasa sepanjang Ramadan (bukan puasa berpanjangan atau ketika kebuluran), tidak akan mengubah komposisi zat nutrisi terutamanya makronutrien seperti karbohidrat, protein, dan lemak dalam susu ibu.
Kandungan dan komposisi susu ibu akan kekal sama disebabkan tubuh mereka akan melakukan adaptasi ke atas perubahan pengambilan diet. Tubuh juga akan menggunakan kalori yang tersimpan dalam badan mereka terutamanya dari sel-sel lemak.
Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan, Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia dan Pakar Obstetrik & Ginekologi, Hospital Pengajar UPM, Dr. Ahmad Shuib Yahaya berkata, apa yang penting ibu perlu makan dan minum secukupnya ketika sahur dan berbuka bagi mengekalkan pengeluaran susu mencukupi.
“Ibu dinasihatkan mengambil makanan seimbang dan bernutrisi. Diet perlu mengandungi karbohidrat yang tinggi nilai glycemic index (GI) iaitu yang lambat dicerna dan mengeluarkan tenaga dengan perlahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Antara karbohidrat tinggi nilai Gi ialah bijirin penuh, beras yang rendah G.I, kurma dan buah-buahan kering.
Mereka turut disaran makan makanan mengandungi serat tinggi seperti sayuran dan buah-buahan.
Kata Dr. Ahmad Shuib, berehat dengan cukup juga boleh menambah kuantiti susu.
Malah jiwa ibu yang tenang dan menjaga emosi, penting dalam memastikan pengeluaran susu tidak terhalang.
Dr. Ahmad Shuib berkata, bagi ibu yang sihat dan tiada sebarang masalah kesihatan terutama yang kronik, biasanya mereka mampu berpuasa untuk tempoh yang singkat seperti pada siang Ramadan tanpa sebarang masalah.
“Bagaimanapun berpuasa bagi tempoh lama terutamanya dalam cuaca panas dan kering ketika musim panas di negara-negara bermusim boleh menyebabkan masalah kekeringan atau dehidrasi yang boleh memberi kesan ke atas kesihatan keseluruhannya,” katanya.
Bila ibu perlu berhenti berpuasa?
Ibu-ibu menyusu adalah salah satu golongan yang diberikan kelonggaran (rukhsah) untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadan. Apatah lagi bagi mereka yang menghidapi penyakit seperti diabetes, gastritis dan sebagainya.
Sekiranya ibu menghidapi masalah kesihatan seperti diabetes, darah tinggi, kurang darah merah (amenia), disarankan supaya mendapatkan nasihat doktor sebelum membuat keputusan untuk berpuasa.
Manakala yang menyusukan anak secara eksklusif pada usia bawah 6 bulan juga selalunya dinasihatkan untuk tidak berpuasa kerana bayi betul-betul bergantung kepada susu ibu untuk mendapatkan khasiat diperlukan.
“Sebagai contoh bagi pesakit diabetes terutamanya yang perlu mengambil ubat insulin atau ubat OHA (oral hypoglycaemic agents), risiko komplikasi seperti kekurangan glukos (hypoglycaemia) dan dehidrasi boleh meningkat jika mereka berpuasa.
“Ditambah dengan aktiviti penyusuan bayi, dehidrasi akan lebih mudah berlaku dan bagi pesakit diabetes, mereka boleh mengalami koma dan kandungan asid yang tinggi (diabetic ketoacidosis) yang berisiko mengancam nyawa,” katanya.
Bagi mengelakkan mengalami dehidrasi, ibu perlu memastikan mereka minum air dengan cukup.
Ada beberapa tanda perlu diperhatikan oleh ibu bagi mencegah kesan buruk ke atas mereka dan susu yang dihasilkan.
Antara tanda menunjukkan ibu mengalami dehidrasi adalah turun berat badan yang signifikan, berasa dahaga yang teruk, mengalami kelesuan dan mengantuk berlebihan, sakit kepala dan kencing menjadi pekat dan berbau.
Jika mengalami gejala sebegini, ibu dinasihatkan supaya segera berhenti berpuasa bagi mengelakkan masalah kesihatan yang serius kepada diri dan bayi.
“Bagi memastikan cukup air, ibu dinasihatkan minum dua hingga tiga liter cecair dalam tempoh berbuka hingga sahur. Sumber cecair yang baik adalah dari air, jus buah dan buah-buahan segar.
“Elakkan daripada minum minuman mengandungi kafein seperti kopi dan teh kerana akan menyebabkan lebih cepat berlaku dehidrasi. Ibu turut dinasihati bersahur selewat mungkin.
“Pastikan juga mendapat rehat secukupnya sepanjang menjalani ibadah berpuasa. Rehat yang cukup dapat menjimatkan penggunaan tenaga dan menurunkan kadar stress,” kata Dr. Ahmad Shuib.