Tanggapan bahawa asid gastrik meningkat ketika perut kosong seterusnya menghalang penghidapnya daripada berpuasa adalah tidak benar.
Ini berikutan sepanjang berpuasa, rembesen asid gastrik berkurangan lantaran sistem penghadaman sedang berehat. Sebaliknya, gejala gastritis yang dihadapi semasa berpuasa, adalah lebih disebabkan tabiat pemakanan tidak teratur terutamanya semasa berbuka puasa.
Pegawai Farmasi, Jabatan Farmasi Hospital Selayang, Nurul Adilah Abdul Mutalib berkata, bagi mengelakkan rasa tidak selesa pada perut, orang ramai khususnya penghidap gastrik perlu mengelakkan makanan berasid tinggi.
Individu yang ada masalah gastrik, sebaiknya elakkan makanan yang mempunyai asid tinggi seperti limau, oren dan tomato, makanan yang pedas, bergoreng, berminyak atau berlemak dan makanan di dalam tin kerana kandungan asid yang tinggi.
“Makanan dan minuman berkarbonat serta tinggi kandungan kafein seperti teh atau kopi juga boleh menyebabkan serangan gastritis. Selain itu, amalan seperti merokok, tidur sebaik sahaja selepas sahur atau makan banyak ketika berpuasa perlu dielakkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Untuk meredakan gejala gastrik dialami, beliau menasihatkan pesakit segera berbuka dan lewatkan bersahur dan tidak amalkan bersahur sebelum masuk tidur pada malam hari.
“Selepas bersahur, elakkan daripada terus tidur kerana ini mungkin akan menyebabkan seseorang itu mengalami kepedihan di ulu hati. Berbuka puasa dalam kuantiti sederhana dan jarakkan pengambilan makanan.
“Waktu berbuka puasa, ambil makanan mudah hadam dan dapat memberikan tenaga segera seperti kurma.
“Kurma baik kerana ia dapat merangsang rembesan asid gastrik dan menjadikan perut lebih bersedia untuk pengambilan makanan seterusnya.
“Sebagai contoh, berbuka dengan buah kurma dan segelas air lalu terus solat maghrib. Kemudian, makan nasi separuh pinggan, ikan yang dikukus, sayuran dan buah-buahan. Selesai tarawih, makan buah-buahan, biskut oat atau roti,” katanya.
Ubat pun boleh jadi punca gastrik
MAKAN ubat tahan sakit setiap kali mengalami serangan gastrik adalah amalan yang tidak sihat kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan.
Ini disebabkan oleh bahan yang terkandung dalam ubat tahan sakit boleh mengurangkan penghasilan prostaglandin iaitu sejenis hormon yang bertindak melindungi lapisan perut daripada hakisan asid gastrik dalam perut.
Nurul Adilah berkata, kekurangan hormon ini menyebabkan permukaan dalam perut menjadi mudah terhakis oleh asid gastrik.
“Ubat tahan sakit seperti ubat anti radang bukan steroid (NSAIDs), aspirin dan ubat tradisional yang mempunyai kandungan steroid yang tinggi jika diambil secara berterusan boleh menyebabkan masalah gastrik.
“Ada juga beberapa ubat tahan sakit dan ubat cair darah yang boleh menyebabkan pengurangan penghasilan mukus dan bikarbonat dalam perut, mengakibatkan perut tidak dapat dilindungi dari penghadaman secara automatik,” katanya.
Bagaimanapun, pesakit yang mengambil ubat- ubatan ini untuk rawatan kesihatan, dinasihatkan jangan berhenti daripada makan ubat-ubat berkenaan melainkan dimaklumkan oleh doktor atau pegawai farmasi.
Jadual pengambilan ubat boleh diubahsuai mengikut kesesuaian regimen ubat pesakit oleh doktor atau pegawai farmasi, sekaligus membantu pesakit mengelak daripada masalah gastrik.
Nurul Adilah berkata, ambil ubat-ubatan seperti yang diarahkan doktor dan ahli farmasi.
Sebagai contoh, pesakit dinasihatkan untuk mengambil ubat sewaktu sahur (bagi dos sekali sehari ), sewaktu berbuka dan sahur (bagi dos dua kali sehari), sewaktu berbuka, sahur dan selepas tarawih (bagi dos tiga kali sehari).
“Pesakit perlu sentiasa peka dan tidak mengabaikan tanda-tanda awal gastrik atau sekadar merawat gejalanya dengan makan ubat saja. Ini kerana dikhuatiri punca sebenar kepada gejala gastrik atau sakit perut gagal diatasi. Contohnya seperti jangkitan Helicobacter pylori yang tidak dirawat dan akan menjadi bertambah serius sehingga terjadinya ulser dalam perut,” katanya yang menyarankan pesakit bertemu doktor dan ahli farmasi untuk mendapatkan nasihat berkenaan kesesuaian keadaan kesihatan untuk berpuasa, pemakanan dan ubat-ubatan yang perlu diambil sewaktu Ramadan.
Pandangan agama dan perubatan, jika pesakit mengalami gejala gastrik yang teruk ketika berpuasa terutama pada waktu tengah hari atau lewat petang, mereka diharuskan berbuka puasa.
Ruksah atau kelonggaran ini diberikan kerana dikhuatiri jika diteruskan berpuasa dalam keadaan seperti ini boleh mendatangkan kemudaratan.