Pembelajaran berasaskan komuniti tingkat keseronokan belajar - Utusan Malaysia

Pembelajaran berasaskan komuniti tingkat keseronokan belajar

SHAIDATUL Nazwa Jaafar (kiri) memberikan penerangan kepada murid tentang aktiviti perlu diselesaikan sebelum bergerak ke stesen lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKOLAH Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai, Kuala Perlis mengambil inisiatif mewujudkan stesen pembelajaran berasaskan komuniti bagi memberi keseronokan kepada mereka dalam proses pembelajaran.

Usaha yang dimulakan sejak sesi persekolahan tahun lalu itu, turut mendapat kerjasama penduduk di Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai.

Hingga kini ada 20 stesen pembelajaran diwujudkan di kampung itu dalam menjayakan pelaksanaan projek pembelajaran berasaskan komuniti tersebut.

Inisiatif dilaksanakan itu turut mendapat pengiktirafan apabila SK Seberang Ramai disenaraikan antara lima sekolah terbaik di Malaysia untuk bertanding dalam anugerah World’s Best Schools anjuran T4 Education.

SK Seberang Ramai yang mempunyai 80 peratus murid dalam kalangan keluarga nelayan itu telah dicalonkan dalam kategori Kolaborasi Komuniti bagi merebut anugerah yang menawarkan hadiah bernilai RM1 juta.

Sekolah berkenaan terpilih berikutan komitmen yang ditunjukkan dalam mentransformasikan kehidupan murid dan komuniti setempat di kampung terlibat.

Projek itu mendapat kerjasama beberapa pihak seperti Jabatan Pendidikan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan komuniti setempat.

Guru Besar SK Seberang Ramai, Zubir Ghazali, 56, berkata, konsep latihan pembelajaran berasaskan komuniti itu adalah dengan membawa kumpulan murid dari sekolah berkenaan ke stesen diwujudkan bagi mengikuti kelas atau latihan berdasarkan modul ditetapkan mengikut kategori mata pelajaran di samping didedahkan dengan aktiviti seperti memasak, bercucuk tanam dan pusat kecergasan mini.

“Fun learning, memudahkan murid faham dan berdepan dengan situasi sebenar,” katanya.

Zubir memaklumkan inisiatif mendapat kerjasama daripada barisan guru yang turut mengambil peranan bagi mengenal pasti lokasi menarik bagi penubuhan stesen pembelajaran.

“Guru turut mendapat bantuan sebaiknya daripada komuniti di kampung nelayan itu bagi menentukan lokasi bersesuaian untuk penubuhan stesen pembelajaran.

“Ada sesetengah aktiviti memerlukan penglibatan daripada komuniti, antaranya demo penyediaan kuih-kuih tradisional dan sebagainya,” katanya.

Mengenai pencalonan anugerah itu, Zubir berkata, sebelum ini, SK Seberang Ramai, menghantar permohonan dalam pertandingan di peringkat Malaysia bersama 200 buah sekolah lain.

Sekolah akan melalui proses saringan, hanya lima terbaik dipilih mewakili Malaysia di peringkat dunia bagi pencalonan anugerah berkenaan.

Mengenai perancangan masa depan, pihaknya merangka pakej tertentu meliputi menu makanan bersesuaian buat murid-murid sekolah lain yang berminat mengikuti aktiviti di stesen pembelajaran itu.

Usaha ini juga dapat menjana pendapatan tambahan buat sekolah, khususnya dalam membantu meningkatkan taraf pendidikan murid.

“Kita turut membuka stesen ini kepada sekolah-sekolah lain dan setakat ini, dua sekolah sekitar negeri ini telah menyatakan minat untuk turut sama dalam program ini,” katanya.

‘Murid lebih mudah faham’

penyelaras projek, Shaidatul Nazwa Jaafar, 35, berkata, guru-guru SK Seberang Ramai akan menyusun senarai murid-murid pada setiap minggu untuk di bawa ke stesen pembelajaran itu yang hanya berjarak kira-kira 600 meter dari sekolah berkenaan.

Sekolah itu mempunyai sekitar 500 orang murid secara keseluruhan dan kebanyakan adalah anak nelayan dan tidak terdedah dengan dunia luar.

Berdasarkan perjalanan program itu sejak dilaksanakan tahun lalu, Shaidatul berkata, murid-murid sekolah itu menunjukkan peningkatan dalam bidang akademik dengan mengambil peluang menerokai pembelajaran secara sendiri.

Stesen pembelajaran itu dapat mencorak pemikiran murid dan memberi kefahaman kepada mereka menerusi komunikasi secara terus dengan guru.

“Memang dapat dilihat perubahan kepada murid daripada segi sahsiah dan akademik sewaktu mereka mengikuti pembelajaran di stesen-stesen ini.

“Malah, melalui stesen ini juga, guru-guru dapat mengenal pastu potensi dan kecenderungan seseorang murid itu,” katanya.

Shaidatul yang juga merupakan guru Bahasa Inggeris di SK Seberang Ramai berkata, ada antara murid tidak begitu cemerlang dalam akademik namun mempunyai potensi dalam bidang lain seperti komunikasi, seni dan sebagainya.

“Walaupun ada di antara murid kurang dalam akademik, namun mereka berpotensi dalam bidang lain dan dapat menjadi duta kecil kepada kampung ini sekali gus mempromosikannya kepada masyarakat luar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN