Sate memang enak dinikmati tetapi untuk menyediakan juadah itu bukan sesuatu yang mudah. Bermula dari proses memotong daging, menyediakan rempah-ratus untuk perapan sehingga proses mencucuk memakan masa yang panjang.
Dalam kesemuanya, mencucuk adalah proses yang paling rumit dan memerlukan kemahiran dalam melakukannya.
Isu itulah juga antara yang membelenggu pengusaha sate kerana tenaga kerja ramai dan berkemahiran tinggi itu meningkatkan kos.
Bagi mengatasi permasalahan itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Azman Hamzah membangunkan teknologi mesin pencucuk sate separa automatik bagi meningkatkan produktiviti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakilnya yang juga Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan, Dr. Masniza Sairi berkata, secara purata, seorang pekerja berupaya mencucuk 1,000 hingga 1,500 cucuk sehari dalam tempoh lapan jam bekerja.
Di samping memerlukan kemahiran, kaedah itu juga tidak menjamin kebersihan produk kerana sate berkenaan boleh tercemar jika pekerja secara tidak sengaja tercucuk jarinya sendiri.
“Oleh itu, dengan adanya mesin ini, ia boleh mengatasi isu-isu berkenaan kerana ia hanya perlu dikendalikan oleh seorang pekerja sahaja.
“Proses mencucuk pula tidak dilakukan secara manual sebaliknya pekerja hanya perlu mengisi daging sate dan lidi ke dalam acuan dan sate dicucuk secara mekanikal,” jelasnya.
Tambahnya, ia sangat sesuai digunakan oleh pengusaha kecil yang ingin meningkatkan produktiviti memandangkan mesin berkenaan mampu mencucuk 300 hingga 350 batang sate dalam masa satu jam.
Selain itu, kebersihan juga lebih terjamin dan sesuai untuk dimasukkan ke dalam pasaran import.