Merakam kembara dalam buku - Utusan Malaysia

Merakam kembara dalam buku

Buku Kembara Ukhuwah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai tokoh besar pada zaman lampau, melakukan aktiviti kembara. Selain menambah ilmu, ia dapat meneroka kepelbagaian di bumi asing. Ibnu Batutah, Marco Polo, al-Mas’udi, Bartholomew Diaz dan Ferdinand Magellan, antara tokoh yang berbuat demikian.

Dalam konteks semasa, aktiviti kembara kian popular. Banyak syarikat pelancongan menganjurkan program kembara ke pelbagai negara. Ada juga yang ramai melakukannya secara backpacker atau Do It Yourself.

Sehubungan itu, buku bercorak travelog dan kembara juga semakin mendapat tempat. Penulis seperti Prof Muhd. Kamil Ibrahim, Saiful Nang, Meor Farid Asyradi dan Faiz Najmi dikenali ramai dan meruntun jiwa pembaca untuk melakukan kembara.

Mustaffa Siraj, penulis buku Kembara Ukhuwah, antara yang gemar menulis kisah pengembaraan. Antara negara dilawati ialah Perancis, Britain dan Turkiye.

Pastinya keunikan setiap negara menjadi tumpuan. Menurutnya, siapa sangka, di Vietnam, terdapat sebuah padang pasir panas, iaitu di Mui Ne, 215 kilometer ke timur kota Ho Chi Minh. Penulis menikmati suasana seperti di gurun di negara Arab dengan menaiki pacuan empat roda.

Dalat tidak kurang me­narik. Bandar dengan keting­gian 1,500 meter dari aras laut ini, terletak 300 kilometer di utara Ho Chi Minh. Suhu dingin dan nyaman, kewujudan banyak air terjun, taman bunga, tasik juga stesen kereta api lama, antara tarikan ada di sini. Tidak terkecuali Ho Chi Minh yang terkenal dengan jolokan syurga membeli belah.

Bali di Indonesia, bukan hanya menjadi lokasi berbulan madu semata-mata. Deretan pantai memukau terdapat di sini, seperti di Kuta, Pandawa, Seminyak, Melasti dan Sanur.
Acara kebudayaan, makan malam di Jimbaran dan keindahan Gunung Kintamani tidak kurang menariknya.

Penulis memasukkan banyak foto warna, yang dapat memberi gambaran sebenar tarikan pelbagai destinasi yang beliau kunjungi.

Ulasan yang ringkas tetapi padat dapat memandu minat pembaca menghayati perjalanannya.

Buku ini sangat sesuai dibaca oleh pencinta kembara dan mereka yang bercita-cita meneroka kepelbagaian tarikan merentasi negeri dan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya