PENYANYI lagu dangdut malar segar Dag Dig Dug, Haiza menganggap kehadirannya di dalam dunia hiburan hampir dua dekad sebagai kerjaya yang mematangkan diri.
Menurut Haiza, dunia hiburan seperti bidang kerjaya lain berubah mengikut peredaran zaman maka maklumat tentang perkembangan industri hiburan semasa perlu sentiasa dikemaskini.
“Sebagai penghibur, saya juga seperti artis lain ingin kekal relevan dalam industri. Persaingan bukan sahaja dengan rakan-rakan sezaman malahan penyanyi baharu.
“Saya terfikir untuk berkolaborasi dengan penyanyi baharu yang digelar Budak Budak Baru Nak Up (BBNU). Ramai kelompok ini berbakat besar sebagai pencipta lagu dan penyanyi.
“Pengaruh penyanyi muda sekarang berbeza. Apatah lagi, kita di era media sosial. Kita harus bergerak seiring dengan peredaran teknologi untuk kekal relevan juga,” katanya.
Dia ditemui selepas mengadakan persembahan bagi mempromosi Program Anjung Lebaran Plaza Shah Alam baru-baru ini.
Haiza yang juga DJ Buletin FM berpasangan dengan Hanif Miswan di konti berkata, dia ada bertanya penyanyi Di Matamu, Sufian Suhaimi berhubung pengalaman berkolaborasi mencipta lagu Budi dengan penyanyi dan pencipta muda, Luca Sickta.
Kongsinya, dia mahu mencuba sesuatu yang lebih segar tanpa mengubah identiti atau terlalu mencuba untuk meraih sokongan peminat khususnya golongan muda.
“Tidak menjadi isu sebenarnya untuk mengadakan kerjasama dengan penyanyi muda kerana mereka turut bereksperimen untuk menghasilkan lagu yang berkualiti.
“Sebagai contoh kolaborasi Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kmy Kmo dan Luca Sickta menghasilkan lagu 7 Nasihat berjaya mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat muzik.
“Tidak ada isu pun kalau kata nak tumpang populariti sesiapa kerana tugas saya adalah menghiburkan. Kita sama-sama memberi karya yang baik untuk pendengar dan peminat muzik tempatan,” katanya.
DJ BUKA RUANG
Ibu seorang cahaya mata, Nur Iman Syafie,10 menambah, tugas sebagai penyampai radio sebenarnya membuka pintu peluang untuk dirinya bertemu artis-artis dan pencipta muda berbaka.
Namun katanya, pertemuan tersebut adalah semasa menjalankan tugas di konti dan tidak larut hingga ke tahap berbincang dengan serius untuk menghasilkan lagu.
“Kadang-kadang terfikir jika berkoloborasi dengan penyanyi muda ini, apabila melibatkan featuring atau duet akan timbul masalah untuk mengadakan persembahan. Kalau saya seorang tiada masalah untuk menyanyikan sesuatu lagu.
“Kadang-kadang penyanyi yang tampil dalam satu-satu lagu hanya menyebut beberapa patah perkataan. Kita tengok macam mana koloborasi yang saya hendak adakan nanti,” ujarnya.
KAFE LARUT MALAM
Pemilik nama sebenar, Rohaizah Nordin,43, ini berkata, sejak menceburi bidang hiburan sebagai penyanyi dan DJ radio, rezeki untuk mengadakan persembahan tidak pernah terhenti.
Haiza berkata di samping menjadi penyanyi dan DJ dia masih mengusahakan Kafe Larut Malam bersama keluarganya di Benut, Johor sejak lebih lima tahun lalu.
Jelasnya lagi, antara menu istimewa di kafe tersebut adalah kentang goreng berlada yang menggunakan resipi istimewa ibunya sendiri dan lempeng kelapa tok uban.
“Kerjaya dan perniagaan perlu seiring sebagai persiapan jika sudah tidak aktif dalam bidang hiburan. Itu adalah persiapan awal kita menuju ke usia emas. Selain menyimpan dan berjimat.
“Saya juga banyak terlibat dengan beberapa kempen sempena Aidilfitri,” ujarnya.