3L punca kebakaran kediaman sendiri - Utusan Malaysia

3L punca kebakaran kediaman sendiri

Fatin melihat keadaan ruang dapurnya yang terbakar akibat kebocoran gas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kejadian pada 23 Januari kira-kira jam 5.30 pagi itu sukar dilupakan Fatin Hafizah Mohd. Shahar. Sehingga ke hari ini, dia masih trauma. Setiap kali terjaga dari tidur, dia akan segera bangkit dan berlari ke arah dapur.

Fatin,35, hanya mampu merenung kosong ruang dapur yang hitam berdebu. Api yang menyambar dan menjulang tinggi masih terbayang dimatanya. Malah setiap kali hendak tidur, Fatin ternampak api.

“Masa kebakaran, saya sedang tidur nyenyak di dalam bilik utama. Tiba-tiba saya terjaga sebab tersedak dan tercium bau asap kuat. Dalam mamai itu, saya dengar bunyi meletup. Saya fikir ada jiran di blok bakar sampah di tempat parkir motor. Saya pun, jenguk ke luar tingkap tapi saya perasan dapur saya nampak terang.

“Saya pun pergi ke tandas dalam bilik tidur itu juga sebab nak intai ikut tingkap tandas. Rekabentuk rumah kami iaitu rumah berek, tingkap bilik utama boleh nampak sikit dapur. Dari tingkap tandas bilik pun boleh nampak. Terperanjat betul saya bila tengok apa sedang menjulang tinggi,” kata Fatin kepada Utusan Malaysia.

Tanpa membuang masa, Fatin berlari ke dapur. Api setinggi siling dapur betul-betul ada depan matanya.

Sementara menunggu suami yang waktu itu sedang bertugas, Fatin berusaha menyelamatkan apa yang boleh.

“Saya basahkan tuala sebab nak tutup tong gas tapi api dah menjilat langsir pintu dapur. Jadi, saya cuma mampu campak tuala dari jauh. Masa itu saya memang takut sebab macam-macam meletup. Saya sempat terfikir untuk masuk ke rumah semula dan ambil beg tangan serta kunci kereta.

“Saya segera menghubungi talian 999 dan disambungkan kepada bomba. Kira-kira 10 minit, suami sampai rumah. Kebetulan dia bertugas di sekitar kawasan rumah. Suami masuk dan padamkan api. Dia siram air melalui tingkap tandas dalam bilik,” katanya.

Kata Fatin, keadaan ketika itu gelap sebab elektrik terputus. Tapi suaminya tidak putus asa terus menyimbah air ke arah api. Dia bersyukur kerana api akhirnya berjaya dipadamkan. Fatin terdengar bunyi siren bomba tapi kelibat bomba masih tak nampak. Jarak balai bomba dengan rumahnya tidaklah jauh sangat. Kira-kira 30 minit kemudian barulah bomba sampai. Rupa-rupanya bomba gagal masuk ke kawasan perumahan itu kerana banyak kereta diparkir berlapis dan menghalang lalu lintas.

“Menurut bomba, kebakaran berpunca daripada kebocoran gas. Sejak tragedi ngeri tu, saya kerap periksa gas dan tarik kepala gas kalau tak guna. Barang-barang elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh dan dapur masak semua terbakar. Saya masih trauma sampai hari ini. Setiap kali terjaga, saya akan lari ke dapur dan ruang tamu. Bunyi sikit pun saya dah risau.

“Tiap kali nak terlelap, ternampak-nampak api. Suami yang berdepan dengan api, lebih trauma. Tengok tong gas pun tak nak,” kata Fatin.

3 L punca berlaku kebakaran

Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi Kuala Lumpur, Mohd. Firdaus Dzulkifli berkata, kebanyakan kebakaran di rumah berlaku disebabkan 3L iaitu lalai, lupa dan leka.

Mohd. Firdaus Dzulkifli.

“Lupa menutup api masakan sebelum keluar dari rumah, lalai dengan membiarkan mancis atau pemetik api mudah dicapai oleh kanak-kanak.

“Kita juga leka membiarkan peralatan atau penyambungan pendawaian elektrik yang bermasalah untuk diperbaiki dengan kadar segera,” katanya.

Beliau yang berpengalaman sebagai pegawai penyiasatan kebakaran selama hampir sembilan tahun berkata, punca paling biasa kebakaran adalah gas bocor sama ada pada sambungan paip getah, kepala silinder atau pada tungku.

PUNCA paling biasa kebakaran adalah gas bocor sama ada pada sambungan paip getah, kepala silinder atau pada tungku.

Kebocoran gas boleh menyebabkan gas memenuhi ruang rumah.

Satu petikan suis lampu saja boleh menyebabkan letupan.

Percikan api dari petikan itu akan disambar oleh gas berkenaan.

Kes kebakaran di dapur juga disebabkan masakan terbiar sehingga kering di atas dapur sehingga terbakar.

Malah kesan minyak pada tungku masakan atau pada ekzos fan turut berisiko menyebabkan kebakaran.

“Saya menyarankan, setiap rumah berbelanja sedikit untuk memasang alat pengesan asap. Alat ini boleh mengesan kebakaran yang berlaku di peringkat awal.

“Setiap rumah juga sebaiknya menyimpan sekurang-kurangnya satu alat pemadam api supaya boleh memadam api lebih awal sekiranya berlaku kebakaran,” pesannya.
pasang alat pengesan asap.

Pasang alat pengesan

Jurutera Kebakaran JH Manchester, United Kingdom (UK), Halina Zaini berkata, setiap isirumah perlu ada alat pengesan asap sebagai langkah awal mencegah kebakaran.

Beliau yang sudah tujuh tahun bekerja di sebuah syarikat alat cegah kebakaran di United Kingdom (UK) berkata, setiap rumah perlu ada sekurang-kurangnya satu alat pengesan penggera standard LD2. Bagaimanapun, terdapat pelbagai gred alat pengesan penggera. Ia bergantung pada susun atur rumah.

Halina Zaini.

“Sebenarnya, panduan Peraturan Bangunan Wales memerlukan rumah baharu dipasang dengan perenjis. Tidak dinafikan menyediakan alat pengesan akan memberi amaran awal jika berlaku kebakaran. Selalunya di rumah yang tidak disediakan dengan apa-apa jenis pengesanan, kebakaran akan dikesan terlalu lewat. Ini boleh menyebabkan kemudaratan atau kematian.

“Pengesan di dalam rumah mungkin tidak boleh menghalang api daripada merebak dan menyebabkan kerosakan pada barang-barang rumah, tetapi ia boleh menyelamatkan nyawa. Alat itu akan memberi amaran awal jika ada asap atau api,” katanya.

Halina berkata, alat pengesan haba sebaiknya tidak diletakkan di dapur, berikutan ia hanya akan memberi amaran palsu setiap kali kita memasak.

“Pengesan asap sebaiknya dipasang di setiap bilik kediaman, tetapi ia membabitkan kos yang tinggi.

“Oleh itu memadai sekiranya pengesan asap diletakkan di siling laluan ke bilik-bilik, ruang makan dan ruang tamu,” katanya yang menjelaskan ada dua jenis pengesan asap iaitu fotoelektrik dan ionization.

Fotoelektrik mengesan jelaga api lebih cepat manakala yang ionization pula mengesan api yang menyala dengan lebih cepat.

“Secara ideal, anda mahu alat penggera memberi amaran apabila api hampir membesar, jadi jelaga lebih berat.

“Justeru, dalam keadaan ini, fotoelektrik adalah lebih baik sebab ia mampu mengesan jelaga lebih cepat. Bagaimanapun, anda sentiasa boleh memilih kedua-duanya untuk perlindungan maksimum.

“Dapatkan alat pengesan asap diperakui SIRIM atau diiktiraf. Jangan beli yang palsu,” katanya.

Satistik di England menunjukkan, kebakaran berpunca daripada penggunaan perkakas elektrik, penggunaan plug yang membebankan selain kecuaian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya