Islam memberi hak kebebasan beragama dan mengamalkan agama masing-masing. Hak ini juga yang dinyatakan dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara (1) hingga (5).
Setiap rakyat Malaysia bebas mengamalkan agama dan pegangan masing-masing namun dalam masa yang sama kita harus mengakui kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan.
Isu ajakan ke rumah ibadat agama lain baru-baru ini menjadi satu kontroversi yang harus dipandang dengan hikmah dan bijaksana.
Adakah Islam terlalu rigid dan mengekang umat Islam bertoleransi dengan agama lain? Adakah haram menziarahi rumah ibadat agama lain? Murtadkah jika mengunjungi rumah ibadat agama lain?
Islam adalah agama rahmah. Kita dituntut untuk menghormati kepercayaan orang lain dan saling hidup bersama dengan harmoni tanpa prasangka.
Nabi SAW sendiri berbuat baik dengan jiran Baginda wanita Yahudi dan Nabi sendiri bermuamalah dengan orang Yahudi.
Nabi Muhammad SAW mengasaskan negara Islam Madinah dalam keadaan masyarakat Madinah terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama; Islam, Yahudi dan Nasrani.
Gereja, kuil Yahudi dan rumah ibadat agama apa pun adalah tempat yang dilarang untuk dimusnahkan oleh tentera Islam sekiranya berlaku peperangan.
Ini menunjukkan Islam memberi kebebasan terhadap agama lain untuk memiliki dan membina apa jua binaan sebagai rumah ibadat mereka.
Agama adalah suatu perkara yang amat sensitif yang harus dihormati, sama ada bagi penganut agama itu sendiri, dan penganut agama lain juga.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Tinggalkanlah orang yang menjadikan agamanya sebagai permainan dan senda gurau. Dan mereka telah tertipu dengan kehidupan dunia. Ingatkanlah (mereka) dengan al-Quran agar setiap orang tidak terjerumus (ke dalam neraka), kerana perbuatan mereka sendiri. (al-An’am: 70)
Ayat ini jelas melarang umat Islam mempersendakan agama Islam.
Dalam masa yang sama, Allah juga melarang menghina agama lain.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu memaki sembahan yang mereka sembah melainkan Allah dengan melampaui batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah, Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. (al-An’am: 108).
Perbuatan mengajak orang awam terutama orang Islam mengunjungi rumah ibadat agama lain, boleh menjurus kepada risiko memperlekeh-lekehkan agama orang lain, menghina patung, dewa dan acara ritual yang dilakukan di tempat tersebut.
Orang awam harus diajar menghormati agama lain sama ada upacara ritual atau patung sembahan. Membuka ruang lawatan tanpa batas kepada pengunjung kebanyakan mungkin mendedahkan risiko menghina agama lain.
Mereka yang tidak memahami ritual agama lain amat mudah mempersenda dan memperlekehkan aktiviti keagamaan lain yang dianggap tidak masuk akal, tidak logik dan bersalahan pada fahaman mereka. Malah lebih buruk mereka saling mempersenda sehingga boleh membawa perbalahan.
Harus diketahui, tidak semua orang Islam mempunyai sikap toleransi dan adab yang baik. Begitu juga penganut agama lain.
Harus dibezakan antara orang kebanyakan dan pengkaji agama yang mempunyai latar belakang pendidikan dan kesedaran tinggi bertoleransi dengan agama lain.
Namun situasi adalah berbeza bagi ahli akademik. Penuntut ilmu, penyelidik dan ahli akademik mempunyai tujuan khusus dalam mengkaji agama lain.
Mereka mempunyai disiplin ilmu yang tinggi dan etika yang harus dipatuhi. Mereka mempunyai etika penyelidikan dalam mengadakan kajian lapangan dan soal jawab dengan responden tertentu.
Rumah ibadat adalah tempat beribadat yang mempunyai tatacara dan ritual yang khusus. Pengunjung harus tertakluk dengan pantang-larang rumah ibadat.
Ini adalah satu perkara yang sukar difahami oleh orang kebanyakan. Kunjungan harus dibuat dalam keadaan terkawal dan mempunyai pengajar yang sesuai dalam kumpulan khusus tertentu.
Masjid sebagai contoh adalah kawasan yang hanya dibenarkan untuk dimasuki oleh Muslim yang bebas dari hadas besar. Ruang ibadah perlu dihormati oleh pengunjung. Begitulah juga rumah ibadat agama lain.
Rumah ibadat bukanlah muzium tempat lawatan dan pameran untuk siapa sahaja bebas mengunjungi dan meneliti setiap peralatan dan artifak. Rumah ibadat khusus untuk beribadat dan cukuplah bagi pengunjung berada di luar kawasan rumah ibadat.
Mengunjungi rumah ibadat dengan tujuan memupuk sifat toleransi dan sifat hormat-menghormati hanya boleh tercapai jika pengunjung mempunyai kesedaran yang tinggi. Bukan sekadar membuat lawatan secara santai dan bersuka ria tanpa tujuan.
Dalam masa yang sama, ajakan untuk mengunjungi rumah ibadat agama selain Islam secara terbuka termasuk dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam berdasarkan enakmen yang ditentukan di setiap negeri di Malaysia.
Umat Islam dan bukan Islam bebas melakukan apa sahaja.
Tiada larangan untuk menghormati budaya dan agama lain tertakluk kepada peraturan dan enakmen yang ditetapkan. Namun usaha mengajak ke rumah ibadat lain boleh ditafsirkan sebagai satu kesalahan mendedahkan seorang Islam kepada pengaruh agama bukan Islam.
Penerapan budaya menghormati agama lain boleh diterapkan dalam kehidupan majmuk dan budaya sosial tanpa melibatkan perkara sensitif yang bersalahan dengan akidah atau enakmen.
Percampuran antara kaum dan agama di sekolah, di tempat kerja, kawasan penempatan dan kawasan awam adalah salah satu cara meningkatkan keharmonian hidup berbilang agama.
Rakyat Malaysia, apa jua agama dan anutan mereka harus mempunyai toleransi yang tinggi dalam masa yang sama menjaga sensitiviti agama lain. Asas kehidupan manusia adalah toleransi dan hormat-menghormati tanpa menggadaikan prinsip dan akidah.
Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia dan anggota Majlis Agama Islam Selangor.