“Sihatkah bayi aku ni? Macam mana agaknya rupa dia.” Persoalan ini pasti bermain dalam minda setiap wanita hamil.
Rasa ingin tahu, membuak-buak apatah lagi bila tiba masa menjalani ujian imbasan ultrasound atau lebih dikenali dengan istilah scan. Namun bolehkah ia dilakukan dengan kerap?
Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan, Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia uang juga Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pengajar UPM, Dr. Ahmad Shuib Yahaya berkata, hingga kini, tiada bukti saintifik dan kukuh mengaitkan kerap menjalani ujian ultrasound boleh mendedahkan bakal ibu dan bayi dengan risiko kesihatan tertentu.
Biasanya doktor akan mencadangkan ujian imbasan dilakukan atas beberapa indikasi berbeza, mengikut usia kandungan.
“Kekerapan imbasan ultrasound, berbeza antara ibu-ibu bergantung sama ada mereka disyaki mengalami masalah tertentu, atau hanya kandungan normal.
“Secara asas bagi kandungan normal, ibu dinasihati menjalani ujian imbasan ini sekurang-kurangnya dua kali sepanjang hamil, iaitu pada trimester pertama untuk dating scan, trimester kedua untuk saiz kandungan (biometric) kedudukan uri dan jumlah air ketuban,” katanya.
Ujian ultrasound adalah salah satu komponen penting dalam rawatan antenatal (kandungan) dan satu-satunya kaedah yang boleh digunakan untuk ‘melihat’ bayi dalam kandungan.
Ibu obes sukar kesan jantina bayi
Namun harus diingat, selain membawa khabar gembira, ia juga boleh membawa khabar duka. Dr. Ahmad Shuib berkata, ujian ultrasound boleh mengesan jantina bayi dalam kandungan.
Jika dilakukan oleh juruimbas (sonographer) atau doktor terlatih, jantina bayi dapat dikesan dengan tepat dalam kebanyakan keadaan.
Bagaimanapun, kadar ketepatan ini boleh berkurang dalam keadaan seperti ibu obes, faktor kedudukan bayi, air ketuban sedikit dan beberapa sebab lain.
“Biasanya jantina dapat dikesan melalui imbasan ultrasound seawal 18 hingga 20 minggu.
“Pemeriksaan secara fizikal boleh mengesan sesuatu masalah seperti saiz kandungan yang lebih besar atau kecil dari usia kandungan. Ultrasound membolehkan kita mendapat maklumat lebih terperinci seperti saiz fizikal dan kandungan air ketuban kandungan berkenaan,” katanya.
Jenis kecacatan boleh dikesan
Pemeriksaan ini turut berupaya mengesan kecacatan kongenital (dari lahir) seperti sumbing dan juga kecacatan serius seperti masalah jantung seperti jantung berlubang, kecacatan otak, tulang atau buah pinggang.
“Kondisi ini selalunya dapat dipastikan selepas imbasan detail scan dilakukan. Terdapat juga kondisi yang memerlukan penyiasatan lanjut, seperti imbasan MRI dan ujian darah seperti penyakit genetik kromosom tertentu.
“Bagaimanapun, tidak semua kecacatan dapat dikesan melalui ultrasound. Kebanyakan masalah genetik kromosom tidak dapat dipastikan dengan imbasan ultrasound dan masalah pembelajaran kanak-kanak juga tidak dapat dikesan melalui ultrasound,” katanya.
Ujian berkenaan juga tidaklah sempurna dan kebarangkalian berlaku kesilapan dan tersalah diagnos tetap ada walaupun ianya adalah kecil.
Selain itu, scan di awal kandungan akan memastikan masalah-masalah awal kandungan seperti keguguran, kandungan ektopik atau molar (kandungan anggur) dapat dikesan dan dirawat secepat mungkin sebelum berlaku komplikasi yang boleh mengancam nyawa mereka.
Kalau ujian mendapati bayi tidak normal?
Sekiranya bayi dalam kandungan didapati tidak normal atau bermasalah, ibu akan dirujuk ke doktor pakar perbidanan dan sakit puan dan ulangan imbasan akan dilakukan.
“Ujian-ujian lanjut juga mungkin akan dicadangkan bagi proses kaunseling dan rawatan selanjutnya dapat dirancang. Kebanyakan masalah kandungan yang melibatkan ultrasound boleh diurus dan dipantau oleh pakar perbidanan.
“Rawatan dicadangkan bergantung kepada jenis masalah dialami. Sebagai contoh, masalah tumbesaran yang disebabkan oleh kekurangan oksigen dan masalah padauri dan tali pusat mungkin memerlukan kelahiran awal melalui kaedah induksi atau pembedahan caesarian,” katanya.
Bagi kes-kes kecacatan fizikal tanpa mempengaruhi fungsi hidup, biasanya akan dirawat selepas kelahiran.
Penilaian teliti perlu dilakukan bagi masalah kesihatan serius seperti membabitkan fungsi organ.
Perbincangan mendalam bersama pasukan pakar, ibu dan keluarga perlu dijalankan. Pengguguran kandungan merupakan salah satu pilihan bagi kes-kes tertentu setelah penilaian dan perbincangan dilakukan.
Bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada garis panduan yang ketat berpandukan undang-undang di Malaysia dan aturan agama.