Tidak lantik wanita, syarikat kena penalti - Utusan Malaysia

Tidak lantik wanita, syarikat kena penalti

Kuota 30 peratus tertangguh terlalu lama hingga wujud cadangan mengenakan penalti bagi syarikat yang gagal mengotakannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMAT menyedihkan apabila kuota 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan yang diperjuangkan lebih sedekad lalu masih lagi gagal dicapai hingga kini.

Buktinya, laporan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mendapati setakat 31 Disember tahun lalu, peratusan wanita sebagai ahli lembaga pengarah di 100 syarikat tersenarai awam yang teratas, cuma 29 peratus.

Walaupun kerajaan bersilih ganti di samping pemimpin datang dan pergi, namun entah di mana silapnya, wanita masih tidak diangkat ke kedudukan sepatutnya.

Presiden dan Pengasas Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz berkata, pendekatan lebih tegas perlu diambil kerajaan bagi memastikan agenda diperjuangkan itu tidak terus sepi dan tertangguh.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar mana-mana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ingkar arahan untuk melantik wanita sebagai ahli lembaga pengarah dikenakan penalti.

Katanya, hukuman itu wajar bagi mendidik organisasi dan masyarakat untuk mengiktiraf peranan serta sumbangan wanita.

“Sebenarnya isu kuota 30 peratus ini sudah terlalu lama tertangguh dan saya fikir kerajaan tiada pilihan selain mewajibkan GLIC dan GLC patuh kepada arahan itu.

“Jalan penyelesaian ialah dengan mengenakan penalti kepada mana-mana syarikat yang gagal melantik ahli lembaga pengarah wanita,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, ketika berucap pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa GLC meningkatkan jumlah wanita sebagai ahli lembaga pengarah.

Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh semua GLC supaya peranan wanita mempunyai pe­ningkatan nyata.

Dalam pada itu, Laporan Credit Suisse pada 2016 mendedahkan, syarikat yang diterajui sekurang-kurangnya seorang ahli lembaga pengarah wanita mampu mencatatkan pulangan pelaburan positif berbanding organisasi dianggotai hanya lelaki dalam jawatan tersebut.

Norhimah turut menyarankan syarikat yang mematuhi arahan pelantikan ahli lembaga pengarah wanita agar diberikan insentif misalnya pelepasan cukai dan sebagainya sebagai galakan.

Hadkan pembabitan lembaga pengarah tidak lebih dua syarikat

Dalam perkembangan sama, beliau mahu pelantikan ahli lembaga pengarah dihadkan kepada dua syarikat sahaja.

Katanya, langkah itu dapat memastikan lebih ramai kaum Hawa yang berkelayakan dan berpotensi dapat mengisi kekosongan tersebut.

“Ketika ini, ada lembaga pengarah yang memegang sehingga tiga jawatan sama di organisasi berbeza.

“Cadangan saya kalau boleh lembaga pengarah jangan pegang terlampau banyak jawatan di syarikat-syarikat lain dan sewajarnya jumlah itu tidak lebih daripada dua sahaja (jawatan),” katanya.

Sementara itu, menurut Norhimah, GLIC dan GLC juga perlu memainkan peranan untuk bekerjasama dengan NGO bagi mengenal pasti wanita berkelayakan untuk dilantik sebagai lembaga pengarah.

‘Siling kaca’ pecah jika lelaki turunkan ego

Fenomena siling kaca yang sering menyekat potensi wanita sebagai pembuat keputusan hanya boleh dipecahkan jika lelaki menurunkan ego mereka.

Norhimah tidak menafikan yang situasi iu masih berlarutan hingga kini dek kerana ego lelaki yang memandang rendah kemampuan dan keupayaan wanita.

“Kaum Adam kena rendahkan ego, kita dapat lihat walaupun ramai wanita yang layak dilantik sebagai ketua, namun kekosongan berkenaan tetap diberikan kepada calon lelaki.

“Sudah sampai masanya pemilihan jawatan ketua dibuat berdasarkan pengalaman, merit serta kelayakan individu dan bukan bersandarkan jantina,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya