Tak semua pesakit epilepsi boleh jalani pembedahan - Utusan Malaysia

Tak semua pesakit epilepsi boleh jalani pembedahan

Indikasi untuk pembedahan ialah apabila epilepsi seseorang tidak dapat dikawal lagi dengan ubat terutama bagi pesakit mengalami jangkitan kuman dalam otak atau struktur abnormal sejak lahir. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebuah kajian mendedahkan kira-kira 30 peratus pesakit epilepsi tidak memberi respon terhadap ubat-ubatan yang dibekalkan doktor.

Situasi berkenaan menyebabkan penyakit dihadapi menjadi tidak terkawal, walaupun pengambilan ubat dilakukan secara konsisten termasuk pada dos maksimum dalam tempoh masa tertentu, hingga menyumbang kepada banyak kesan sampingan.

Mengatasi masalah itu, pembedahan adalah rawatan paling sesuai dijalankan.

Bagaimanapun, Pakar Perunding Neurosurgeri, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof. Madya Dr. Farizal Fadzil berkata, bukan semua pesakit boleh dibedah sebaliknya, bergantung kepada penilaian yang dilakukan doktor.

Katanya, golongan yang dikenal pasti adalah mereka yang mengalami masalah jangkitan kuman dalam otak atau struktur yang abnormal sejak dilahirkan.

Tambahnya, indikasi untuk pembedahan ialah apabila epilepsi seseorang tidak dapat dikawal lagi dengan ubat.

“Misalnya, kekerapan serangan epilepsi melebihi tiga kali dalam sehari, malah berlaku dalam tempoh sangat singkat walaupun diberikan ubat berdos maksimum.

“Tetapi bukan semua pesakit dalam kelompok ini boleh dibedah antaranya ialah mereka yang komorbid atau yang tidak dapat dikenal pasti struktur otak bermasalah,” katanya dalam majlis sambutan Hari Epilepsi Sedunia peringkat HCTM baru-baru ini.

Dr. Farizal berkata, bagi kelompok pesakit yang tidak boleh dibedah itu, mereka masih perlu bergantung kepada ubat-ubatan dan rawatan alternatif lain.

Sawan berpunca daripada gangguan otak apabila sel-sel saraf secara tiba-tiba mengeluarkan isyarat elektrik luar biasa tinggi tanpa dapat dikawal oleh pesakit.

Episod sawan selalunya berlaku selama satu hingga dua minit dengan pesakit tidak sedarkan diri dan mengalami kekejang otot.

Menurut Dr. Farizal, walaupun peratusan kejayaan pembedahan sangat tinggi tetapi tidak ramai pesakit memilih pendekatan itu.

“Ia mungkin berpunca daripada pesakit, jenis epilepsi dan doktor yang merawat,” katanya yang berharap sehubungan itu, aktiviti kesedaran dapat diperkasakan lagi bagi mendidik golongan berkenaan mengenai pembedahan epilepsi.

Langkah berkenaan diyakini dapat memastikan peratusan pesakit memilih rawatan pembedahan akan meningkat.

Kos pembedahan dianggarkan RM5,000 di HCTM manakala di hospital swasta, melebihi RM200,000.

Masih perlu makan ubat
Begitupun kata Dr. Farizal, bagi pesakit yang menjalani pembedahan, mereka masih memerlukan ubat-ubatan yang diambil secara berterusan, sekurang-kurangnya untuk selama tempoh dua tahun.

“Selepas dua tahun apabila sawan tidak berlaku, pengambilan ubat boleh dihentikan. Tetapi dalam kes tertentu, ada pesakit mengalami sawan berulang pada tahun keempat dan kelima,” katanya.

Kajian mendapati sebanyak 65 peratus pesakit, bebas sawan selepas pembedahan manakala 30 hingga 35 peratus lagi mengalaminya semula selepas tempoh lima tahun.

Jika penyakit berulang, pesakit masih perlu dibekalkan dengan ubat-ubatan.

“Pesakit perlu memahami dengan jelas kepentingan ubat walaupun merasakan diri mereka sudah sihat,” katanya memberi pesan.

‘Penting untuk mencatat kejadian sawan anak’
Berpengalaman selama 23 tahun menjaga anak yang disahkan epilepsi, Liyana Heng, 62, meminta para ibu bapa untuk mencatat setiap kejadian sawan yang berlaku pada anak mereka.

Katanya, perkara itu amat mustahak bagi memastikan kaedah rawatan susulan buat anak-anak termasuk dos ubat-ubatan yang diperlukan.

Ujarnya, ada segelintir penjaga memandang mudah soal berkenaan hingga menyebabkan penyakit dialami anak menjadi tidak terkawal.

Menurutnya, anak keduanya, Nur Serena Wee, 33, didiagnos menghidap epilepsi genetik ketika berusia 10 tahun hingga kini.

“Saya sentiasa membawa buku kecil dan catat kejadian sawan yang menyerang anak bagi memudahkan saya berurusan dengan doktor tentang penyakitnya di samping memperbanyakkan bacaan.

“Ada segelintir kawan-kawan meminta nasihat saya bagaimana menjaga anak epilepsi tetapi apabila ditanya mereka mengenai kekerapan sawan secara terperinci dan ubatan dibekalkan doktor, masing-masing tidak cakna mengenainya,” katanya.

Liyana yang merupakan pengurus syarikat seni bina berkata, keadaan anaknya kini bertambah baik dan terkawal berbanding dahulu.

Biarpun Nur Serena masih mengalami sawan berterusan, namun beliau tidak sesuai menjalani pembedahan kerana pemeriksaan mendapati otak anaknya itu normal.

Ujarnya, rawatan yang diambil doktor ialah memasang stimulator saraf vagus pada anaknya, iaitu peralatan bagi mengelak kekerapan mendapat sawan.

“Sehingga kini, sudah 10 tahun anak saya memakai peralatan itu dan banyak perubahan berlaku seperti kurang diserang sawan, malah kualiti hidupnya juga lebih baik.

“Sebelum ini keadaannya teruk. Dalam sehari dia boleh dapat sehingga 10 kali sawan, di samping lebam serta pendarahan akibat jatuh,” katanya.

Liyana berkata, walaupun penyakit Nur Serena semakin terkawal, namun penjagaan dan pemerhatian terhadap anaknya masih diteruskan sepanjang masa bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Ini termasuklah memantau aspek pemakanannya yang mana makanan pedas, keadaan cuaca sejuk dan panas, turut boleh mendorong anaknya mendapat sawan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya