Suami mohon poligami, isteri boleh tuntut harta sepencarian

Suami mohon poligami, isteri boleh tuntut harta sepencarian

POLIGAMI tanpa kebenaran antara kes tertinggi di Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan mahu menghalang perkara yang dibenarkan oleh agama, namun daripada meratapi kesedihan atau melepaskan amarah dan menyebarkan aib rumah tangga di media sosial, lebih baik wanita menggunakan saluran undang-undang yang ada untuk membela nasib diri dan anak-anak.

Salah satunya, mungkin ramai wanita yang masih tidak tahu tindakan yang perlu dilakukan apabila berdepan dengan situasi apabila sang suami memohon Kebenaran Berpoligami di Mahkamah Syariah.

Menurut Peguam Syariah, Sasha Lyna Abdul Latif, apabila suami memohon kebenaran untuk berpoligami, permohonan tersebut akan diserahkan kepada isteri sedia ada untuk memaklumkan berkenaan satu permohonan telah difailkan oleh suami dan untuk isteri hadir dalam prosiding.

Ia termaktub dalam Arahan Amalan No. 7 tahun 2021 yang antara lain menyatakan tanggungjawab mahkamah memanggil isteri atau isteri-isteri sedia ada untuk hadir dalam prosiding permohonan kebenaran poligami serta permohonan pengesahan dan pendaftaran nikah poligami.

Pihak isteri atau isteri-isteri sedia ada, tertakluk kepada keadaan tertentu, hendaklah dijadikan sebagai pihak dan dipanggil dalam prosiding permohonan berkenaan.

“Ia bermakna selepas permohonan dilakukan oleh suami, isteri akan dinamakan sebagai defendan dan perlu hadir ke mahkamah.

“Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada isteri untuk bersuara kepada mahkamah bagi pihaknya kerana ada beberapa kriteria yang perlu dipenuhi oleh suami sebelum mendapat kebenaran berpoligami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam bahasa ringkasnya, apabila mendapat permohonan sedemikian, mahkamah akan menilai alasan-alasan suami yang berkeinginan poligami serta beri peluang kepada isteri untuk bersuara bagi pihaknya sekiranya tidak bersetuju dengan permohonan tersebut.

Kata Sasha, menurut Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, permohonan harus disertakan dengan alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu patut atau perlu.

Ia juga mengambil kira pendapatan suami pada masa itu, butir-butir komitmen, kewajipan tanggungan kewangan, bilangan orang tanggungan termasuk yang akan menjadi tanggungan (perkahwinan baharu).

“Ketika inilah isteri boleh bersuara dan memberitahu mahkamah sekiranya suami telahpun selama ini berlaku tidak adil atau berpotensi untuk berlaku tidak adil atau ada nafkah tertunggak dan sebagainya.

“Malah, isteri juga boleh memberitahu kepada mahkamah sekiranya mereka suami ada melakukan ugutan cerai sekiranya mereka tidak ke mahkamah dan menyokong permohonan poligami yang dibuat,” katanya lagi.

Gali Ilmu hak isteri

Isteri yang dikehendaki hadir ke mahkamah perlulah mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan hak yang boleh dituntut.

Kata Sasha, tidak ada manfaatnya hadir ke mahkamah tetapi tidak tahu mengenai hak yang sepatutnya diri sendiri dan anak-anak boleh dapat sekiranya suami berniat untuk berkahwin lagi.

Antara perkara yang boleh dituntut oleh isteri sekiranya suami memohon kebenaran Mahkamah untuk berpoligami adalah harta sepencarian.

Harta sepencarian bukan sahaja boleh dituntut jika sudah bercerai, bahkan ketika masih dalam perkahwinan iaitu sekiranya suami berpoligami dan ataupun setelah berlaku perceraian.

Isteri yang mempunyai suami yang ingin atau telah berpoligami, boleh memfailkan permohonanan untuk minta mahkamah keluarkan perintah mengatakan harta yang suami ada pada ketika mereka suami isteri adalah sebagai harta sepencarian isteri.

“Selain itu, semasa di dalam prosiding permohonan kebenaran berpoligami suami, isteri boleh mohon juga direkodkan nafkah diri dan anak-anak mengikut keperluan yang diperlukan. Sekiranya mahkamah tidak memberikan perintah nafkah di dalam prosiding kebenaran untuk berpoligami tersebut, isteri sedia ada masih boleh memfailkan permohonan nafkah dan harta sepencarian.

“Proses tuntutan sama seperti permohonan kebenaran poligami iaitu tuntukan nafkah dan harta sepencarian. Sebab itu sebagai isteri kita kena tahu hak kita dan hadir ke mahkamah bila dipanggil,” katanya lagi.

Hal ini kerana katanya, kebanyakan wanita masih lagi tidak sedar kepentingan perkara tersebut menyebabkan mereka tidak mengambil berat tentang keperluan untuk hadir ke mahkamah.

Permohonan yang dibuat oleh suami akan lebih mudah mendapat kebenaran daripada mahkamah sekiranya isteri ‘lepas tangan’ tidak hadir untuk memberikan keterangan.

“Tidak semestinya semua permohonan akan mendapat kebenaran melainkan jika isteri tidak memberikan kerjasama dengan tidak hadir ke mahkamah kerana tiada pihak yang menyanggah alasan yang diberikan oleh suami.

“Jika mahkamah mendapati suami tidak berkemampuan, maka kebenaran tidak akan diberikan. Biarpun jika bakal isteri baharu menyatakan akan menanggung perbelanjaan selepas kahwin, mahkamah tetap tidak akan membenarkan kerana tangungjawab tanggungan sepatutnya adalah suami.

“Jadi, kalau isteri tidak pergi ke mahkamah sangat rugi sekali kerana terlepas peluang untuk menjelaskan hal sebenar kepada mahkamah,” jelasnya lagi.

Selain itu, bagi kes suami yang berkahwin di luar negara secara sembunyi pula, isteri boleh mengemukakan aduan kepada Jabatan Agama Islam.

Suami yang berkahwin lain tanpa membuat permohonan adalah satu kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara enam bulan atau denda RM1,00O.

Perkasakan wanita sejak awal usia

Kaunselor Keluarga, Normaliza Mahadi menyarankan agar keluarga memainkan peranan penting dalam memperkasakan wanita sejak daripada awal usia.

Katanya, hasil didikan yang betul mengenai peranan anak lelaki dan perempuan akan membentuk generasi masa depan yang tahu mengenai tanggungjawab masing-masing.

“Sekarang ini banyak kes kita dengar daripada media mengenai apabila berlaku penceraian, wanita yang kena menanggung anak-anak.

“Ini sesuatu yang kita kena fikirkan kenapa terjadi sebegitu. Kalau kita lihat dalam institusi keluarga tidak kira latar belakang, kebanyakan tanggungjawab akan diberikan kepada anak perempuan berbanding anak lelaki.

“Anak perempuan kena buat kerja rumah, jarang ada yang menyuruh anak lelaki yang buat kerja rumah. Apa yang berlaku pada hari ini adalah hasil didikan 20, 30 tahun yang lalu,” katanya.

Oleh itu, katanya, sebaiknya keluarga mengamalkan sikap kerjasama dalam melaksanakan tugasan di rumah.

Perlu pupuk sikap tanggung jawab bukan hanya pada anak perempuan, tetapi juga pada anak lelaki supaya apabila berkeluarga kelak, dia tidak akan melepaskan kesemua tanggungjawab kepada si isteri.

“Didik juga anak perempuan untuk tahu semua orang dalam keluarga ada peranan masing-masing dan bukan terletak semata-mata di bahu mereka.

“Apa yang kita ubah pada hari ini, kita akan dapat melihat hasilnya 30, 40 tahun akan datang,” katanya optimis.

Jelasnya, pasangan yang hendak berkahwin juga haruslah berfikiran jauh ke hadapan mengenai kehidupan rumah tangga yang bakal dilalui.

Bukan hanya berdasarkan cinta semata-mata, banyak aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum memilih untuk mengikat tali perkahwinan.

“Perkara yang sering orang terlepas pandang adalah perbincangan mengenai kehidupan selepas kahwin. Tidak fikir inginkan perkahwinan yang bagaimana, perbelanjaan keluarga dan sebagainya.

“Trend sekarang ini ramai yang cepat jatuh cinta dan cepat juga bercerai kerana cinta begitu murah,” jelasnya.

Sedangkan, katanya, fasa berkenalan adalah masanya untuk berbincang mengenai perkara-perkara serius selepas perkahwinan.

Pemikiran luas

Tambah Normaliza, jika dahulu dikatakan wanita berpendidikan tidak akan ada masalah rumahtangga, namun ia tidak lagi boleh dipakai pada ketika ini.

Katanya, bukan hanya berpendidikan, malah wanita perlu mempunyai pemikiran luas supaya dapat menghadapi setiap cabaran mendatang.

“Saya rasa wanita harus proaktif untuk hadir ke majlis-majlis ilmu untuk menjadi ibu dan isteri yang terbaik.

“Wanita juga perlu ada kemampuan berfikir dan memahami kehidupan dengan sebaiknya serta menjadi lebih progresif,” jelasnya.

Ketahui jika pasangan berlaku curang

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali berkongsikan perubahan tingkah laku apabila pasangan mempunyai skandal atau hubungan sulit.

Katanya, perubahan tingkah laku dapat dilihat dalam bentuk “melindungi” rahsia.

Dalam kebanyakan kes, dalam keadaan tersebut, suami atau isteri selalunya dapat menghidu perubahan tingkah laku pasangannya.

“Perubahan tingkah laku ini boleh berbentuk dominan iaitu perubahan secara aktif seperti jika sebelum ini pasangan tidak mempedulikan kepada pasangannya, tetapi apabila pasangan mempunyai skandal mereka akan menonjolkan tingkah laku terlampau mengambil berat dengan mengharapkan diberikan kebebasan kepada mereka untuk mendapat ruang untuk bersama dengan skandalnya.

“Disamping itu, pergerakan mereka berada dalam keadaan yang amat berhati-hati termasuklah berkomunikasi biasanya mereka akan bercakap perlahan, berjauhan dan tiba-tiba mematikan talian telefon atau pun menyembunyikan telefon bimbit.

“Mereka juga mudah terkejut, berada dalam keadaan tidak tenang seperti kebimbangan, rasa tidak selamat dan tertekan,” jelasnya.

Tambahnya, dalam kebanyakan kes si isteri lebih mudah perasan dengan perubahan ini kerana golongan wanita digerakkan oleh emosi berbanding dengan lelaki.
Terdapat juga perubahan secara resesif iaitu pasangan menunjukkan tingkah laku yang berbeza.

“Misalnya berubah daripada seorang yang mengambil berat kepada hilang minat terhadap pasangan dan tingkah laku itu menampakkan perubahan yang nyata.

“Mereka mudah mengganas, menengking, memukul, mendera dan memaksa pasangannya. Kadang-kadang pasangan akan sengsara dan tertanya-tanya kenapa pasangannya berubah sedemikian rupa,” katanya lagi.

Langkah psikologi:
-Pasangan perlu fokus elemen kognitif
-Mengurangkan fokus kepada elemen emosi
-Pemikiran perlu positif dan terfokus kepada memahami isu dan cuba memahami dalam pelbagai sudut.
– Tumpuan untuk meredakan konflik melalui komunikasi positif dan mengenalpasti cara daya tindak yang positif
-Jika ia tidak dapat dikawal oleh seseorang individu, perlu berjumpa dengan pakar psikologi untuk membantu menguruskan tekanan yang dialami serta menstruktur komunikasi yang berkesan untuk mengeluarkan konflik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya