USIA cilik bukan penghalang mengejar impian untuk menerbitkan buku koleksi doodle dan menganjurkan pameran seni.
Aqil Izz Rizqi Amirul Hafiz, 9, berkata, pendedahan dalam Anugerah Artis Muda disertai, membolehkannya mempelajari teknik cat air dan mengaplikasikannya dalam karyanya bertajuk Let’s Look at The Life Underwater.
Menurut murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 6, Shah Alam itu, walaupun tidak mahir dalam medium cat air, namun peluang tersebut dimanfaatkan untuk mencabar dirinya mencuba perkara baharu.
“Pusingan terakhir adalah bahagian paling mencabar kerana kami perlu menggunakan pelbagai medium seperti cat air atau warna poster,” katanya baru-baru ini.
Aqil Izz dan Wan Nur Syaza Deana Wan Syahrul Yusri, 10, merupakan naib juara Anugerah Artis Muda anjuran Faber-Castell Malaysia baru-baru ini.
Mereka membawa pulang wang RM500 berserta trofi, hamper bernilai RM150 dan sijil penyertaan.
Program itu bertujuan memperkasakan kemampuan dan meningkatkan kreativiti murid. Selain menyerlahkan bakat seni, ia turut memberi pendedahan tentang kepentingan kelestarian alam sekitar.
Aqil Izz Rizqi turut bekerjasama dengan 21 artis doodle tanah air bagi penghasilan buku, Jom Ceret.
Sementara itu, ibu Aqil Izz, Siti Nor Hijah Abdul Rahman berkata, wang tunai dimenangi anaknya dalam program berkenaan, akan dijadikan modal untuk menerbitkan buku koleksi doodle.
KUATKAN SEMANGAT
Penyertaan dalam Anugerah Artis Muda menguatkan lagi semangat Wan Nur Syaza Deana, untuk terus mencipta karya seni termasuk berhasrat menganjurkan pameran sulung bertemakan perlindungan hidupan liar di sekolah.
“Saya mendapat inspirasi daripada kesedaran menjaga alam sekitar selepas menyertai bengkel Anugerah Artis Muda. Hidupan laut sedang terancam. Generasi muda seperti saya perlu bekerjasama untuk melindunginya.
“Saya akan terus mencipta karya seni yang memfokuskan alam sekitar. Malah turut berhasrat menganjurkan pameran seni bertemakan perlindungan hidupan liar bersama rakan-rakan pada Hari Seni di sekolah nanti,” katanya yang kini lebih aktif menyertai program kitar semula selain mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan harian.
Sementara itu pengarah urusan Faber-Castell Malaysia, Andrew Woon berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan dan memberi ruang kepada golongan muda untuk mempamerkan kreativiti dan mencipta perubahan. – UTUSAN