BILA bercakap tentang kain kafan dan pengurusan jenazah, pasti ramai yang berasa takut dan jarang sekali ingin mengambil tahu.
Kematian itu pasti dan akan dirasai semua benda hidup.
Persoalannya, adakah setiap daripada kita tahu tentang proses menguruskan jenazah?.
Daripada bermulanya saat kematian ahli keluarga, solat jenazah, ukuran saiz kubur yang perlu diberitahu kepada pihak masjid dan sebagainya.
Ilmu pengurusan jenazah sangat penting meskipun hukumnya fardhu kifayah, tetapi kita perlu ambil tahu dan mempelajari.
Sudah pasti ramai yang tidak tahu menguruskan jenazah apatah lagi melibatkan ahli keluarga sendiri, lebih-lebih lagi tindakan perlu dilakukan terhadap si mati.
Sehubungan itu, Pertubuhan Jiwa Amal Malaysia (Jiwa) mengambil inisiatif memberi kesedaran tentang keperluan memiliki set kain kafan untuk setiap rumah.
Pengasas Jiwa, Syed Zainal Abidin Jamallulail Syed Abdul Aziz, 36, berkata, idea ini tercetus semasa pandemik, apabila melihat banyak kematian berlaku.
“Saya terfikir tentang cabaran perlu ditempuhi ahli keluarga mangsa, khususnya golongan asnaf.
“Apabila kami menjalankan misi banjir banyak kain kafan yang rosak terkena lumpur dan mula mereput. Setelah berbincang dan mendapatkan pandangan daripada sahabat, kami terus menyusun strategi untuk mendapatkan kualiti kain yang lebih baik.
“Kami dapat menyediakan 19 kit barangan pengurusan jenazah agar dapat dipakai oleh semua golongan sama ada lelaki mahupun wanita. Ini termasuklah kain kafan, serbuk cendana, serbuk kapur, air mawar, tali pengikat, sarung tangan untuk tukang mandi dan banyak lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
RAMAI TERUJA URUS JENAZAH
Ujar Syed Zainal Abidin Jamallulail, seterusnya pihaknya menjalankan projek Masih Hidupkan Esok? iaitu kursus pengurusan jenazah sebagai misi Jiwa memberi kesedaran khusus kepada belia tentang cara mandi dan solatkan jenazah serta keperluan set kain kafan bagi setiap rumah.
“Baca tajuk sahaja pasti menjadi insaf dan tertanya-tanya adakah masih ada umur lagi esok. Alhamdulillah projek sulung yang dijalankan di Masjid At-Tayyibin, Batu Caves di Selangor hujung tahun lalu, dihadiri hampir 150 peserta.
Imam Muda Hassan Adli Yahaya @ Yahuza turut dijemput sebagai penceramah jemputan.
Syed Zainal berkata, peserta teruja mengikuti ilmu menguruskan jenazah yang dijalankan secara teori dan amali itu.
“Kami menggalakkan setiap keluarga mengikuti kursus ini, sekurang-kurangnya seorang dalam setiap ahli keluarga.
“Ia mungkin nampak kecil tetapi pelbagai soalan yang ditanya dalam hal ehwal mandi jenazah ini, boleh membawa kelegaan dan kefahaman kepada peserta.
“Contohnya, membabitkan hal ehwal kewangan dalam golongan tidak berkemampuan. Adakah wajib, menggunakan kain kafan berwarna putih. Bagaimana sekiranya hanya ada kain batik?
“Maka jawapannya adalah ia dibolehkan asalkan bersih dan wajib menutup seluruh aurat si mati. Jadi, persoalan bermain di fikiran akhirnya terjawab dalam kursus ini,” katanya.
Syed Zainal bersyukur projek berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan hampir 60 peratus disertai golongan belia dan kanak-kanak.
“Saya dapati ramai anak-anak muda kini cenderung untuk mengambil tahu dengan lebih mendalam tentang agama. Ini dapat dilihat melalui perkongsian tentang kematian dan fadilat-fadilat amal yang dikongsikan di media sosial.
“Malah mereka memaklumkan tiada salahnya menjadikan kit kain kafan sebagai hadiah bermakna buat ibu dan ayah,” katanya.
‘Ralat tidak urus jenazah ibu sebab tiada ilmu’
Berkongsi tentang pengalaman sepanjang kursus pengurusan jenazah diadakan, Syed Zainal berkata, ada peserta yang berasa sugul dan terkilan kerana tidak dapat menguruskan jenazah ibu dan ayah sebelum ini.
Peserta berkenaan memberitahu yang kurangnya pendedahan serta inisiatif untuk belajar tentang pengurusan jenazah antara sebab dia berasa terkilan.
“Inilah matlamat kami menjalankan kursus ini, agar ia menjadi ruang untuk lebih ramai orang yang dapat belajar.
“Saya kira anak anak-anak muda wajib ambil tahu proses menguruskan jenazah kerana pahalanya sungguh besar apatah lagi dalam menguruskan jenazah ibu dan ayah.
“Adalah menjadi satu kejayaan jika anak-anak mampu menguruskan jenazah ibu bapa, ia seperti satu balasan jasa yang sungguh tinggi nilainya. Memandikan dan memberi pakaian kain kafan yang terbaik adalah penghormatan terakhir buat mereka tersayang,” katanya.
Syed Zainal turut berharap inisiatif diperkenalkan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, lantaran tidak banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan agihan kain kafan.
“Kami akui banyak NGO yang membantu golongan asnaf dan yang memerlukan namun dalam misi bantuan kemanusiaan, tetapi pemberian set kit kain kafan untuk menguruskan jenazah sangat jarang diagihkan.
“Kami berharap ramai dapat bersedekah melalui laman sesawang https://bit.ly/kitjenazahjiwa atau sumbangan boleh disalurkan terus ke nombor akaun 5645 4817 5664 (Maybank Islamic Berhad) atas nama Pertubuhan Jiwa Amal Malaysia dengan rujukan Jenazah bagi memudahkan kemaskini jumlah sumbangan untuk agihan kain kafan,” katanya.
Beliau menambah, tidak perlu merasa tabu untuk memiliki malah menghadiahkan set kit kain kafan kepada orang tersayang mahupun sahabat handai kerana ia menjadi satu pahala besar berpanjangan apabila ia dapat digunakan dengan sempurna.