KUALA LUMPUR: Kemelut rumah tangga pelakon, Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof bukan sahaja mencuri perhatian netizen, malah turut menarik tumpuan rakan artis.
Penyanyi, Nourul Wahab Depp antara yang mengikuti perkembangan tersebut meskipun kini bersama keluarga menetap di Indonesia.
Berkongsi cerita, Nurul mengakui situasi yang dihadapi Puteri Sarah pada ketika ini menyamai dengan apa yang dilaluinya semasa bercerai dengan bekas suami yang juga komposer serta penyanyi, Mohd. Faizal Maas atau Ajai pada tahun 2006.
“Saya faham sebab saya juga dulu begitu.
“Bodoh si suami kalau tak lepaskan (isteri). Puteri Sarah akan lawan habis-habisan sebab dia dah nekad.
“Ini lah (yang dihadapi) saya dulu,” tulisnya menerusi mesej di Facebook.
Nurul dan Ajai bernikah pada tahun 1996 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Ayu Nazirah. Namun pasangan berkenaan memutuskan untuk bercerai pada tahun 2006.
Nurul pada 2012 mendirikan rumah tangga bersama lelaki Perancis, Eric Daniel Depp dan dikurniakan tiga cahaya mata Zachary Depp, Raphael Depp dan Isabella Depp.