Ramadan musim sejuk tak rasa lapar - Utusan Malaysia

Ramadan musim sejuk tak rasa lapar

Penulis di salah sebuah perkampungan di Bosnia yang cukup sejuk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini saya berpeluang melawat Bosnia-Herzegovina selama sembilan hari. Meskipun agak singkat, namun ia merupakan satu pengembaraan cukup luar biasa dan memuaskan.

Negara Bosnia sememangnya terkenal dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia, jadi tidak perlu lagi saya ceritakan kisah disebaliknya kerana saya yakin, pembaca sudah begitu arif mengenainya.

Cuma, pengembaraan setelah Covid-19 beransur pergi agak sedikit berbeza. Dengan harga tiket mencecah RM4,700 pergi-balik, saya perlu menghabiskan masa selama lapan jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, sebelum berlepas pula ke Sajarevo, ibu kota Bosnia-Herzegovina yang memakan masa sekitar dua jam, 20 minit.

Secara keseluruhannya, saya menghabiskan masa lebih 21 jam untuk sampai ke Bosnia. Lama tapi berbaloi.

Sebaik sahaja keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sarajevo, angin sejuk terus menerpa keras. Terasa beku tulang-belulang saya, mana tidaknya, pakaian sejuk semuanya ada dalam bagasi.

Rakyat kita cukup suka dengan musim sejuk kerana kata mereka seronok main salji dan seluruh kota nampak indah dek diselaputi salji yang putih dan bersih macam dalam filem fantasi.

Tetapi malangnya, bagi saya, ia sekadar sedap mata memandang kerana hakikatnya, cuacanya cukup sejuk, meskipun anda memakai beberapa lapisan baju serta jaket, anda tetap akan rasa kesejukannya.

Baru sahaja melangkah keluar dari pintu, sudah terasa ingin kembali masuk ke dalam rumah yang jauh lebih hangat dan selesa. Waktu musim sejuk, orang-orang di sini lebih suka menikmati kopi dan teh, tak kisah apa pun jenis, janji ianya sesuatu yang dapat menghangatkan mereka.

Kesejukan melampau di Bosnia membuatkan hampir setiap orang yang saya temui baik lelaki, wanita bahkan para pelajar yang merokok.

Orang-orang tua pun tak terlepas.

Kalau merokok mereka mesti kena minum kopi Bosnia, baru nikmat katanya!

Waktu salji turun memang menyeronokkan, tetapi kalau banyak sangat, nak jalan pun susah.

Keindahan salji ini selalunya dalam dua hari sahaja, kemudian salji-salji tersebut akan membeku, nak berjalan waktu ini memang kena berhati-hati, sangat licin.

Kasut yang digunakan sangat memainkan peranan, anda perlu memastikan kasut yang dibeli itu bersesuaian untuk musim sejuk.

SALAH BELI, MEMANG TERGOLEK

Jangan ambil nampak yang cantik sahaja, tapak kasut tu kena tengok betul-betul. Salah beli, memang tergoleklah.

Keputihan salji yang menyelimuti permukaan bumi tadi akan bertukar menjadi hitam dan kotor dalam tempoh yang singkat kerana orang-orang yang berjalan di atasnya selain kenderaan keluar masuk.

Keinginan saya untuk bermain bola salji termakbul juga akhirnya, cuma yang lucunya, saya hanya mampu membaling satu bola salji sahaja kerana tidak tahan dengan kesejukan salji.

Pegang dan kepal salji sekali sahaja dah dapat membuatkan tangan anda membeku.

Jangan ingat hanya kita yang dari Asia ni sahaja tak boleh tahan sejuk, orang-orang Bosnia pun ada juga yang tak dapat tahan sejuk.

Masalahnya kalau tiga darjah selsius mungkin boleh tahan lagi, tapi kalau dah sampai mencecah -10 darjah celcius, itu memang luar biasa.

Kebanyakan penduduk di Bosnia tidak menggunakan alat pemanas elektrik sebaliknya mereka akan membakar kayu, ala-ala macam dalam filem-filem lama kita tonton, itulah sebabnya waktu musim sejuk di Bosnia, terutamanya di Sarajevo, langit akan berkabus disebabkan banyak premis yang mengeluarkan asap dari kayu-kayu tersebut.

Apabila langit berkabus, maka potensi penerbangan keluar dan masuk terbatal adalah tinggi.

Cuma tahun ini kepelikkan berlaku apabila salji turun agak lewat daripada sedia kala, selalunya bulan Disember sudah banyak salji, tapi kali ini, salji turun di penghujung bulan Januari dan itu pun tak menentu.

Musim sejuk di Bosnia boleh memanjang sampai ke bulan April.

Bagi saya mereka cukup beruntung kerana dapat menyambut Ramadan dalam musim sejuk.

Meskipun tempoh berpuasa begitu panjang, namun mengikut kepada pengalaman saya, perut tidak akan terasa lapar sama sekali.

Pernah satu ketika saya terlupa untuk berbuka puasa kerana leka bermain bola dengan rakan-rakan pada 2019 dulu.

Bersukan apa pun masih tak akan rasa dahaga atau pun lapar.

Begitulah kelebihan dan kekurangan musim sejuk di bumi asing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya