KENDERAAN lasak pelbagai bentuk permukaan bumi atau lebih dikenali All Terrain Vehicle (ATV) kebiasaan digunakan bagi aktiviti-aktiviti lasak untuk tujuan rekreasi di pantai, padang pasir, hutan, ladang pertanian dan sebagainya.
Namun, pendekatan berbeza dilakukan oleh dua beradik bersama seorang sahabat baik mereka dari Bintong, Perlis, apabila ia menawarkan perkhidmatan menaiki ATV untuk bersiar-siar di sekitar kawasan kampung berkenaan.
Lebih-lebih lagi, kawasan tersebut amat berpotensi bagi menjalankan aktiviti lasak sedemikian.
Inisiatif menarik itu diusahakan Shahrolzaidi Ibrahim, 52, Shahrolmizan Ibrahim, 47, dan Nordeman Desa, 47, sejak empat bulan lalu.
Laluan ATV bersebelahan terusan Lencongan Banjir Barat itu, turut menjanjikan suasana nyaman buat pengunjung dan pastinya memukau setiap mata memandang.
Shahrolzaidi berkata, pada peringkat permulaan, mereka bertiga hanya melakukan aktiviti ronda ATV itu secara suka-suka, namun selepas beberapa ketika, terdapat permintaan daripada beberapa pihak yang berminat untuk turut sama mencuba menaiki kenderaan itu.
“Sewaktu kami menjalankan aktiviti ini, semamangnya telah timbul idea untuk mengusahakan perkhidmatan ATV ini, berikutan pemandangan di sini amat indah. Ada panorama sawah padi dan berlatar belakangan banjaran Nakawan yang mengasyikan.
“Bermula daripada situlah, kami cuba mewujudkan kelainan bagi membawa pengunjung meronda sekitar kawasan kampung di sini sewaktu menjalankan aktiviti lasak itu sebagai tarikan baharu pelancong di sini,” katanya sewaktu ditemui di ATV Bintong di Kampung Bohor Janggus, baru-baru ini.
13 ATV
Buat masa ini, mereka mempunyai 13 buah ATV bagi kegunaan pengunjung yang ingin mencuba aktiviti lasak tersebut.
“Ramai pengunjung dari luar antaranya seperti Singapura, Jepun dan beberapa negara lain, menyatakan keterujaan mereka apabila mencuba aktiviti ATV ini memandangkan mereka kagum dengan keindahan alam semula jadi dan suasana kampung di sini.
IKUT PAKEJ
Mengulas lanjut, Shahrolzaidi berkata, pihaknya mengusahakan perkhidmatan itu yang bermula di Jambatan Wang Bintong, di sini, dengan laluan sejauh lima hingga 10 kilometer mengikut pakej ditawarkan.
Ada empat pakej menarik disediakan buat pengunjung, bermula dengan harga serendah RM35 sehingga RM125.
Malah golongan pelajar turut diberikan diskaun khas bagi menaiki ATV.
“Dengan pakej-pakej ini, pengunjung akan dibawa melalui laluan menarik seperti sawah padi, kawasan perkampungan, trek khas, terowong air dan pelbagai lagi,” katanya.
TEMPAH AWAL
Sementara itu, Nordeman berkata, pengunjung yang ingin menggunakan perkhidmatan itu boleh datang secara terus di laluan berhampiran Jambatan Wang Bintong, di sini, pada hari Sabtu-Jumaat bermula pukul 8.30 pagi sehingga 6 petang.
Katanya, pada hari biasa, pengunjung digalakkan untuk membuat tempahan awal, bagi memudahkan pihaknya membuat persediaan.
“Kita menggalakkan pengunjung untuk membuat tempahan dengan melayari laman Facebook ATV Bintong Perlis atau menghubungi talian 012-5687 002 untuk maklumat lanjut,” katanya.
Selain perkhidmatan ATV, Nodeman berkata, pihaknya turut menyediakan beberapa aktiviti menarik lain di kawasan itu antaranya berkayak, bot ronda, memanah dan pelbagai lagi.
Tambahnya, semua aktiviti-aktiviti disediakan itu, sangat bersesuaian buat keluarga mahupun sahabat handai untuk meluangkan masa bersama.
“Kami harapkan usaha membangunkan aktiviti-aktiviti ini dapat mengangkat kawasan ini sebagai salah satu destinasi pelancongan di Perlis.
“Pengunjung juga dapat meninjau dengan lebih dekat cara hidup masyarakat setempat di samping menikmati keindahan alam semula jadi di sini,” katanya.