Peminat seni fotografi wajib lawat Muzium Kamera, terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Muzium unik ini mempamerkan ratusan jenis kamera pelbagai format dan jenis dari zaman dahulu hinggalah ke era kamera moden.
Uniknya, muzium kamera ini adalah sebuah hotel butik yang cantik dan bergaya.
Ia menempatkan sudut dan ruang untuk kamera-kamera vintaj selain mempamerkan gambar dan suratkhabar lama yang menggamit kenangan.
Ia turut dilengkapi makmal bilik gelap fotografi dan gambar lama dari era Kuala Lumpur sebelum dan selepas kemerdekaan.
Dibuka secara percuma kepada orang ramai, muzium yang terletak di Hotel Butik Gold3 ini menjadikan tema kamera dan fotografi sebagai konsep seni hiasan dalamannya sebagai tarikan pengunjung.
Konsep ini diilhamkan melalui pengalaman peribadi pengasas hotel ini.
Baginya pengembaraan ideal adalah dengan menginap di hotel yang baik, pada masa sama mempunyai kamera filem untuk merakam detik berharga sepanjang perjalanan.
Namun, bagi kebanyakan orang tentunya ia tidak dapat direalisasikan kerana ia adalah sesuatu yang mahal untuk menikmati kedua-duanya sekali pada satu masa.
Oleh itu telah terhasil – sebuah hotel bertemakan kamera yang mampu disewa di tengah-tengah kawasan mesra pelancong di ibu kota ini.
Sebenarnya, hotel ini dulu merupakan bilik gelap yang digunakan untuk memproses filem-filem kamera dan juga perniagaan berkaitan fotografi. Ia kemudiannya diubahsuai menjadi sebuah hotel yang masih mengekalkan konsep fotografi.
Sekiranya berada di sekitar Bukit Bintang, jangan melepaskan peluang melihat sendiri keunikan Muzium Kamera ini.