IJN laksana angioplasti dengan sokongan jantung sementara - Utusan Malaysia

IJN laksana angioplasti dengan sokongan jantung sementara

KUMPULAN Kardiologi IJN berjaya menjalankan prosedur angioplasti ke atas pesakit jantung koronari berisiko tinggi menggunakan peralatan mekanikal sementara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Institut Jantung Negara (IJN) berjaya menjalankan prosedur angioplasti (PCI) ke atas pesakit jantung koronari yang berisiko tinggi, menggunakan peralatan mekanikal sementara ke atas pesakit.

Alat peredaran mekanikal sementara itu menyokong aliran darah kepada pesakit kegagalan jantung dengan membantu peredaran darah melalui pam bagi mengekalkan tekanan arterial optima dalam jantung dan seluruh tubuh.

PCI adalah prosedur tanpa pembedahan yang dijalankan bagi merawat penyakit jantung koronari. Dalam kes lebih teruk, keadaan ini boleh menyebabkan serangan jantung dan kegagalan jantung.

Ketika prosedur PCI, doktor menggunakan kateter kecil untuk meletakkan belon dan stent bagi membantu membuka salur darah koronari yang sempit atau tersumbat.

Ini membolehkan lebih banyak darah yang mengandungi oksigen dibekalkan kepada otot jantung dan terus berfungsi secara normal sebagai pengepam.

Ketua Jabatan Kardiologi IJN, Datuk Dr. Shaiful Azmi berkata, bagaimanapun, sesetengah pesakit dikira berisiko tinggi untuk melalui prosedur PCI ini, terutama pesakit dengan pelbagai penyakit salur darah koronari dan mereka yang mempunyai pelbagai komorbiditi seperti penyakit buah pinggang yang teruk dan penyakit hati.

“Sesetengah pesakit jantung koronari mengalami kegagalan jantung serius, di mana otot jantung mereka terlalu lemah untuk menjalani PCI konvensional kerana jantung mereka tidak boleh mengepam darah yang mencukupi secara berkesan.

“Dalam kes ini, alat peredaran mekanikal boleh membantu mencegah komplikasi dengan menyediakan sokongan hemodinamik sementara bagi menyokong jantung,” katanya.

IJN menjalankan prosedur pertamanya dengan PulseCath iVAC2L pada September lalu, menjadikan ia hospital pertama di Malaysia berjaya melakukannya.

Prosedur itu dijalankan sekumpulan pakar jantung, diketuai Pengarah Klinikal Kegagalan dan Pemindahan Jantung, Datuk Dr. Azmee Mohd. Ghazi.

“Pesakit sudah boleh keluar daripada hospital beberapa hari selepas prosedur tanpa sebarang komplikasi dan sihat sepanjang berada di rumah.

“Kami teruja dengan prospek penggunaan alat sokongan ini yang memberi manfaat kepada lebih ramai orang yang tidak boleh melalui rawatan PCI secara konvensional kerana risiko yang tinggi,” katanya.

Penyakit jantung koronari adalah salah satu bentuk penyakit jantung yang paling biasa dialami pesakit. Penyakit itu berlaku apabila salur darah dalam jantung menjadi sempit kesan pengumpulan deposit lemak atau plak. Salur darah yang sempit menyebabkan bekalan darah ke otot jantung berkurangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya