Batik ciplak bunuh produk tempatan - Utusan Malaysia

Batik ciplak bunuh produk tempatan

YANG Dipertua Persatuan Pengusaha-Pengusaha Batik Terengganu, Shafei Ghazali menunjukkan kain batik sarung buatan Thailand yang dilabel sebagai batik Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATIK merupakan seni kraf tradisi yang popular di Malaysia dan menjadi lambang identiti orang Melayu sejak abad ke-17.

Tekstil ini memiliki keunikan tersendiri kerana proses pembuatannya yang masih mengekalkan teknik warisan di samping corak yang eksklusif.

Perusahaan batik tempatan kebanyakannya dipelopori pengusaha di pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang selain di Johor.

Namun, lambakan produk-produk keluaran Thailand, Indonesia dan China yang harganya jauh lebih murah, dikhuatiri boleh membunuh industri batik tempatan.

Penasihat Persatuan Pengusaha-Pengusaha Batik Terengganu, Wan Noordiran Wan Long, 54, berkata, situasi itu makin meruncing sejak 15 tahun lalu, berikutan kain sarung, kaftan dan kemeja diperbuat daripada fabrik kapas dari ketiga-tiga negara berkenaan dijual secara berleluasa di pasaran, tanpa kawalan.

Lebih mengejutkan, katanya, motif dan corak tempatan turut diciplak 100 peratus dengan helah menggunakan pelekat bertulis batik asli Terengganu bagi mengaburi mata pengguna.

Menurutnya, semua itu dilakukan bagi mengaburi mata pengguna sekali gus melariskan batik tiruan berkenaan.

“Terengganu jadi sasaran negara jiran kerana kita terkenal dengan penghasilan batik berkualiti dan cantik, maka kesempatan itu digunakan mereka untuk menciplak setiap rekaan yang dihasilkan pembatik tempatan.

“Thailand misalnya meniru 100 peratus motif batik pada kain sarung Terengganu dengan menggunakan mesin, manakala Indonesia turut dikesan berbuat demikian dengan harga jualan antara RM12 hingga RM14 sehelai.

“Harga itu cukup murah berbanding kain sarung asli yang bernilai antara RM25 hingga RM28 sehelai bagi pembelian secara borong,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini mengulas mengenai dilema batik tempatan.

Wan Noordiran turut mendakwa, lebih 85 peratus kain sarung dijual di Pasar Payang 2 di Kuala Terengganu bukan produk batik tulen sebaliknya, tiruan keluaran negara jiran.

Produk batik tiruan lain yang berleluasa jualannya ialah kaftan dan kemeja batik.

Harga sehelai kaftan batik asli adalah antara RM45 hingga RM48 bergantung kepada rekaan, manakala bagi tiruan pula antara RM18 hingga RM24.

“Pengusaha luar ini, berpura-pura membeli produk keluaran pembatik terkenal Terengganu bagi dibawa ke negara mereka untuk ditiru, sebelum dipasarkan kembali di Malaysia.

“Tindakan syarikat tekstil gergasi negara yang mencetak batik di China, menggunakan fabrik poliester bagi penghasilan kemeja turut membunuh industri ini,” katanya.

Masyarakat pinggir batik tempatan

Dalam pada itu, Wan Nordiran berkata, industri batik negara mampu terus bernafas sampai bila-bila jika rakyat belajar menghargai seni kraf berkenaan.

Malangnya sikap masyarakat yang mahukan harga murah menyebabkan batik asli terus terpinggir dan tidak mampu berlawan dengan produk tiruan.

Pekerja Batik Kamis merebus kain batik untuk menanggalkan lilin dan lebihan warna di Bengkel Batik Kamis, Kampung Banggol Durian di Kuala Terengganu baru-baru ini.

“Paling mustahak, rakyat perlu mencintai, memiliki dan memakai batik Malaysia. Pulaukan batik dari luar kerana kalau bukan kita, siapa yang akan mempertahankan produk warisan tempatan?.

“Dakwaan kononnya batik tempatan mahal adalah kerana ia melibatkan 100 peratus kerja tangan. Dalam sehari, kudrat pembatik cuma boleh mencanting dan mewarna antara tiga ke empat kain sahaja.

“Sukar untuk pengusaha menurunkan harga kerana upah pekerja dan harga bahan mentah tinggi. Berbanding di negara jiran, kedua-dua kos itu jauh lebih rendah,” katanya.

Bagi pemilik kedai batik Warisan Maju Timur di Pasar Payang 2, Azizah Ahmad, 44, batik bukan sekadar tekstil, sebaliknya membawa falsafah tersendiri kerana menggambarkan nilai estetika, identiti, budaya dan jiwa masyarakat setempat.

Selepas direbus, kain batik dibasuh sekali lagi dan dibilas.

Bagaimanapun, beliau kesal kerana, rata-rata rakyat masih tidak mendapat pendedahan terperinci dan mendalam mengenai seni kraf tradisi itu dan cenderung mengagungkan batik dari luar.

“Tanggapan salah masyarakat, mematikan industri ini kerana mereka tidak tahu tentang nilai seni dan kualiti di samping mahukan harga murah.

“Jika batik dijual tiga helai RM100, serendah itukah nilai produk warisan kita? Sedangkan penghasilannya menuntut ketelitian, kekemasan, kreativiti dan jiwa pembuat bagi memerah keringat,” katanya.

Sekat batik luar, naik cukai

KERAJAAN perlu menguatkuasakan undang-undang untuk menyekat kemasukan tidak terkawal produk batik dari negara jiran ke Malaysia.

Wan Noordiran, berkata, langkah itu penting bagi memastikan industri batik tempatan tidak terus dibunuh dan dapat bersaing dengan lambakan barangan tiruan.

Katanya, jika Indonesia menolak kemasukan sebarang produk batik luar negara, maka pendirian sama perlu dipertimbangkan pihak berwajib di Malaysia.

“Undang-undang baharu perlu dibentuk dan saya menyarankan kerajaan mengenakan cukai import yang tinggi sehingga 200 peratus terhadap batik-batik yang dibawa masuk.

“Cukai tinggi akan menyebabkan harga batik tiruan melonjak tinggi. Situasi ini tentunya memberi kelebihan untuk batik tempatan menjadi pilihan utama pengguna, lantaran kualiti ditawarkan,” katanya kepada.

PROSES menerap batik pada kain ketika tinjauan di Bengkel Batik Kamis, Kampung Banggol Durian, Serada.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga perlu memainkan peranan dan memeriksa ketulenan batik-batik import yang didakwa sebagai batik asli Terengganu itu.

Beri subsidi, bentuk pasukan inovasi batik – Swee Tin

PEMBERIAN subsidi kepada pengusaha batik di negara ini dapat memastikan golongan itu terus berkarya dalam memartabatkan seni kraf tradisi.

Budayawan, Dr. Lim Swee Tin berkata, inisiatif itu perlu dipertimbangkan kerajaan agar industri batik negara tidak tenggelam dengan saingan dari negara jiran.

Katanya, tidak salah manfaat itu diperluaskan kepada pengusaha kraf sebagaimana subsidi yang diberikan kepada sektor pertanian selama ini.

“Jangan biarkan pembatik hanyut tanpa subsidi atau insentif, sewajarnya kerajaan berikan galakan kepada mereka.

“Selain itu, saya fikir sudah sampai masanya negara memiliki pasukan penyelidik batik seperti di Thailand bagi membangunkan inovasi baharu agar hasil karya tempatan tidak ketinggalan dengan arus peredaran zaman,” katanya.

Menurut Swee Tin, penubuhan pasukan berkenaan dalam masa sama dapat mengkaji dan meneliti corak terkini untuk meneroka pasaran antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau menyarankan pengusaha batik untuk bergerak ke hadapan dan tidak berfikiran sempit bagi memajukan industri berkenaan.

Katanya, penemuan baharu perlu ditingkatkan termasuk mengem­bangkan lagi corak-corak yang sinonim dalam masyarakat setempat selain gabungan dengan fesyen terkini.

“Perusahaan batik tempatan sudah tidak besar berbanding satu ketika dulu, oleh itu kita perlu kreatif dalam menginovasikan motif rekaan bagi bersaing dengan batik Indonesia.

“Saya percaya rakyat masih berminat dengan batik Malaysia kerana ia ada dalam hati sanubari kita semua, cuma harga yang mahal menghalang orang ramai terutama golongan yang berpendapatan rendah dan pelajar untuk memiliki batik,” katanya.

Swee Tin berkata, batik tempatan melambangkan jati diri bangsa yang sejati di samping hasil pertukangan berkualiti, justeru orang ramai perlu berbangga dengan penghasilan seni kraf berkenaan.

Katanya, antara faktor yang menyebabkan batik kian tenggelam ialah kegagalan pengusaha menguasai pasaran, ketidakcekapan bersaing di samping kelemahan dari segi perkembangan kilang dan fesyen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya