Usia kediaman yang hampir mencecah lebih 30 tahun bukan menjadi penghalang buat pencinta dekorasi, Nurul Huda Mohd. Najib untuk berkarya.
Memilih konsep Muji Moden sebagai tema, kediaman berkeluasan 15 x 55 kaki persegi itu menonjolkan rona semula jadi dan material kayu sebagai elemen pelengkap.
Kata Nurul Huda, tema berkenaan dipilih sesuai dengan kediamannya yang bersaiz kompak.
“Inspirasi adalah daripada rumah-rumah di negara Jepun. Ada juga carian daripada Pinterest, Instagram Home Decor dan juga rakan-rakan dalam bidang rekaan dalaman.
“Kami memilih konsep ini kerana ia banyak menggunakan rona-rona semula jadi iaitu putih dan hiasan berasaskan material kayu yang membantu ruang kelihatan lebih luas,” katanya kepada Seri.
Tangga tengah ruang
Antara menarik perhatian adalah tangga yang terletak di tengah-tengah ruang rumah.
Selain menjadi pembahagi antara ruang tamu dan ruang makan, tangga yang diberi sentuhan rona coklat dan pagar hitam itu menjadi titik fokal pada kediaman berkenaan.
“Asalnya, ada stor di bawah tangga. Belakang tangga pula ada dinding tertutup. Ini membuatkan rumah nampak kecil dan kurang pencahayaan.
“Jadi, untuk dapatkan efek ruang yang lebih luas, kami buat keputusan untuk buang dinding belakang tangga dan juga stor.
“Syukur juga tidak alihkan tangga ke bahagian tepi, cuma kekalkan kedudukan tangga, tapi menukarkan kepada rekaan yang lebih unik. Ia bukan sahaja menjadi titik fokal tetapi bertindak sebagai pembahagi antara ruang tamu dan ruang makan,” katanya yang menjelaskan kos ubah suai dilakukan, menelan belanja sekitar RM300,000.
Bagaimana pun katanya, dia sentiasa menerapkan konsep less is more bagi mengelakkan rumah kelihatan padat.
Katanya, tema Muji Moden yang menekankan konsep minimalis merupakan pilihan paling praktikal kerana ia tidak memerlukan susun atur barangan yang terlalu banyak.
Ia sekali gus membantu kediaman untuk kekal kelihatan kemas sepanjang masa.