TAHUN lalu, negara dikejutkan dengan isu 20,732 calon layak dan melepasi syarat am, gagal mendapat tawaran kali pertama ke universiti.
Situasi itu didakwa berpunca akibat tempat terhad dan persaingan sengit terutama bagi permohonan program kompetitif di universiti awam (UA).
Dilaporkan kesemua 20 UA di negara ini hanya dapat menempatkan sejumlah 71,615 pelajar bagi kemasukan sesi akademik 2022/2023.
Bagi mengatasi masalah tersebut, kerajaan disaran membangunkan sistem data raya untuk memberi panduan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengenai program bersesuaian dan universiti yang menawarkannya.
Pensyarah di Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, kemudahan itu boleh dibangunkan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan bagi menghubungkan data mengenai pencapaian, kecenderungan dan minat pelajar dengan program dan kerjaya sesuai untuk mereka.
“Kita bimbang kerana banyak kekosongan di UA tidak diisi dan lepasan SPM tidak mendapat tempat dalam program sesuai dengan kelulusan serta minat mereka.
“Melalui sistem atau aplikasi yang boleh dimuat turun itu, pelajar akan diberikan maklumat program dan kerjaya untuk diceburi di samping universiti atau kolej yang menawarkan program-program tersebut,” katanya.
Menurut Mohd. Azraai, kemudahan itu sekali gus memudahkan golongan sasar membuat pilihan terbaik untuk masa depan mereka.
Sistem seumpama itu katanya, sudah dilaksanakan di kebanyakan negara maju dan kini masanya untuk negara mengorak langkah sama.
Mohd. Azraai turut menyentuh mengenai isu pengangguran dalam kalangan graduan akibat Covid-19 yang memerlukan tindakan segera supaya ilmu pengetahuan dan kebolehan mereka tidak disia-siakan.
Ujarnya, adalah wajar latihan kemahiran berbentuk reskilling dan upskilling diperkenalkan agar graduan relevan dan kompetitif.
Begitupun, Mohd. Azraai menegur segelintir graduan yang kurang penghayatan nilai dan etika sehingga mengundang masalah seperti rasuah, pecah amanah dan jenayah kolar putih apabila memasuki alam pekerjaan.
Katanya, pemahaman, pemupukan dan budaya beretika serta berintegriti dalam kalangan golongan sasar perlu dijadikan keutamaan.
“Melalui pembudayaan integriti dan etika, akan terhasil nilai-nilai murni seperti amanah, rajin, ikhlas, membenci rasuah dan bermaruah ketika melaksanakan kerja dan tanggungjawab masing-masing.
“Sistem pendidikan tinggi negara yang mapan, bersistematik, bersasar dan penuh kebijaksanaan diharap dapat dibangunkan bagi melahirkan pelajar, graduan serta profesional yang bukan sahaja cemerlang, malah warga kerja yang berakhlak, berintegriti dan beretika,” katanya.