Saidina Abu Hurairah, bapa sang kucing - Utusan Malaysia

Saidina Abu Hurairah, bapa sang kucing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila kita sering membaca hadis Rasulullah SAW, pasti nama Abu Hurairah tidak asing lagi kerana kebanyakan hadis Rasulullah SAW telah disampaikan dan disebarkan kepada umat Islam melalui perantaraan Saidina Abu Hurairah. Maka, menjadi perkara yang begitu malang sekiranya tokoh semasyhur ini tidak dikenali oleh umat Islam.

Nama Sebenar Dan Nasab Keturunan Beliau

Saidina Abu Hurairah sebenarnya berasal dari Yaman. Beliau adalah daripada keturunan Sulaym bin Fahm. Walaupun begitu berlaku percanggahan yang besar di sisi para ulama dalam menentukan nama sebenar beliau dan nama sebenar ayahnya.

Pendapat yang diterima ramai menyatakan nama sebenar Saidina Abu Hurairah sebelum memeluk Islam adalah ‘Abdu Shams bin Sokhr. Abdu Shams bermaksud ‘hamba kepada matahari’.

Namun, selepas beliau memeluk Islam, Rasulullah SAW telah menukar nama beliau kepada Abd al-Rohman bin Sokhr. Beliau digelar sebagai Abu Hurairah yang bermaksud bapa seekor kucing kerana pernah menjumpai seekor kucing lalu dimasukkan ke dalam lengan jubah beliau.

Atas sebab sikap belas kasihnya terhadap kucing tersebut, beliau akhirnya digelar Rasulullah SAW dengan gelaran Abu Hurairah.

Adapun mengenai salasilah keturunan Saidina Abu Hurairah, al-Shaykh Hisham bin Muhammad al-Kalbiyy sebagai mana yang dinukilkan dalam kitab Tahdzib al-Kamal 34/366 berpendapat, nama asal Saidina Abu Hurairah adalah ‘Umayr bin ‘Amir bin Dzu al-Sharo bin Torif bin ‘Ayyan bin Abu So‘b bin Hunayyah bin Sa‘d bin Tha’labah bin Sulaym bin Fahm bin Ghanm bin Daws bin ‘Udthan bin ‘Abdullah bin Zahran bin Ka‘b bin al-Harith bin Ka‘b bin ‘Abdullah bin Malik bin Nasr bin al-Azd.

Para ulama telah menyatakan al-Azd adalah anak kepada al-Ghowth bin Nabt bin Malik bin Zayd bin Kahlan bin Saba bin Yashjub bin Ya‘rub bin Qohton (turut juga disebut Yaqton) bin ‘Aybar (turut juga disebut ‘Amir) bin Shalakh bin Arfakhshadz bin Sam bin Nabi Allah Nuh ‘Alayhi al-Salam.

Sekiranya titihan nasab ini tepat, ini bermakna nasab Saidina Abu Hurairah bertemu dengan nasab Rasulullah SAW pada Saidina ‘Aybar bin Shalakh seperti dinyatakan al-Imam Ibnu Ishaq dalam kitab beliau al-Siroh al-Nabawiyyah 1/17 adalah daripada zuriat keturunan Nabi Isma‘il bin Nabi Ibrahim bin Taroh bin Nahur bin Sarugh bin Ro‘u bin Falakh bin ‘Aybar bin bin Shalakh bin Arfakhshadz bin Sam bin Nabi Allah Nuh ‘Alayhi al-Salam.

Saidina Abu Hurairah memeluk Islam pada tahun berlaku peperangan Khaybar iaitu tahun ketujuh Hijriah, bahkan beliau sebagai mana yang dinyatakan dalam kitab al-Isti’ab Fi Ma’rifah al-Ashab turut menyertai peperangan tersebut demi membela agama Islam.

Keistimewaan Saidina Abu Hurairah

Saidina Abu Hurairah adalah sahabat Rasulullah SAW yang sangat rapat dengan baginda. Beliau adalah antara sahabat yang paling banyak menghafal hadis baginda, bahkan beliau paling banyak meriwayatkan hadis Rasulullah SAW kepada orang ramai. Menurut kitab Tadrib al-Rowi 2/235; jumlah seluruh hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh beliau adalah sebanyak 5,374 hadis.

Menurut al-Imam al-Bukhari; jumlah sahabat Rasulullah SAW dan tabi’in yang telah meriwayatkan hadis daripada Saidina Abu Hurairah adalah lebih daripada 800 orang.

Keistimewaan beliau telah menyebabkan ada pihak yang mempertikaikan kesahihan kenyataan bahawa Saidina Abu Hurairah adalah orang yang paling banyak meriwayatkan hadis Rasulullah SAW.

Sekalipun waktu yang dianugerahkan Allah untuk beliau mendampingi Rasulullah SAW tidak lama, namun beliau adalah salah seorang Ahl al-Suffah iaitu individu tidak berharta yang disara Rasulullah SAW dari sudut makan minum, bahkan diberi penempatan khusus di dalam masjid baginda. Ini telah menjadi peluang keemasan bagi Saidina Abu Hurairah untuk sentiasa bersama dengan baginda setiap hari.

Maka, tidak mustahil beliau menjadi orang yang begitu banyak memerhatikan tindak-tanduk Rasulullah SAW dan menjadi orang yang sangat banyak mendengar sabdaan baginda, sekalipun beliau hanya sempat bersahabat dengan baginda sekitar tiga tahun.

Perkara ini telah dinyatakan sendiri oleh Saidina Abu Hurairah sebagai mana yang direkodkan al-Imam al-Bukhari seperti berikut:

Daripada [Saidina] Abu Hurairah – Allah telah meredai beliau -, beliau telah berkata: Mereka [yang mempertikaikan saya] berkata: “Sesungguhnya [sangat menghairankan apabila] Abu Hurairah memperbanyakkan [periwayatan] hadis”! [Sesungguhnya di sisi] Allah [ada] janji [buruk bagi orang yang membuat pendustaan terhadap Rasulullah SAW].

Mereka berkata: “Apa [kena] dengan individu [daripada golongan] al-Muhajirin dan [daripada golongan] al-Ansar tidak menyampaikan hadis seperti hadis [yang disampaikan oleh] beliau”? Sesungguhnya saudara saya daripada [golongan] al-Muhajirin satu ketika dahulu disibukkan dengan perniagaan di pasar-pasar dan sesungguhnya saudara saya daripada [golongan] al-Ansar [pula] satu ketika dahulu disibukkan dengan amal [pertanian yang dilakukan ke atas tanah mereka yang merupakan] harta-harta mereka.

Saya satu ketika dahulu adalah seorang yang miskin yang saya melazimi Rasulullah SAW di atas [sebab] kepenuhan perut saya (iaitu dengan tujuan makan minum saya ditaja oleh baginda). Maka saya hadir [bersama dengan baginda] ketika mereka tidak ada dan saya menghafaz [sabdaan baginda] ketika mereka lupa.

Nabi SAW telah bersabda pada satu hari: “Tidak ada seorang pun daripada kamu semua yang akan membentangkan pakaiannya sehingga saya menghabiskan ucapan saya ini kemudian dia menghimpunkan pakaiannya ke dadanya lalu dia lupa [pula] daripada ucapan saya akan sesuatu pun selama-lamanya”.

Maka saya pun telah membentangkan sehelai Namiroh (satu kain yang bercorak secara berbelang-belang) yang tidak ada sebarang pakaian pun di atas [badan] saya melainkannya. [Saya terus membiarkan kain tersebut dibentangkan] sehinggalah Nabi SAW telah menyudahkan ucapan baginda.

Kemudian [setelah baginda selesai bersabda], saya telah menghimpunkan Namiraĥ tersebut ke dada saya. Maka demi [Allah] yang telah mengutuskan baginda dengan kebenaran, saya telah tidak lupa daripada ucapan baginda tersebut [akan sesuatu pun sehinggalah] ke hari saya [berucap] ini.

Selain merupakan tokoh utama periwayatan hadis, Saidina Abu Hurairah juga sebenarnya seorang ahli ibadat. Beliau sering berpuasa dan berqiamullail. Menurut al-Imam ‘Ikrimah; Saidina Abu Hurairah telah bertasbih sebanyak 12,000 kali setiap hari. Saidina Abu Hurairah juga merupakan tokoh ulama yang berkecimpung dalam bidang politik dan pemerintahan, selain pernah menjadi gabenor al-Madinah al-Munawwaroh berulang kali.

Kewafatan Saidina Abu Hurairah

Menurut al-Imam Hisham bin ‘Urwah dan Khalifah bin Khoyyat; Saidina Abu Hurairah meninggal dunia pada tahun 57 Hijriyyah. Al-Imam al-Haytham bin ‘Adiyy pula berpendapat beliau meninggal dunia pada tahun 58 Hijriyyah, manakala menurut al-Imam al-Waqidiyy; Saidina Abu Hurairah meninggal dunia pada tahun 59 Hijriyyaĥ dalam usia 78 tahun. Semoga Allah meredai dan merahmati beliau. Amin.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya