Allah menjadikan manusia berbilang bangsa dan agama untuk saling kenal-mengenali. Islam juga mengajar umatnya hidup saling hormat-menghormati dan bertoleransi. Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan terhadap manusia lain yang berbeza agama dan budaya.
Sebabnya, setiap manusia mempunyai hak untuk hidup dan melaksanakan ajaran agama masing-masing. Kebebasan beragama ini dijamin dalam Islam selari dengan ayat 256 surah al-Baqarah yang bermaksud: Tiada paksaan dalam beragama.
Dalam masa sama, umat Islam harus berpegang teguh dengan akidah Islamiah yang benar dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang anasir yang boleh merosakkan akidah. Walau bagaimanapun, ramai antara kita terkeliru apakah had yang dibenarkan agama dalam menyantuni kaum yang berbeza pegangan.
Dalam hal ini, perlu jelas bahawa Islam melarang sebarang keterlibatan dalam aktiviti agama lain yang boleh merosakkan akidah sama ada dalam majlis ritual ibadah agama lain yang dilakukan di kuil, rumah ibadat atau di mana-mana tempat sekali pun. Pengharaman secara ijmak ini disebutkan oleh Ibn Al Qayyum dalam kitabnya, Ahkam Ahli Zimmah.
Kebanyakan ulama silam melarang keras meraikan perayaan agama lain berdasarkan hadis Nabi SAW yang tegas menyatakan perayaan untuk umat Islam hanyalah Hari Raya Aidil Adha dan Hari Raya Aidilfitri. Sebarang perayaan agama lain dan perayaan yang tidak ada dalam sunnah dan hadis adalah dilarang.
Larangan ini termasuklah perbuatan menyertai ritual keagamaan sama ada di rumah ibadat penganut agama lain atau di mana-mana tempat sekali pun. Memakai pakaian khusus untuk acara keagamaan, menggunakan lambang keagamaan, menyediakan atau makan makanan dan minuman khas yang dibacakan mantera keagamaan, membaca dan menyanyikan bacaan keagamaan dan sebarang perbuatan yang membesarkan Tuhan agama lain.
Larangan keras ini berdasarkan hadis Ibnu Umar bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud; Barang siapa yang meniru perbuatan kaum lain, maka dia adalah sebahagian dari mereka.
Apakah maksud larangan meniru agama lain ini? Para ahli hadis menghuraikan maksud larangan keras meniru agama lain dari sudut cara hidup, berpakaian, percakapan, perayaan dan aktiviti keagamaan yang tidak selari dengan syarak. Larangan keras ini kerana ditakuti akan mencemarkan akidah Muslim.
Walau bagaimanapun, cara hidup generik yang diamalkan oleh semua manusia di atas muka bumi tanpa perbezaan agama dan kaum adalah diterima. Contohnya, memakai seluar, pakaian rasmi atau kasual yang tidak membesarkan agama lain adalah diterima.
Budaya yang melambangkan cara hidup sesat seperti seks bebas, seks rambang dan hedonisme bebas tanpa agama adalah dilarang. Ini temasuklah pemakaian lambing-lambang cara hidup yang jelas bertentangan dengan syarak.
Perbuatan seperti memakai pakaian sami atau pendeta khas ketika hari perayaan, memakai lambang agama tertentu pada badan, makanan khas perayaan atau membaca bacaan khas memuji Tuhan agama lain adalah dilarang walaupun dengan niat merai dan merasakan kebersamaan dengan sahabat dan rakan taulan yang beragama lain.
Selain larangan jelas daripada hadis, ulama melarang keras perbuatan ini sebagai kaedah menutup jalan keburukan atau sad al-zara’ie. Keterbukaan tanpa had ditakuti menyebabkan kekeliruan dalam kehidupan beragama terutama kepada golongan anak-anak dan mereka yang tidak mempunyai asas ilmu agama.
Akhirnya menyebabkan percampuran antara ibadat dan adat dengan agama lain sehingga menjejaskan akidah Muslim. Sebagai contoh, berharap kepada Santa Claus untuk mendapat hadiah yang diimpikan, mungucapkan syukur kepada Tuhan agama lain atas hasil pertanian dan kekayaan dan memakai tali harapan yang menjadi tangkal. Perbuatan ini dilarang dalam Islam.
Asasnya, sebarang perbuatan dan ucapan kepada penganut agama lain tidak boleh mempunyai ciri mengiktiraf agama berkenaan. Ditakuti perkataan dan perbuatan itu akan membawa kepada syirik dengan membesarkan agama dan ritual agama lain. Namun, Islam tidak menghalang kita mengucapkan sesuatu yang menggembirakan penganut agama seperti ucapan “Selamat bercuti” dan lainnya.
Namun, kehidupan manusia pada hari ini memperlihatkan cara hidup yang amat berbeza. Manusia berbilang kaum dan agama hidup bersama dan saling memerlukan. Hampir sudah tiada negara yang hanya mempunyai satu bangsa dengan satu kepercayaan.
Justeru, setiap ahli masyarakat haruslah berperanan memastikan keharmonian hidup berbilang kaum dengan saling hormat-menghormati. Sikap prejudis dan kebencian harus dijauhi.
Persoalannya, bagaimana harus kita bertoleransi dalam perkara yang membabitkan akidah? Walaupun cara hidup agama lain dilarang keras dalam agama kita, seperti penyembahan berhala, minum arak, memakan haiwan tidak disembelih dan najis, tidak bermakna kita boleh mencela agama mereka.
Nabi melarang keras menghina Tuhan agama lain, Ini termasuklah menghina makanan, minuman, pakaian dan ritual agama lain bertujuan menghina mereka. Ia dilarang kerana akan membawa kepada serangan balas dan permusuhan yang dahsyat seperti yang banyak terjadi pada hari ini.
Perbezaan akidah bukan lesen untuk menghina dan merendahkan agama lain. Tapi bukan juga bermakna kita melakukan perkara yang mengiktiraf agama lain. Tidak salah kita mengucapkan tahniah atas perayaan dan kegembiraan mereka, tetapi kita tidak menyertai ritual mereka. Tidak salah kita makan makanan yang halal disediakan tapi bukan makanan yang khas untuk ritual beragama.
Bergembira dengan kegembiraaan mereka kerana kita adalah manusia yang saling hormat-menghormati. Namun kita bukan bergembira dengan perayaan mereka hingga kita meyakini agama kita sama dengan agama lain.
Pada Tahun 2005, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan bahawa dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Kriteria-kriteria tersebut adalah; Majlis itu tidak disertakan upacara-upacara bertentangan dengan akidah Islam. Ia termasuklah perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
Penulis ialah Prof. Madya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.