Sebahagian daripada wanita tidak pernah berasa puas dengan kecantikan dimiliki. Biarpun cukup sifat tetapi hidung berbentuk jambu air, pipi tembam, muka bulat atau payu dara kecil antara ‘kecacatan’ ingin diperbetulkan. Ada sahaja alasan diberikan bagi membuktikan ia belum cukup sempurna.
Disebabkan keyakinan diri inilah ramai wanita muda hari ini berani untuk melakukan rawatan estetik seperti filler treatment untuk kecantikan.
Rawatan filler ini adalah proses memasukkan bahan sintetik ke dalam tisu badan untuk memperbaiki bahagian tertentu dan menambahkan kepadatan atau keanjalan bahagian tertentu.
Selepas melakukan rawatan ini, pastilah wajah dan badan yang telah disuntik tampak sempurna dan terletak namun kesannya boleh menyebabkan benjolan kulit yang tidak sekata, radang kulit, jangkitan kuman, lebam serta pendarahan sekiranya suntikan terlalu dalam.
Menurut pakar kecantikan bertauliah, Dr. Abdullah @ Maliq Alias atau lebih dikenali sebagai Dr. Cute, penggunaan produk yang mengandungi bahan selamat lebih disarankan untuk wajah remaja atau wanita muda berbanding melakukan rawatan estetik dan sebagainya.
“Setiap peringkat umur pasti ada masalah tertentu. Anak-anak yang bersekolah juga mengalami masalah kulit wajah yang teruk. Tiada masalah untuk merawat kulit pada usia awal dengan produk yang betul.
“Asalkan produk itu tidak mengandungi bahan terlarang. Perbaiki dahulu dengan produk mengandungi bahan yang sesuai mengikut masalah atau jenis kulit mereka. Sekiranya tidak berkesan barulah dapatkan nasihat doktor atau pakar bertauliah daripada terus melakukan rawatan estetik dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Individu berhasrat untuk mendapatkan rawatan estetik dinasihatkan supaya mendapatkan pandangan dan khidmat doktor estetik bertauliah terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang rawatan.
Tidak sesuai wanita muda, remaja
Dermatologi dari New Jersey, Dr. Jeanine Downie dipetik sebagai berkata, rawatan botox dan filler adalah untuk mencegah kedutan namun ia tidak sesuai dilakukan ke atas usia muda.
Ujarnya, jika wajah atau tubuh tidak memperlihatkan kedutan atau lipatan, rawatan estetik tidak perlu dilakukan. Ini kerana kulit wajah di usia remaja masih muda, tegang, anjal dan struktur kulit masih sihat.
“Apa-apa suntikan hanya untuk wanita berusia 30 tahun ke atas. Rawatan yang berlebihan lebih berbahaya berbanding memulih atau memperbaiki struktur kulit tanpa suntikan,” katanya.
OBSES CANTIK BERI KESAN EMOSI
Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani menegaskan apapun tindakan yang dibuat atas sesuatu kehendak dan keinginan secara keterlaluan akan memberi kesan emosi jika tidak dikawal.
Sebaliknya jika dilakukan secara terkawal dan tidak memudaratkan diri, ia tidak menjadi kesalahan.
“Yang paling penting, bahan yang digunakan adalah selamat dan tidak berbahaya.
“Namun jika sesuatu rawatan itu dilakukan tanpa kawalan, sama ada kesihatan atau keselamatan maka ia mempunyai risiko kebergantungan dan ketagihan rawatan sehingga akhirnya membawa kemudaratan,” katanya.
HAMBA RAWATAN KOSMETIK
Tambah beliau, kesan emosi seperti tahap kebergantungan pada rawatan sehingga obses boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan hilang keyakinan diri selagi tidak mencapai apa yang diharapkan.
“Akhirnya tanpa sedar, definisi kecantikan dan kesempurnaan itu bercelaru dan menjadi hamba kepada rawatan kosmetik sungguhpun ia berbahaya. Gangguan emosi yang tidak dikawal boleh menjadi punca gangguan kesihatan mental daripada sudut keyakinan diri, persepsi dan jati diri,” katanya.
Ujar Siti Fatimah, solusi terbaik bagi situasi ini tentulah memanjakan diri dan menenangkan fikiran secara semula jadi bagi mengembalikan semula kesan positif terhadap tubuh, kesihatan dan mental.
“Kesedaran tentang penjagaan diri daripada segi pemikiran, emosi, spiritual dan biologi. Jagalah kebersihan diri dan amalkan gaya hidup sihat. Kulit yang cantik mencermin keperibadian diri.
“Makanan yang berkhasiat boleh mencantikkan wajah. Banyakkan memakan sumber protein seperti ikan, vitamin dan mineral serta sayur-sayuran dan buah-buahan. Elakkan daripada merokok atau terkena asap rokok. Bersenam dan minum air secukupnya. Ini membantu tubuh untuk dapat berfungsi dengan baik,” katanya.
Remaja sama ada lelaki atau wanita, perlu sedar, terdapat banyak lagi hal yang boleh dilakukan bagi memperkasakan diri.
“Elakkan daripada bergantung kepada pandangan orang lain, sebaliknya bina keyakinan secara dalaman.
“Ketagihan atau obses pada kecantikan luaran sehingga sanggup menghabiskan wang dan tidak menghiraukan kesan sampingan daripada rawatan suntikan dilakukan, boleh memberikan tekanan emosi dan perasaan jika tidak dikawal dengan baik. Pengaruh ideologi dan ledakan maklumat tanpa mereka faham tahap perkembangan emosi itu perlu selaras dengan umur dan pengalaman.
“Matang sebelum usia dari segi luaran tetapi bukan pemikiran dan keupayaan membuat pilihan mana yang baik dan buruk,” katanya.
Tubuh, anugerah dan amanah kepada manusia
PENJAGAAN kulit wanita bukanlah satu pembaziran dan ia sememangnya perlu dijaga seperti yang digalakkan dalam Islam.
Penceramah bebas, Ustazah Asma Harun juga pernah berkongsi dalam satu video yang mana beliau sendiri telah dididik oleh ibunya sejak remaja ketika di bangku sekolah menengah untuk menjaga kulit dengan produk penjagaan wajah.
Malah kata Ustazah Asma, selain menjaga kulit dengan memakai produk, beliau juga membuat rawatan laser di bahagian wajah untuk menghilangkan sel kulit mati.
Bukan itu sahaja, beliau juga mendapatkan rawatan facial di spa untuk kesihatan kulit sebulan sekali.
Sebelum ini, beliau mempunyai masalah kulit teruk seperti berjerawat dan sebagainya namun memilih untuk mendapatkan rawatan supaya kulit wajah tampak lebih sihat.
“Saya tidak memakai solekan, jadi menjaga kulit wajah sangat penting. Selain mencuci wajah pagi dan petang menggunakan cleanser, saya juga akan memakai sunblock setiap hari sebelum keluar rumah. Jika produk kecantikan masih tidak dapat selesaikan masalah kulit wajah, berjumpalah dengan pakar kulit.
“Penjagaan kulit bukanlah pembaziran kerana sebagai wanita kita perlu jaga diri dan kesihatan kulit wajah termasuk badan kerana ia anugerah dan amanah oleh Allah SWT,” katanya.