Nikmati kedamaian di The Wheel Estate Campsite di Perlis

Nikmati kedamaian di The Wheel Estate Campsite di Perlis

perlis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TREND percutian secara perkhemahan semakin popular, khususnya dalam kalangan pencinta alam yang memilih berkhemah di lokasi yang mempunyai suasana tenang dan damai.

Malah, lokasi perkhemahan berkonsepkan glamping iaitu gabungan glam (glamour) dan camping (berkhemah) antara yang semakin menjadi tumpuan, membuatkan aktiviti percutian bertambah menyeronokkan.

Di Perlis, kewujudan The Wheel Estate Campsite di Belukar Lenga, Chuping, Perlis iaitu lokasi perkhemahan berkonsepkan glamping yang beroperasi sejak 1 Disember lalu menjadi antara tarikan baharu di negeri itu.

Lebih menarik, pantulan imej bulan pada permukaan tasik dengan diterangi limpahan lampu menjadikan suasana malam di lokasi berkenaan cukup memukau, lantas mempesonakan pancaindera yang melihat.

Keunikan lokasi perkhemahan berkonsepkan glamping yang pertama di Perlis itu, turut berjaya menarik pengunjung dari seluruh negara, termasuk pelancong dari luar negara.

Lokasi berkenaan yang berlatar belakangkan sawah padi, bukit serta panorama kampung di samping suasana malam yang sejuk, khususnya pada musim angin timur ketika ini membuatkan para pengunjung menikmati ketenangan dan kedamaian, sekali gus membawa pulang kenangan bermakna.

SAMBUTAN LUAR BIASA

Memasuki bulan kedua operasi, The Wheel Estate Campsite yang diusahakan pasangan suami isteri, Chew Heng Boon, 60, dan Jasmine Say, 50, menerima sambutan cukup luar biasa.

Heng Boon berkata, pihaknya menyediakan kemudahan 18 khemah iaitu jenis Dome Tent enam meter, Dome Tent empat meter, Diamond Wooden Tent dan ‘A’ Wooden House.

Katanya, harga yang ditawarkan pula bermula dari serendah RM80 sehingga RM320.

Ujarnya, lokasi perkhemahan terbuka tersebut serta suasana di dalam khemah berkenaan menjanjikan keselesaan kepada pengunjung.

Malah katanya, pelbagai aktiviti turut disediakan seperti memancing, barbeku, berbasikal, memanah dan banyak lagi, sekali gus memberi pengalaman berharga buat pengunjung yang datang ke sini.

“Pastinya antara yang menarik perhatian adalah replika bulan di dalam tasik yang memberi pantulan pada waktu malam, seolah-seolah seperti melihat bulan yang sebenar.

“Selain itu, suasana yang nyaman dan tenang dengan panoroma kampung juga membuatkan pengunjung menikmati kedamaian. Kita juga pernah menerima kunjungan pelancong dari Itali dan Sweden.

“Di tengah tasik pula, kita menyediakan ruangan makan untuk pasangan dengan suasana romantik pada harga serendah RM98 bagi menikmati makanan yang disediakan,” katanya.

Karavan

Tambah Heng Boon, pihaknya sentiasa menambah baik lokasi berkenaan, termasuk bakal menyediakan karavan, selain memperindahkan lagi lokasi berkenaan.

Mengulas mengenai aspek keselamatan, katanya, kawasan tersebut tidak mempunyai risiko tanah runtuh atau sebagainya, memandangkan terletak jauh dari bukit.

Selain itu, lokasi berkenaan juga jauh dari sungai, sekali gus tidak terdedah risiko banjir jika berlaku hujan lebat atau bencana alam.

“Lokasi ini terletak di tepi jalan yang sekelilingnya mempunyai panorama sawah padi dan kawasan kampung. Daripada aspek keselamatan di sini, cukup selamat. Kita hanya menyaksikan pemandangan bukit berhampiran yang jaraknya agak jauh dari lokasi perkhemahan, sekali gus tidak ada risiko binatang atau lain-lain.

“Fasiliti di sini juga tidak mempunyai risiko daripada aspek keselamatan memandangkan kolam dan tasik tidak dalam.

“Lokasi di Perlis kebanyakan adalah selamat dan jarang terdedah dengan bencana alam atau sebagainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya