Pelakon meningkat naik, Idan Aedan dijangka menjadi pelapis yang bakal menyinar dalm industri perfileman negara.
Melihatkan pada rekod pencapaian dimiliki, pada usia muda, Idan sudah menjayakan pelbagai drama dan filem termasuk sebuah naskhah bersiri terbitan Netflix, Mr. Midnight yang ditayangkan tahun lepas.
Penglibatan dalam drama tersebut membuatkan Idan atau Muhammad Shahidan Abdullah, mendahului ketika pelakon lain, baharu dan lama, masih berangan-angan untuk melebarkan sayap ke peringkat global.
Anak kelahiran Perak itu ketika ditemui baru-baru ini, nyata gembira dengan pencapaian dimiliki itu.
“Alhamdulillah, drama bersiri tersebut telah pun ditayangkan di seluruh dunia dan mendapat sambutan menggalakkan di Netflix. Ini adalah rezeki saya. Kita ada ramai pelakon berbakat, tetapi peluang itu berpihak kepada saya,” katanya.
Memulakan kerjaya lakonan pada usia kanak-kanak, Idan kini mampu tersenyum apabila melihatkan senarai filem yang pernah dibintanginya antaranya Operation Mekong, Surf This Love, Pulang, Zombitopia dan Kerana Korona.
Bukan semua pelakon, yang pada usia sangat muda diberi peluang sedemikian rupa. Idan, membuktikan, dia berbakat dan perkara itu dikenal pasti penerbit dan pengarah tempatan.
Kata Idan, antara faktor kejayaannya adalah keberanian untuk mencuba sesuatu, meskipun ia dianggap mustahil oleh dirinya sendiri.
“Banyak karakter ditawarkan, yang pada awalnya saya rasakan diluar kemampuan.
“Tetapi, ia tidak seperti disangka bila kita mengambil keputusan untuk mencubanya.
“Apa saya pelajari adalah jangan berada dalam zon selesa, sebaliknya keluar daripada kebiasaan,” katanya.
Bangga berlakon bawah Dain Said
Kehadiran Idan ke satu sesi pemilihan pelakon, beberapa tahun lalu, melorongkan pertemuan antara dia dengan figura prolifik, Dain Said.
Sekali gus ditawarkan melakonkan watak Iqbal dan bekerja di bawah arahan pengarah tersohor itu berpihak padanya menerusi filem Harum Malam.
Iqbal, ketika melanjutkan perbualan, menyuarakan rasa teruja atas peluang yang diberikan itu.
“Saya hadiri sesi pemilihan pelakon yang diadakan secara tertutup sekitar dua tahun yang lalu. Pada ketika itu saya tidak tahu siapa pengarah dan pelakon filem ini.
“Ini pertama kali saya bekerja dengan Dain. Ramai tahu, beliau pengarah yang cukup teliti. Itu terbukti apabila semua pelakon dalam filem ini diminta oleh Dain untuk memberikan variasi terhadap pengucapan dialog, ekspresi dan sebagainya.
“Meskipun prosesnya mencabar dan meletihkan, saya berbangga kerana dapat bekerja dibawah arahan beliau,” katanya.
Harum Malam mengisahkan tentang Iqbal (lakonan Idan) yang dianugerahkan keupayaan melihat makhluk ghaib selain boleh mengubati penyakit mistik.
Keupayaan Iqbal itu membantunya merungkai rahsia gangguan aneh yang berlaku di kawasan kejiranan pangsapuri yang didiami mereka sekeluarga.
Iqbal turut meleraikan rantaian kejadian misteri yang berlaku setelah bapanya, Norman (lakonan Bront Palarae) diupah untuk menjaga rumah kaca kepunyaan Jamil (lakonan Remy Ishak).
Bercerita tentang pengalaman, Idan memaklumkan Harum Malam antara filem yang cukup mencabar baginya kerana kekuatan fizikal dan mental pelakon teruji dalam filem tersebut.
“Iqbal mempunyai banyak lapisan emosi, itu antara perkara yang mencabar ketika melakonkannya. Emosi Iqbal yang kebanyakan masa perlu menahan kemarahan, bukan mudah untuk diekspresikan.
“Saya dan Bront turut terlibat dalam banyak babak pergaduhan. Perkara itu juga menguji kekuatan mental dan fizikal kami.
“Tenaga kami benar-benar diuji ketika penggambaran. Jadi, kerja keras kami terbalas apabila filem ini siap dan ditayangkan,” ujarnya.