Galeri Al-Khamani simpan 5,000 koleksi barangan lama, antik - Utusan Malaysia

Galeri Al-Khamani simpan 5,000 koleksi barangan lama, antik

MAHADHIR Ab. Rahman di hadapan rumahnya yang dijadikan sebagai Galeri Al- Khamani di Kampung Pasir Panjang, Port Dickson. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Segala-galanya bermula apabila apabila ibu tercinta, mahu membuang beberapa pinggan lama seperti set teko dan cawan. Sayang andai barangan lama yang sarat nostalgia terbuang begitu sahaja, telah mendorong Mahadhir Ab. Rahman, 43 mengambil lalu menyimpannya.

Sedar tak sedar, Mahadhir yang juga seorang penjawat awam, kini mempunyai kira-kira 5,000 koleksi barangan lama dan antik sejak kali pertama menyimpan barangan berkenaan tujuh tahun lalu.

Kesemua barangan itu, disimpan dan dipamerkan dengan penuh cermat dan teliti di sebuah galeri khas di rumahnya, terletak di Kampung Pasir Panjang, Port Dickson. “Saya mula berminat untuk mengumpul barangan antik selepas Allahyarham ibu, Milah Mat mahu membuang beberapa pinggan lama.

“Sebenarnya saya gemar mengumpul barangan sejak kecil lagi seperti dokumen-dokumen peribadi dan jam yang saya pakai, semuanya mempunyai nilainya tersendiri. “Bagaimanapun, pada tahun 2015, saya mula secara serius dengan minat saya ini, kebetulan ketika itu, arwah ibu mahu membuang semua set teko dan cawan kerana tidak mahu lagi menyimpan barangan tersebut.

“Jadi saya ambil set teko itu dan menyimpannya bawah katil. Sehinggalah arwah ibu menjumpai set teko tersebut dan menyarankan saya untuk membuat satu tempat khusus untuk menyimpan barangan lama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bertitik tolak dari situ, sedikit demi sedikit beliau menyimpan barangan antik dan lama yang dikumpul di galeri mini di rumahnya yang dikenali sebagai Galeri Al-Khamani.

CARI HINGGA KE LUAR NEGARA
Lantaran minat, Mahadir sanggup ‘terbang’ ke beberapa buah negara termasuk China, Indonesia, Korea Selatan, Jepun dan Thailand semata-mata untuk mencari barangan lama dan antik di negara berkenaan.

“Saya sering mengambil peluang bercuti ke luar negara untuk melihat dan membeli barangan lama yang dijual oleh pengumpul di negara terbabit yang kemudiannya menjadi koleksi di galeri.

“Sehingga kini, galeri di rumah saya menyimpan pelbagai barangan lama termasuk set barangan perkahwinan, set teko lama pelbagai corak, tempayan lama, basikal lama, mangkuk tingkat dan radio lama serta pelbagai lagi.

“Semua barangan ini mempunyai nilai sentimental tersendiri yang akan dikenang selama-lamanya. Saya tidak akan menjual barangan lama ini kerana ia sangat bernilai,” katanya.

Lokasi pilihan untuk penggambaran
Sejak diketahui umum, Galeri Al-Khamani sering menerima kunjungan orang awam. Bagaimanapun beliau tidak mengenakan sebarang caj bayaran masuk.

“Ramai terkejut kerana saya tidak mengenakan sebarang bayaran. Sebenarnya saya hanya mahu kongsikan nilai yang ada pada barangan lama ini kepada orang ramai.

“Ada jurugambar yang menjadikan lokasi ini sebagai tempat mengabadikan gambar pengantin buat kenang-kenangan di sini.

“Ada yang memberikan penghargaan sebagai tanda terima kasih walaupun saya tidak menetapkan sebarang harga,” katanya.

ANTARA koleksi teko dimiliki.

Mahadhir menjelaskan ada pihak yang ingin menyewa barangan-barangan antik di situ untuk dijadikan sebagai alatan (props) dalam sesebuah penggambaran.

Sehingga kini, Mahadhir memiliki lebih 3,000 set teko dan cawan jenis porselin dengan pelbagai corak seperti teko bunga kangkung.

“Secara peribadi, saya memang tidak akan menggunakan barangan ini termasuk teko, cawan dan pinggan di galeri ini kerana khuatir ia rosak atau pecah.

“Saya anggap ini adalah barangan antik yang tinggi nilainya dan mahu menyimpan sahaja,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Mahadhir berhasrat membina satu lagi tingkat di rumahnya, bagi memastikan galeri miliknya itu dapat menyimpan lebih banyak koleksi.

“Galeri di bahagian bawah ini agak sempit kerana terlalu banyak barangan lama, jadi saya berhasrat untuk membuat satu tingkat lagi.

“Alhamdulillah, galeri ini semakin lama semakin kerap dikunjungi peminat barangan lama dan antik. Insya-Allah saya akan terus menambah baik keadaannya supaya galeri ini dapat menjadi tarikan pelancong di Port Dickson dan Pasir Panjang khususnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya