Belanjawan 2023 pulihkan pendidikan negara - Utusan Malaysia

Belanjawan 2023 pulihkan pendidikan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBERIAN RM55.2 bilion kepada bidang pendidikan dalam Belanjawan 2023 jelas membuktikan keseriusan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan dan memapankan sistem pendidikan negara.

Lebih menarik, tiada lagi penyediaan peruntukan untuk projek-projek khas bersifat tempelan seperti Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) dan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang pernah dilakukan sebelum ini.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, khabar gembira itu melegakan seluruh warga pendidikan terutama guru-guru dan ibu bapa setelah sekian lama mereka menunggu.

Katanya, Belanjawan 2023 tidak hanya memfokuskan untuk menyelesaikan isu sekolah daif secara segera, malah menumpukan kepada usaha meningkatkan pendidikan mapan melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran lebih baik.

“Kedua-dua perkara itu sering diketengahkan oleh warga pendidik sejak dahulu lagi, malah kita gembira apabila kerajaan bersetuju untuk membina tujuh lagi sekolah baharu untuk mengurangkan kesesakan pelajar.

“Bagi saya ini merupakan langkah pertama kerajaan untuk memulihkan sistem pendidikan negara menerusi penambahbaikan infrastruktur terlebih dahulu sebelum disusuli dengan isu-isu lain seperti kurikulum dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kerajaan komited ingin menjaga pendidikan negara apabila memberikan peruntukan tertinggi iaitu RM55.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan berbanding RM52.6 bilion, tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah di seluruh negara.

Ia meliputi peruntukan RM920 juta untuk menaik taraf bangunan dan infrastruktur di 380 buah sekolah daif terutama di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.

Manakala RM900 juta lagi untuk kerja-kerja penyelenggaraan seperti pembaikan tandas, pendawaian, saliran sekolah di samping menggantikan perabot serta peralatan asrama dan kelas yang uzur.

Malah, kerajaan juga berhasrat meningkatkan kemudahan mesra pelajar orang kurang upaya (OKU) di sekolah yang memiliki golongan berkenaan.

Anuar berkata, bajet kali ini turut menyokong usaha pendigitalan menerusi inisiatif membekalkan 50,000 unit komputer riba di sekolah dan institusi pendidikan sekali gus melancarkan tugasan guru bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Di samping itu, beliau tertarik dengan pembinaan dewan terbuka bagi menambah keselesaan untuk anak-anak berhimpun.

“Idea itu bagus walaupun bukan keutamaan kerana dapat menggalakkan pelajar melakukan aktiviti luar bilik darjah,” katanya.

BELANJAWAN TERBAIK
Presiden Alumni Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS), Datuk Syed Anuar Syed Mohamad menyifatkan peruntukan pendidikan dalam Belanjawan 2023 merupakan yang terbaik dalam sejarah.

Beliau yakin pembaharuan itu mampu meningkatkan kualiti pendidikan negara di masa depan selain memperkasakan lagi pembelajaran anak-anak.

“Bajet pendidikan kali ini cukup menyeluruh termasuk mengambil kira keperluan pelajar OKU sekali gus memperlihatkan kecaknaan kerajaan untuk memastikan kualiti pendidikan melonjak.

“Harapan saya agar guru-guru dapat menanam tekad dan iltizam untuk mendokong usaha kerajaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN