PETALING JAYA: Pelakon, Ikmal Amry belum bersedia untuk menerima sebarang tawaran berlakon kerana trauma terlibat dalam satu kemalangan yang hampir meragut nyawanya tahun lalu.
Jelas Ikmal, dia juga tawar hati untuk berlakon selepas hilang kepercayaan terhadap produksi terlibat yang dikatakan tidak mengambil berat dan ‘lepas tangan’ apabila berlaku insiden tersebut.
“Sudah tujuh bulan saya tidak terlibat dalam sebarang penggambaran. Bukan tiada terima tawaran, cuma saya belum bersedia. Selepas kemalangan itu, saya jadi kurang yakin dan ada kebimbangan terlampau.
“Ambil masa juga untuk kurangkan trauma dan takut itu. Dalam pada masa sama, saya juga tawar hati dengan produksi terlibat. Ambil masa untuk kembali mempercayai produksi tempatan.
“Ada tawaran daripada produksi yang saya kenal dan percaya tetapi mungkin belum bersedia sepenuhnya. Kadang-kadang lokasi jauh, tidak sesuai. Takut,” katanya.
Terdahulu, Ikmal dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah selatan pada 3 September lalu.
Ketika kejadian, kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan lain menyebabkan keretanya berpusing sebelum terbalik. Bagaimanapun, anak dan isterinya dilaporkan selamat.
Dalam pada itu, Ikmal bersyukur kerana dia masih mampu menjalani kehidupan menggunakan duit simpanan dan projek-projek berbayar sebagai pempengaruh di media sosial.
“Alhamdulillah, ada banyak juga produk tawarkan saya untuk review. Sedikit sebanyak dapat tampung perbelanjaan kami. Saya juga ada simpanan mencukupi.
“Insya-Allah bila sudah bersedia, saya akan kembali berlakon,” katanya.