KUALA LUMPUR: Pengarah, Syafiq Yusof, 31, yang juga adik kepada pelakon dan sutradara kontroversi, Syamsul Yusof, mengakui belum pernah bertemu isteri kedua abangnya, Ira Kazar.
Menurut Syafiq, dia juga tidak mengetahui sama ada ibu dan bapanya iaitu Datuk Yusof Haslam serta Datin Fatimah Ismail sudah bertemu wanita tersebut atau sebaliknya.
“Saya tidak jumpa dia lagi. Saya tidak pasti ibu dan ayah juga begitu. Jika ditanya, saya sebenarnya lebih selesa hal keluarga kekal menjadi perkara peribadi kami.
“Tetapi, saya faham, kami semua, termasuk bapa adalah keluarga seni, jadi terpaksa terima apabila hal peribadi menjadi perhatian.
“Tetapi, sesiapa yang berfikiran waras tahu tidak semua yang diperkatakan dan disebarkan di internet itu benar. Ada yang bercampur-baur, malah kebanyakannya mungkin fitnah,” katanya.
Syafiq berkata demikian semasa ditemui pada majlis prebiu drama bersiri arahannya, Special Force Anarchy terbitan Disney Hotstar dan Skop Productions, di sini, hari ini.
Syafiq berkata, dia tidak mahu mencampuri urusan rumah tangga abangnya kerana mereka tidak duduk sebumbung dan jarang berjumpa.
“Masing-masing sibuk dan dia pun ada banyak filem besar. Kali terakhir kami berjumpa pada hari raya lalu, tetapi perbualan kami lebih kepada filem dan projek baharu.
“Kami ada bercakap di telefon sekitar dua bulan lalu, tetapi sama ada ia berkaitan hal kerja atau peribadi, biarlah saya simpan sendiri,” katanya.
Ditanya mengenai keadaan Syamsul, kata Syafiq, dia mengenali abangnya sebagai seorang yang tabah, meskipun sedang berdepan dengan ujian atau masalah.
“Mengenali abang, dia kuat dan tabah seperti ayah. Apa sahaja masalah, dia akan pastikan kerjanya siap dan mampu kendalikan perkara itu,” katanya.
Syafiq pada masa sama berharap, masyarakat berhenti daripada terus mencetuskan spekulasi kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan mereka sekeluarga.
“Paling utama, saya harap netizen tidak membuat andaian yang bukan-bukan. Saya juga harap isu ini akan selesai cepat dan tidak mahu hal keluarga kami terus menjadi bualan ramai.
“Tiada apa yang saya dapat katakan, cuma mendoakan kebahagiaan dan ketenangan ibu bapa serta keluarga. Saya tidak mahu masuk campur, tetapi sebagai adik, saya tetap mendoakan kebahagiaan dan ketenangan Syamsul serta keluarga,”katanya.