MELAKA: Kelibat seorang lelaki yang segak memperagakan kostum Spiderman di sekitar Dataran Sejarah, Ayer Keroh di sini berjaya menggamit perhatian orang ramai yang bertandang ke situ pada malam hari.
Ditambah dengan suasana terbaharu Dataran Sejarah yang dihiasi pelbagai limpahan lampu hiasan, bukan sahaja kanak-kanak malah orang dewasa juga teruja untuk bergambar dengan figura berkenaan.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, individu yang hanya mahu dikenali sebagai Mr. Spider itu enggan mendedahkan identiti sebenarnya.
Mr. Spider memaklumkan, dia melakukan aktiviti berkenaan sejak lima bulan lalu hanya kerana dasar minat mendalam terhadap watak-watak adiwira, seterusnya ingin menghiburkan pengunjung yang hadir ke lokasi pelancongan itu.
“Saya cuba sehabis baik untuk nampak seakan-seakan karakter Spiderman yang sebenar. Apabila nampak pengunjung terutama kanak-kanak gembira, saya juga gembira.
“Kalau boleh saya tidak mahu orang mengenali identiti saya yang sebenar. Cukuplah dikenali dengan nama Mr. Spider sahaja,” katanya.
Tambah Mr. Spider, dia tidak mengenakan sebarang caj kepada masyarakat yang ingin bergambar dengannya kerana menganggap ia bukanlah satu pekerjaan.
“Saya ada pekerjaan tetap dan sekarang memang bekerja dan menetap di Melaka. Jangan takut atau segan untuk bergambar dengan Mr. Spider kerana saya tidak minta bayaran.
“Kebanyakan pengunjung yang bergambar ada hulurkan sumbangan seikhlas hati. Tapi saya tidak paksa mereka bayar, saya terima dengan ikhlas hati,” jelasnya. – UTUSAN