KALI pertama mendengar lagu yang disenarai dalam album baharu, M16 terbitan 53 Studios, terbit rasa bangga dengan kualiti serta kemampuan anak tempatan meneroka muzik hip-hop.
Berdiri mereka bukan seorang, tetapi sembilan penyanyi hip-hop baharu bergabung suara menghasilkan album yang membariskan 16 lagu terbaik, dipilih daripada lebih 150 karya dihasilkan.
Jelas Pele L, proses pemilihan lagu sukar dilakukan dan mengambil masa hampir dua tahun kerana karya yang dihasilkan cukup berkualiti.
“Dalam bank lagu kita ada lebih kurang 150 karya, jadi untuk memilih 16 terbaik memang mengambil masa. Setiap karya mempunyai keunikan dan identiti tersendiri yang mencerminkan setiap komposer serta penyanyi.
“Alhamdulillah, proses rakaman berjalan dengan lancar. Sembilan penyanyi yang berkolaborasi dalam album ini mempunyai bakat yang cukup segar dan berbeza daripada penyanyi sedia ada.
“Lagu-lagu yang terpilih juga disuntik dengan elemen bunyi taraf antarabangsa. Kita meletakkan garisan tengah antara cita rasa Melayu dan urban. Muzik yang unik, muda dan segar serta catchy,” katanya.
Mendengarkan lagu-lagu yang dipersembahan ketika Listening Party, baru-baru ini, timbul persoalan apabila terdapat lirik kurang sesuai untuk dimainkan di radio. Adakah itu akan menghalang langkah mereka?
Sementelah segelintir warganet dengan mudah menjatuh hukum, tidakkah ia akan memberi imej serta impak negatif terhadap kolaborasi penyanyi muda yang baru hendak bertapak dalam industri muzik?
“Kami memahami situasi itu dan akan menukar lirik bersesuaian untuk membolehkan lagu tersebut dimainkan di radio.
“Soal kecaman atau kritikan, kami terima dengan hati terbuka. Mana yang kurang elok, kita perbaiki,” katanya.
Selain Pele L, M16 membariskan Fuego, Ryb3na, YBJ, AMK, IMRN, Faiz Ruzayn, Mad Muz dan A2M yang kebanyakannya merupakan anak kelahiran kawasan di sekitar Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Kongsi Fuego, gabungan sembilan penyanyi ini akan memberi impak berbeza, khususnya kepada industri muzik yang kini dilihat mengalu-alukan kehadiran bakat muda dalam penghasilan lagu.
Namun, katanya itu tidak bermakna mereka senang untuk dikaitkan dengan mana-mana kumpulan hip-hop popular antaranya K-Clique.
“Setiap kami mempunyai identiti dan hala tuju berbeza. Perjalanan, semangat dan keyakinan kami untuk mencapai kejayaan juga berbeza. Mungkin impaknya lebih besar.
“Kami sentiasa dipantau guru disiplin yang akan memastikan setiap penyanyi di bawah 53 Studios mempunyai semangat juang yang tidak berpaksikan populariti semata-mata. Kualiti itu lebih penting.
“Kami tidak main-main. Ini kerja serius yang mencerminkan minat dan cinta kami terhadap dunia muzik, terutama hip-hop,” katanya.