PETALING JAYA: Penyanyi muda, Ismail Izzani tidak mahu mengeruhkan keadaan dan menambah persepsi negatif segelintir netizen jika dia terus menjawab beberapa kontroversi yang pernah menghimpitnya sebelum ini.
Jelasya, segelintir pihak hanya mahukan cerita sensasi, berbanding mendengar penjelasan daripadanya berhubung dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan.
“Bukan kali pertama saya berdepan kontroversi. Ketika itu, keadaan sedang tegang dan semua pihak mahukan jawapan.
“Tetapi, kalau saya terus berikan penjelasan, ia macam buang masa kerana ada orang akan tetap menghakimi apa saya lakukan.
“Saya cuba untuk mempertahankan diri dan mengakui salah saya, tanpa mengeruhkan lagi keadaan serta menambah spekulasi,”katanya.
Sebelum ini, Ismail berdepan kontroversi apabila tular video memaparkan seorang lelaki miripnya memeluk wanita seksi di sebuah kelab sambil mencium pipi dan leher dalam keadaan ghairah.
Susulan kontroversi itu, dia dikatakan ‘melarikan diri’ daripada media ketika menghadiri sebuah persembahan, selain mengelak daripada menjawab soalan berhubung isu tersebut.
Dalam pada itu, Ismail menambah, kontroversi yang tercetus ekoran penularan video itu memberi tamparan hebat kepadanya, terutama ketika karier seni sedang memuncak.
“Semua ini memberi kesedaran buat saya. Ketika saya dihimpit pelbagai dakwaan dan cerita ditokok tambah, saya rasa kehilangan dan tidak dapat berfikir sehingga melengah-lengahkan karier.
“Bukan merungut tetapi sejujurnya bersyukur atas apa yang berlaku kerana jika tidak, saya tidak akan menjadi seperti sekarang.
“Sayang juga kerana telah melengahkan karier, tetapi itu pilihan yang saya buat. Jadi, sekarang saya buat untuk bangun semula dengan lebih kuat,” kata anak kepada penyanyi era 1980-an, Datin Suliza Salam itu.