Tiga hari tayangan, Mechamato Movie raih RM5 juta - Utusan Malaysia

Tiga hari tayangan, Mechamato Movie raih RM5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Filem animasi Mechamato Movie terbitan Animonsta Studios Sdn. Bhd. atau Monsta mencipta fenomena tersendiri apabila meraih kutipan RM5 juta dalam tempoh tiga hari tayangan.

Ketua Pengarah Monsta, Nizam Abd Razak berkata, mereka tidak menyangka filem animasi itu berjaya melakar pencapaian membanggakan dalam tempoh singkat, namun bersyukur kerana ia membuktikan filem tempatan terus mendapat tempat di hati penonton.

“Kami tidak menyangka filem ini akan mendapat sambutan begini hebat memandangkan Mechamato adalah jenama baru, berbeza animasi BoBoiBoy yang sudah menjadi ikon.

“Siri Mechamato baru setahun ditayangkan di Cartoon Network, selain memasuki Netflix, dua bulan lalu. Sambutan terhadap filem ini memang memberangsangkan.

“Demam Mechamato memang betul-betul dapat dirasai. Malah, kami dengar ada yang siap bersilat selepas keluar panggung,” katanya, memaklumkan filem itu bakal dibawa ke negara luar pada tahun depan.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, turut berbangga dengan kejayaan yang diraih Monsta menerusi filem animasi tersebut.

“Alhamdulillah, Mechamato Movie mendapat sambutan yang sangat baik daripada penonton. Kami sangat gembira apabila penonton dan pengkritik bebas memberi maklum balas positif mengenai filem ini.

“Terima kasih juga atas sokongan diberikan pawagam yang bersama-sama berganding bahu memasarkan filem ini. Sudah pasti, penghargaan kepada penonton yang turut menghebahkan mengenai filem yang sesuai  untuk tonton seisi keluarga sempena cuti sekolah yang baru bermula,” katanya.

Mechamato Movie mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 8 Disember lalu.

Filem ini berkisar remaja lelaki bernama Amato menjumpai sebuah kapal angkasa penjara yang membawa robot jahat terhempas di bumi.

Salah satu robot itu adalah MechaBot yang mempunyai kebolehan bergabung dan menjadikan sesuatu objek sebagai alat berteknologi tinggi.

Amato berjaya mengatasi MechaBot dan menjadi tuan kepada robot itu, seterusnya bekerjasama mengesan dan menangkap robot jahat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN