PETALING JAYA: Pelakon, Sophia Albarakbah mengakui hatinya sudah dimiliki, namun berpegang kepada prinsip tidak akan mendedahkan identiti lelaki tersebut selagi belum diijab kabul.
Jelas pelakon berusia 29 tahun itu, dia tidak mahu terlalu mencanang soal teman lelaki selagi belum ada ikatan yang sah dan memberi tempoh tiga tahun untuk merancang ke arah hubungan yang lebih serius.
“Teman lelaki saya okay sahaja, dia terbuka dan memahami tugas saya sebagai pelakon. Cuma, kalau orang tanya siapa, saya selesa untuk tidak mendedahkannya. Tetap ada privasi untuk dijaga.
“Bila sudah bersedia, insya-Allah saya akan umum. Sekarang, belum tentu ada jodoh. Saya bagi tiga tahun untuk membina kerjaya dahulu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sophia berkata, status seseorang pelakon tidak kira suami atau isteri orang bukan lagi masalah, asalkan pandai menjaga diri untuk mengelakkan kontroversi, terutama berkaitan isu curang.
“Saya tidak boleh pilih hero atau pelakon gandingan dalam sesebuah naskhah. Tetapi, itu bukan masalah. Kalau kita melayan, itu baru masalah.
“Nak buat macam mana, kebanyakkan hero suami orang. Cuma, saya kena pandai jaga diri. Hormat antara satu sama lain.
“Kita cipta keserasian hanya untuk kerja. Ada ‘tembok’ yang harus kita bina demi memastikan keselesaan dalam bekerja,” katanya.