KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin menerima apa sahaja ketentuan Allah SWT, malah bersedia memulakan hidup baharu sama ada bersama suami, Syamsul Yusof atau sebaliknya.
Pelakon berusia 37 tahun itu berkata, dia reda dengan apa sahaja yang ditakdirkan, pada masa sama mengharapkan keadilan untuk diri dan dua cahaya matanya.
“Saya mahu terus melangkah dan mulakan hidup baharu. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang mencurah-curah. Saya tidak kisah sama ada kami masih ditakdirkan bersama atau sebaliknya.
“Saya reda dengan apa yang bakal terjadi. Saya cuma ingin hidup gembira dan terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Isu pergolakan rumah tangga pelakon tersebut kembali diperkatakan selepas seorang pengguna di Instagram mendakwa Syamsul sudah mendirikan rumah tangga dengan Ira.
Pendedahan itu turut dikongsi Puteri Sarah menerusi satu muat naik di InstaStory yang seolah-olah memerli mereka.
“Soroklah selagi boleh sorok. Kebenaran akan terbukti satu hari nanti.
“Seorang narsisis seperti anda akan sentiasa memanipulasi kebenaran. Saya sedia berundur dari semua perkara toksik ini.
“Penipu tetap menjadi penipu. Semoga yang baik sahaja buat kamu berdua,” tulisnya dalam muat naik tersebut.
Dalam pada itu, Puteri Sarah memaklumkan, kes saman yang difailkan terhadap Ira Kaza masih berjalan dan dijangka selesai tahun depan.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia mendapatkan penjelasan Syamsul berkaitan isu tersebut gagal.